Pulau Dewata Bali Marathon, sebuah hadiah dari Dewata Mulia Raya untuk para pelarinya.

Jam 3 pagi aku bangun bersiap dan menuju Bali Safari Park dengan sepeda motor. Bersama isteriku yang menjadi co-pilot di belakang, kami membelah kedinginan pagi hari yang begitu asri dan menyegarkan.

“Kiri, kiri!” Isteriku terpaksa menjerit sedikit. Biasalah, naik motor.

“Lagiiiii 1 kilo, belok kanannnn!”

“Terusssssss je 11 kilometerrrrr!”

Tiba pada jam 4:45 pagi, aku mencari ruang yang paling hampir dengan garis permulaan. Half Marathon bermula pada jam 5:15 pagi. Selepas melakukan sedikit regangan, aku bersalaman dengan isteriku yang berlari lewat sedikit, jam 6 pagi. Ohhh begitu pahitnya perpisahan.

Aku mula berlari.

5 kilometer pertama aku terperangkap dalam kumpulan pelari yang begitu ramai. Di situ aku sudah tahu akan kehilangan waktu sasaranku iaitu 2:15:00.

Kemudian di KM6 jalur larian mulai menanjak. Slow and steady wins you the race, ujarku di dalam hati.

Kira-kira di KM8, ada seorang biduanita menghampiri dan berlari betul-betul di sebelahku. Dengan kelajuan yang sama, kami menapak ke hadapan bersama beriringan. Seolah-olah ada chemistry di antara kami.

Kemudian dia memotongku, dan aku memotongnya kembali, aku kembali dipotong, dan mendahuluinya semula. Babak ini berlarutan dan terus berlanjutan.

Aku terfikir untuk menyatakan kepada biduanita ini bahawa aku sudah berpunya, malah aku sudah berfikir dialog untuk dikatakan padanya.

“Nona manis, maafkan saya jikalau menghampakan nona manis. Saya sudah beristeri dan berfikir untuk hidup bersama si dia untuk 1000 tahun lagi.”

Namun aku menyimpan hasratku. Dan membiarkan gadis itu hilang selepas tiba di kawasan yang menuruni bukit. Gadis itu hilang di dalam keramaian orang. Tinggallah aku, yang berasa lega dan mula menikmati pemandangan yang asyik dan lestari alamnya. Di kejauhan, puncak Gunung Agung diselubungi awan. Pohon cempaka yang tumbuh di setiap sudut pulau, wangian setanggi, ukiran asli budaya Bali dan penduduk desa yang menyokong di tepi jalan betul-betul mewarnakan hariku.

Aku amat gembira berlari pada hari ini. Walaupun dibakar matahari Bali, nafas terasa begitu segar, mungkin kerana di Bali ini alamnya masih hijau, apatah lagi jalur larian ini tidak ada pembangunan yang begitu tamak. Langkahku berjaya diatur dengan penuh baik.

KM17, anak-anak kecil meminta pisang kepadaku.

“Banana! Banana!”

Aku memberi mereka pisang yang aku dapat di KM14.

“Yeayyyyyyyy!” Mereka ketawa dan bersorak beramai-ramai membuatkan aku terfikir,

“kat Bali ni takde pisang ke?”

Aku merasakan aku telah membuat satu kebaikan dan terus bersemangat untuk berlari dengan lebih kencang. Mengikut jam Garmin, pace-nya 5:45. Terima kasih anak-anak Bali!

Dan kemudian aku berjaya menamatkan larian. Aku mencari isteriku. Kami disatukan semula setelah berpisah dengan sangat lama. Setiap minit terasa bagaikan setahun. Ohhh kekasihku.

Kami menangkap gambar bersama untuk memori di masa hadapan.

Pengalaman yang seronok di Bali Marathon. Mungkin aku akan kembali lagi, berlari Full Marathon pula.

Taru Menyan, kuburan tengkorak di sisi danau

Terletak di tepi Danau Batur yang sinonim dengan  Bali, Desa Trunyan ialah sebuah desa yang masih mengekalkan adat dan budaya sejak ratusan tahun dahulu. Pohon Taru Menyan yang tumbuh di perkuburan ini dikhabarkan sangat harum baunya dan keramat di kalangan warga Bali. Untuk ke kuburan ini, hanya ada satu cara, menaiki perahu dari Desa Trunyan. Apabila tiba di desa, daftar nama, bayar ‘tambang’ perahu dan kemudian nama pendayung sampan yang membawa anda akan dipanggil. Pendayung akan membawa anda ke kuburan yang terletak kira-kira 200-300 meter dari Desa Trunyan.

Di desa ini, penduduk yang mati tidak ditanam. Mayat hanya diletakkan di sisi pokok dan dibiarkan sehinggalah tengkorak dialihkan untuk memberi ruang kepada mayat baru. Ada 11 ancak saji (penutup mayat) dan mayat yang paling lama akan dialihkan untuk diganti dengan mayat baru. Namun kuburan ini hanyalah untuk mereka yang mati secara normal. Matinya semulajadi dan bukan kerana kemalangan. Wanita juga tidak boleh mengikut ketika mayat dihantar ke kuburan ini.

Di perkuburan ini sudah pasti mistiknya dapat dirasakan. Apalagi pohon Taru Menyan begitu gah dan berjuntaian dengan akar kayu, memang menaikkan bulu roma. Jika berkunjung ketika senja atau malam hari, hmmmmm elok jangan buat.

Ketika ke sana, pemandu arah bercerita bahawa beberapa tahun dahulu ada pengunjung (bule / mat saleh) cuba menyeludup keluar sebiji tengkorak. Entah bagaimana dia dapat mengambil satu tengkorak dan meletakkannya di dalam beg tanpa pengetahuan penjaga di situ. Di dalam perjalanan pulang, perahu yang dinaiki tidak boleh rapat ke pinggir desa kerana cuaca yang tidak tenang dan ribut. Kemudian barulah dia mengaku kepada pendayung sampan, dan berpatah balik memulangkan tengkorak tersebut.

Untuk ke sini, anda harus bersedia untuk mengeluarkan rupiah yang agak besar. Supir, penunjuk arah (yang menunggu di jalan sebelum sampai ke Desa Trunyan), pendayung sampan dan derma (seikhlas hati) ketika tiba di kuburan. Kendatipun begitu, melihat dan merasai suasana perkuburan Bali asli yang sudah berdiri selama ratusan tahun semestinya menjanjikan pengalaman yang berbeza.

Semasa kami di sana, mayat yang paling baru… hanya berusia satu minggu. Walaupun wajahnya sudah mereput dan berwarna hitam, namun langsung tidak berbau.