Di satu malam, ketika bunyi ombak menghempas pantai dapat didengari dari ruang makan sebuah hotel di tepian Selat Inggeris, Chris Martin dan beberapa orang sedang duduk berbincang.
Kalian, aku tidak rasa mercun diperlukan untuk persembahan kita di Bukit Jalil. Mercun tidak bagus untuk alam sekitar. Letupannya membunuh ribuan burung. Adakah kalian tahu yang jantung burung tidak dapat bertahan ketika mendengar letupan mercun yang kuat? Kata Chris Martin.
Namun rombongan dari Kuala Lumpur itu bertegas bahawa mereka masih mahukan mercun kerana mereka punyai banyak duit untuk dibazirkan apatah lagi flora dan fauna tidak dekat dan mesra di hati.
Chris Martin menggeleng kepala.
Keesokannya Chris Martin bertemu rombongan dari Singapura.
“Benar Chris, kami turut bersetuju. Alam sekitar, burung dan mergastua lain berkongsi ruang yang sama dengan kita. Adalah menjadi perkara yang mustahak persembahan Coldplay menjaga persekitaran dan bersederhana.” Kata ketua rombongan dari Singapura.
“Kami akan menggunakan corak bunga api di atas lelangit stadium untuk mengiringi A Sky Full of Stars. Usah khuatir.” Tambahnya lagi.
Chris Martin tersenyum. Beliau malah bersetuju melakukan 6 persembahan di Singapura. Kesefahaman bersama ini telah melonjakkan industri pelancongan di sekitar Geylang dan Marina Bay. Pelancong menderu datang dari pelbagai pelusuk dunia, dan agak sukar mencari hotel kerana banyak ditempah.
Dan yang paling penting, persembahan Coldplay di Singapura tidak membunuh walau seekor pun burung. Chris Martin kemudian menyuarakan (ketika konsert) bahawa semua pihak di Gaza, Israel, West Bank dan di mana jua haruslah berdamai dan mencari cinta.
Kisah di atas hanyalah rekaan dan imaginasi penulis. Tolong jangan saman.
Ketika aku menunggu ketibaan Alex Turner ke atas pentas, aku sedang sakit badan. Aku kira, influenza. Atau mungkin, denggi. Yang lucunya, dia memilih untuk memuncak ketika dilepaskan masuk ke hadapan pentas.
Dengan otot yang sakit, aku berdiri menunggu budak-budak Arctic Monkeys. Sebagai manusia berakal, aku tidak mengeluh menunggu ketibaan rockstar. Tapi badan aku memang mengejang sambil cuba menahan batuk. Barisan hadapan pula memang rapat dengan awek-awek dari pelbagai bangsa. Tapi sebab konsert di Bangkok maka paling ramai tentulah Supassra Thanachat, Khemanit Jamikorn dan lain-lain. Aku suka bila mereka berteriak. Alex juga terasa kesannya bila dia terlebih gedik.
Aku yang gundah dan gulana, akhirnya seringai bila muzik berhenti dan dewan besar menjadi gelap.
Memang berbaloi segala perih yang aku lalui. Influenza, denggi, sakit otot, semuanya hilang. Dan walaupun aku sering berasa orang memakai kaca hitam di dalam bangunan sebagai rempit, Alex aku maafkan.
Aku meneliti susuk Alex dari atas sampai bawah. Paling power aku rasa bahagian jambul. Memang elok.
Kalau kau tertanya-tanya, lagu yang paling aku nikmati ketika itu adalah I Bet You Look Good on the Dancefloor.
Hari ini cuti. Dan aku punyai masa untuk bangun lewat, berehat, makan, lari, berehat semula.
Aku baring di hadapan televisyen yang dibuka Spotify. Lagu Arctic Monkeys – There’d Better Be a Mirrorball berkumandang. Aku mendengar sambil memandang kipas yang berpusing dengan kelajuan 5, kelajuan yang selesa untuk semua penghuni rumah ini.
Puisi menghampiri dan menjilat tanganku. Dan aku mamai kepenatan selepas joging petang tadi.
“So do you wanna walk me to the car? I’m sure to have a heavy heart” Alex Turner bergurindam.
Dalam mamai aku terkenang kelana Bangkok pada bulan March. Ahhh, Alex Turner. Kau memang sesuatu. Kau berjaya menyuntik perjalanan yang bersisip rock and roll. Berjalan mencari makanan halal, beratur demi mendengar dentuman dram Matt Helders, ke pasar malam, dan menyusur Sungai Chao Phraya.
Kemudian aku terfikir, sudah setahun dua bulan aku berjauhan dengan isteri. Hmmmm…
Dari balkoni rumah ini, kau boleh melihat kehijauan belukar Presint 11 dan Taman Saujana Hijau. Dan setiap senja, para cengkerik akan bersahutan bersama koloni katak dan entah serangga apa lagi, menyanyikan lagu alam.
Beginilah kehidupan berjauhan dengan isteri. Kucing, cengkerik, Alex Turner.
Kadang-kadang aku tertanya sendirian. Di pinggir jalan yang baru sahaja dibedil dengan ledakan demi ledakan, meninggalkan puing-puing menindih jasad tidak bernyawa, adakah akan ada jiwa yang berdiri memandang kosong ke langit ketika dahinya berkeringat serta kotor dengan debu, dan berfikir bahawa Tuhan telah pergi dari tanah ini?
Atau mereka tiada masa untuk semua itu kerana sedang sibuk berlarian berteriak mencari ahli keluarga, yang terhimpit di ruang kecil, gelap serta tiada udara?
Ajaib. Manusia berfikiran sangat rumit tentang sebuah perkara yang mudah. Di tengah tujahan dan rantaian bom dari langit yang memisahkan anak dan ayah, masih ada yang berfikiran Israel sedang berdiri di atas jalur kebenaran dan layak mempertahankan diri. Ajaib!
Entah bagaimana perasaan melihat ahli keluarga terbujur kaku tidak bergerak. Aku hanya tahu, tidak dapat memeluk orang tersayang adalah sebuah perjalanan yang sangat jauh.
Ketika berjalan-jalan, aku masih mempunyai sikap mahu bersenang-lenang dan lebih gemar ke sana ke mari dengan motorsikal. Selain jimat, aku malas memikirkan ruang untuk meletakkan kereta.
Tapi bila dah tua, cepat penat bila pusing Langkawi naik motor. (Emoji ketawa keluar air mata)
Dan aku beruntung kerana Rifhan Safwani punya cara berjalan lebih kurang sama dengan aku. Tidak mahu terlalu penat, tapi tetap mahu melihat-lihat.
Aku teringat bagaimana backpacker di Bali mampu hidup dengan hanya 20,000 rupiah sehari. Mereka memesan makanan tengahari dan kemudian bertanya berapakah harga kopi.
“5,000? Okay give me one coffee please.”
Selesai makan, mereka sama ada pulang ke bilik, berehat dan berborak dengan teman baru. Atau hilang entah ke mana. Tapi ada kes terpencil, backpacker memarahi orang kampung yang mandi guna sabun. Lucu sungguh.
Ahhhhhh, sudah sampai masa aku mengumpul duit, mengambil cuti dengan jangka masa lama, merantau ke bumi asing dan hidup dengan tidak melihat jam. Hanya malam sebagai tanda untuk beradu.
aku akan terfikir jauh yang entah apa-apa tapi selalunya ianya sebuah perkara yang amat penting. Sekarang, aku terbayang apakah lagu yang boleh dinyanyikan oleh perajurit/gerila kita yang sedang berehat di tengah medan tempur.
Aku mencadangkan kita mula beramai-ramai menghafal lagu M Daud Kilau – Cik Mek Molek.
Manalah tahu di masa hadapan kita diheret ke kancah perang. Selepas beberapa purnama, yang masih melawan adalah jiwa-jiwa besar dengan cara gerila.
Di tengah malam gelap yang sepi di mana cengkerik dan unggas di kanan kiri, kita sebagai pejuang nusa duduk berkumpul di keliling unggun api.
Di waktu itu, seseorang harus memecah hening dan memulakan,
Sehingga tahun 2010-2011, hidup aku dikelilingi teman-teman kerana faktor usia dan kawan-kawan masih bujang. Kemudian semua mula bekerja dan ramai yang mula mendirikan rumah tangga. (Awalnya jodoh korang)
Kemudian aku punyai lebih masa bersendirian dan makan biskut cicah milo melayan perasaan.
Bermula fasa inilah aku mula mengenal hati budi Julian Casablancas dan rakan-rakannya. Saban malam aku duduk berseorangan bersandar di dinding melihat barisan seluar yang tergantung di balik pintu. Sebuah sunyi yang merdu.
The Strokes ada ketika hari aku serba tidak kena.
The Strokes ada di malam yang kosong.
Dan mereka masih di situ berlima berdiri bersabar menemani aku sambil memetik gitar, bass dan mengetuk dram.
Belasan tahun kemudian, mereka akan turun ke Sepang. Berita yang aku sambut dengan kerut di dahi kerana aku tidak berapa menyukai festival. Tapi ketika tarikh semakin dekat, aku menjadi semakin teruja sehinggalah ada seorang lelaki yang tidak berapa cerdas berfikir membatalkan festival The Strokes.
Babi.
Ketika Julian mengumumkan berita untuk menambah satu lagi malam di Singapura, aku sedih. Aku takut tak dapat pergi. Dan kemudian setelah diyakinkan seorang wanita untuk teruskan niat berjumpa The Strokes, aku tekad. Cuti diluluskan dan begitu berbunga di hati ini.
Akhirnya aku bertemu Julian dan kawan-kawan, yang telah lama membuai gurindam yang menerkam dan memelukku. The Strokesssss! Kau orang memang power! (Tolong baca sambil berdiri dan membuat tabik hormat)
Dannnn, selamat ulang tahun kepada srikandi hidupku yang belanja tiket konsert. Semoga tercapai segala mahumu. Dan teruslah kuat ketika hidup mengujimu. Kau adalah hari esokku, dan matahari pasti suram tanpamu.
Saya cinta kamu!
Cewah, macam orang putih datang Malaysia pula gaya sebutnya.