Bangun seawal jam 5:45 pagi dan bersiap-sedia untuk berlari adalah perkara yang kerap aku lakukan sekarang.
Dan hari ini aku ke Putrajaya, kononnya untuk melakukan larian perlahan kadar panjang. Di dalam benak pemikiranku, aku ingin melakukan 30km.
Ya. Kerana Putrajaya Night Marathon hanya tinggal 26 hari. Aku perlu menaikkan kadar latihan.
Sesampainya di Putrajaya, aku melakukan sedikit regangan dan memulakan larian.
Sayangnya keadaan tubuh badan tidak mengizinkan. Seperti letusan bunga api yang menerangi malam hanya untuk sekejap, begitulah semangat aku untuk berlatih tiba-tiba lenyap. Aku terpaksa berhenti dan cuba membetulkan otot yang cedera dengan sedikit regangan.
Kemudian aku mencuba sekali lagi. Dan masih sama, kaki sakit dan aku terpaksa akur.
Bukan hari ini.
Kaki memberi isyarat untuk berehat dan perlukan masa untuk sembuh sepenuhnya.
Walaupun sedih, aku pulang ke rumah dengan membawa dua bungkusan nasi lemak. Satu untukku dan satu lagi isteriku.
Terubat kesedihan apabila isteri gembira dapat membawa bekal nasi lemak ke pejabat.