Angin yang bertiup dari puncak gunung Nuang datang membelai rambutku perlahan. Walaupun rambutku semakin menipis namun aku masih dapat merasakan helai demi helai melambai ditiup angin.
Selepas melakukan sedikit regangan otot, aku dan isteri mula berjalan mengikut denai. Aku memang sengaja memakai baju tebal demi untuk berpeluh. Peluh yang banyak menjanjikan kebakaran lemak yang tinggi, fikirku.
Selepas berjalan dua jam, kami tiba di Lolo. Seperti kelaziman, aku akan mengeluarkan makanan dan makan di tepian sungai. Sambil kaki dilunjurkan ke dalam dingin air yang datang dari banjaran, aku menikmati setiap suapan. Ditemani isteri tercinta disisiku, indah sekali saat itu.
Setelah berada agak lama di situ, kami mula berkemas untuk pulang. Memang tidak ada rancangan untuk ke puncak gunung kerana masih tiada kekuatan fizikal. Kali terakhir naik ke puncak Nuang, otot badanku sakit selama seminggu. Ha ha ha.
Di perjalanan pulang, kami bertembung dengan rombongan sekolah entah dari mana. Ramai juga bilangan gerombolan ini. Aku kira-kira mahu dua bas, jika satu bas, pasti ada yang duduk di riba kawan. Rata-ratanya ceria dan menyapa kami berdua.
“Morningggg.”
“Selamat hari Malaysia bang!”
Kemudian mereka bergelak sesama-sendiri. Alangkah ceria dan menggembirakan perilaku mereka, mengingatkan aku kepada zaman remajaku yang lincah dan periang.
Namun ada satu soalan dari seorang budak yang badannya agak gempal, sambil memegang botol 500ml, airnya hanya tinggal sedikit. Soalan ini membuatkan hatiku sedikit bergetar dan sayu memikirkan nasibnya kelak.
“Bang, lagi berapa lama mahu sampai?”
Masih ada satu jam lebih untuk dia sampai Lolo.
“Alamakkkk!” aku jawab.