Liverpool Darul Piala

Seingat saya bermain bola ketika raya kedua adalah satu perkara yang tidak pernah saya lakukan sepanjang hidup. Kita harus memberi sorakan gemuruh pada semua pemain dan pegawai Liverpool kerana sanggup mengorbankan raya mereka. Mereka juga ada saudara-mara dan sahabat untuk dikunjung.

Pemain dan pegawai Liverpool ambil pesawat pertama ke Sepanyol selepas takbir raya, dan langsung ke stadium. Semuanya dengan niat untuk mengajar Villareal dan mungkin Atletico serta Everton apakah itu bolasepak sebenar yang dimainkan oleh lelaki sejati. Mungkin Manchester United juga boleh belajar sedikit. Tapi saya ragui ini.

Villareal seperti yang kita sedar, pemain mereka tidak boleh disentuh. Mereka mempunyai daya tahan seorang bayi yang baru lahir. Banyak masa dibuang dengan tergolek, baring dan mengadu kesakitan. Kemudian mereka memilih dari sudut manakah bola itu harus dialihkan? Selalunya paling belakang supaya masa boleh dibazirkan dengan lebih banyak.

Coretan hati seorang peminat bola (sebenar)

Syukurlah Liverpool (harapan segenap manusia) berjaya mengatasi halangan ini. Atas semangat kepahlawanan, mereka dengan cekal meniti ranjau berliku dan berjaya menghasilkan gol demi gol. Cuma separuh masa pertama mereka bolos dua gol kerana kita semua tahu juadah raya sukar ditolak. 45 minit diperlukan untuk hadam segala lemang, burasak dan rendang.

Baiklah semua, teruskan beraya dan nikmatilah hidup ini. Ingat, ada tiga perkara yang pasti dalam hidup.

Kesesakan jalan menjelang raya.

Beratur sebelum makan nasi kandar.

Dan Jurgen Klopp mengukir senyum untuk harimu yang lebih ceria.

EPL, perlawanan kedua

Wartawan: Tuan, ada percubaan untuk mengatakan bahawa Chelsea ialah musuh utama Liverpool. Apa pendapat tuan?

Frank Lampard: Ya. Sebenarnya kami memang musuh ketat kepada Liverpool. Kami sentiasa bersemangat dan memandang tinggi setiap pertembungan dengan Liverpool. Mereka ialah juara 6 kali Eropah dan kami adalah musuh yang tepat untuk mereka.

W: Maknanya perlawanan bertemu Liverpool akan menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu dan dihadapi dengan persediaan yang sangat rapi.

FL: Benar.

W: Tapi semalam macam tak melawan je?

FL: 0-2, okaylah tu.

W: Baik, dalam rumusan yang padat dan singkat, apa sebenarnya yang terjadi kepada Chelsea semalam? Di mana salahnya dan mengapa takde pun semangat melawan tu. Kata rival kuat?

FL: Budak baru yang saya beli tu lari je laju, tapi takde otak.

W: Maknanya ini semua salah Timo Werner?

FL: Tentu sekali.

W: Kenapa tuan beli dia?

Frank Lampard dilihat mengeluarkan telefon dari koceknya walaupun tidak berdering dan meletakkan telefon di telinga.

FL: Helo, helo. Siapa ni? Aaa ya ni saya Frank Lampard. Apaaa? Betul ke ni?

Frank Lampard berjalan keluar dan menutup pintu dengan cermat.