Seorang wanita yang membiar lelakinya berdiri rapat di tepi penghadang melihat The Strokes di atas pentas

Sehingga tahun 2010-2011, hidup aku dikelilingi teman-teman kerana faktor usia dan kawan-kawan masih bujang. Kemudian semua mula bekerja dan ramai yang mula mendirikan rumah tangga. (Awalnya jodoh korang)

Kemudian aku punyai lebih masa bersendirian dan makan biskut cicah milo melayan perasaan.

Bermula fasa inilah aku mula mengenal hati budi Julian Casablancas dan rakan-rakannya. Saban malam aku duduk berseorangan bersandar di dinding melihat barisan seluar yang tergantung di balik pintu. Sebuah sunyi yang merdu.

The Strokes ada ketika hari aku serba tidak kena.

The Strokes ada di malam yang kosong.

Dan mereka masih di situ berlima berdiri bersabar menemani aku sambil memetik gitar, bass dan mengetuk dram.

Belasan tahun kemudian, mereka akan turun ke Sepang. Berita yang aku sambut dengan kerut di dahi kerana aku tidak berapa menyukai festival. Tapi ketika tarikh semakin dekat, aku menjadi semakin teruja sehinggalah ada seorang lelaki yang tidak berapa cerdas berfikir membatalkan festival The Strokes.

Babi.

Ketika Julian mengumumkan berita untuk menambah satu lagi malam di Singapura, aku sedih. Aku takut tak dapat pergi. Dan kemudian setelah diyakinkan seorang wanita untuk teruskan niat berjumpa The Strokes, aku tekad. Cuti diluluskan dan begitu berbunga di hati ini.

Akhirnya aku bertemu Julian dan kawan-kawan, yang telah lama membuai gurindam yang menerkam dan memelukku. The Strokesssss! Kau orang memang power! (Tolong baca sambil berdiri dan membuat tabik hormat)

Dannnn, selamat ulang tahun kepada srikandi hidupku yang belanja tiket konsert. Semoga tercapai segala mahumu. Dan teruslah kuat ketika hidup mengujimu. Kau adalah hari esokku, dan matahari pasti suram tanpamu.

Saya cinta kamu!

Cewah, macam orang putih datang Malaysia pula gaya sebutnya.

Lepaskan

Aku ingin menjadi serpihan hidupmu

yang sering datang saban malam membawa belenggu dan resah

ketika malam semakin panjang.

Tapi, aku tahu.

Kau telah dipeluk

Seorang bangsat

Dan kau tak akan pernah mahu

melepaskan genggam tangannya.

Berkelana

Di atas sebuah bukit, ada dua pemuda sedang menikmati senja dan melihat kejauhan.

“Kau tahu? Kalau mahu ke sana aku boleh pergi dengan hanya sebentar.” Kata Azeem.

“Biar aku teka. Dengan motorsikal yang kau katakan tempohari?”

Iya, jawab Azeem.

Tapi kau tidak ada lagi motorsikalmu. Tidak di alam ini.

Iya. Alangkah bagus jika aku merentas masa dan membawa motorsikalku.

Kemudian mereka ketawa bersama.

Tapi jika ada motorsikal sekali pun, rasanya aku tidak boleh ke sana. Di sini tidak ada highway. Ketawa mereka pecah sekali lagi.

“Apa itu highway?” Tanya Muzaffar.

Azeem melihat Muzaffar dengan penuh kasihan. Alangkah kasihannya mereka ini hidup di zaman lampau, highway pun tidak mereka ketahui. Tapi kemudian Azeem berfikir sebenarnya dirinya lebih kasihan. Merentas masa dengan sebuah mesin. Kemudian tidak ada cara untuk pulang setelah mesin merentas masa kehabisan bateri. Entah bagaimana jurutera mesin itu mencipta sebuah mesin yang boleh merentas masa namun baterinya harus diisi dengan plug point yang diiktiraf SIRIM dan TNB.

Di sini ada generator? Kalau ada, aku boleh isi semula bateri mesin merentas masa ini. Dan kemudian pulang ke masa depan. Tanya Azeem.

Generator? Bagaimanakah ejaannya tuan hamba? Bermula huruf kaf? Atau jim?

Oh Tuhan. Kata Azeem, mengurut dada.

Semoga ada cendekia mencipta mesin basuh yang menghilangkan renyuk

Selama 5 tahun aku bekerja bersama perusahaan yang boleh memakai pakaian santai ke pejabat seperti nenek moyangku pengasas syarikat. Kemudian selama 2 tahun aku bekerja dari rumah. Kini aku ke pejabat dengan memakai pakaian kemas dan tersusun (aku cuba).

Dan sekarang aku baru baring selepas menggosok baju. Aku menggosok baju sambil berfikir mengapa baju renyuk bukanlah sebuah adat dan budaya.

Ada sedikit rindu pada kelibat isteri yang berdiri tekun di sebelah papan gosok baju, sambil memegang sebuah alat yang mampu menghilangkan renyuk. Hmmm.

Ke hadapan

Makcik gerai nombor 4 medan selera Rasa Sayang Hey. Tujuan saya menulis surat ini adalah dengan tiada niat lain melainkan menegur. Adapun kita orang Timur adalah sebaik-baik bangsa orang beradat orang beradab. Semoga surat ini menuju ke dakapan hati makcik dengan dada yang lapang sesungguhnya niat saya suci seperti nirmala air pagi yang memecah di pantai Laut Andaman.

Makcik, kemuliaan seekor ayam itu terletak pada pahanya. Benar, saya tidak menipu. Paha seekor ayam punyai seperti mukjizat. Kenyal dan berisi bersilih ganti. Peha ayam jika digoreng rapi atau dibuat kari, aduh enak yang amat. Diambil pula puri atau roti canai lembut, dicicah ke dalam kari yang berinti peha. Saya menulis sambil menitis air liur.

Jadi kenapa makcik? Kenapa tiada peha di dalam banyak-banyak bahagian yang saya mahu pilih tadi? Begitu sukar saya menerima kenyataan dan menelan kepak ayam sambil menggeleng kepala mengenangkan pilihan yang sukar.

Tetapi tidak mengapalah makcik, kendati kepak, tetap terisi perut dan kenyanglah saya tadi. Cuma untuk tindakan dan peringatan di masa akan datang, peha ayam seeloknya berada di antara longgokan ayam goreng dan ketika saya membelek-beleknya saya tersenyum dan berasa tidak sabar. Mungkin kelakar untuk makcik tapi tidak saya.

Ulat yang keluar dari najis

Penulis bangun agak lewat hari ini kerana tidur lewat semalam. Tugasan yang meminta curahan pemikiran membuat penulis berasa lelah dan hanya mampu bangkit selepas tubuh badannya cukup berehat. Itu pun penulis perlu untuk meneruskan pekerjaan semalam.

Lantas pintu bilik air dibuka. Dengan cermat hujung corong alat istinjak dihalakan ke mangkuk tandas. Malangnya ketika air mencuri keluar dari corong, alirannya berpecah dua. Semua berpunca dari hujung corong yang tidak terbuka dengan elok dan memisahkan aliran air.

Aduh. Dengan mata yang masih mamai, penulis melihat sahaja pancutan yang tidak tepat ke dalam mangkuk.

Mungkin inilah balasan menjadi ulat tiket. Kata penulis di dalam hati.

Kemudian penulis membersihkan apa yang perlu dan keluar menghidupkan komputer. Dibuka Google Chrome dan laman Twitter. Penulis, dengan penuh yakin dan bangga diri. Tanpa sedikit pun mempedulikan baik dan buruk tindakannya, menaip…

“Ticketing Service!

🤍 RM25/ticket (refundable)
🤍 Experienced (refer my pinned tweet)
🤍 Limited slots!
🤍 Dm me to book your slot now!”

Mengantuk, menaip dengan mata yang rapat

Aku sedang mengantuk dan mahu tidur. Tapi aku gagahi dengan melayarkan diri di ruang post lama di Facebook sekitar 2009. Aku pun tak tahu apa yang membawa ke situ. Pahit manis, sesal dan pengajaran bersilih-ganti. Semuanya bersebab dan menjadi tauladan dan kekuatan.

Mantap. Hidup, adalah tentang bagaimana sebuah perjalanan menuju dan menjadi aku pada hari ini. Esok lusa, menjadi yang lebih tenang atau mudah tersentuh?

Paling penting, semuanya berjalan di landasan yang telah diatur semesta.

Sekali lagi, mantap.