Ulasan perlumbaan: Maraton Dwi-kota 2019.

aka Twincity Marathon 2019, race review (or my own experience)

Untuk perlumbaan kali ini, aku mendaftar dalam kategori Full Marathon (FM). Inilah kali pertama aku akan berlari di atas jalan sejauh 42.195km. Sebelum ini pernah juga melakukan FM tapi di Malatra Endurance Race 2018, acara yang berulang-lari di Taman Saujana Hijau sebanyak 15 kali minimum.

FM bermula jam 4 pagi. Jadi aku sudah mengingatkan isteriku bahawa kita harus keluar rumah pada jam 2:30 pagi. Alhamdulilah isteriku bersiap tepat pada masanya malah lebih awal daripadaku (Wonderful! Amazing! Hehe!) Dia masuk Half Marathon (HM), bermula agak lewat sedikit.

Sebaik sampai, aku melakukan regangan otot bagi memanaskan badan. Selepas yakin bahawa kersani sudah cukup menjalar di dalam pembuluh darah untuk memberikan kekuatan kepada otot-otot, aku maju ke garisan permulaan. Aku menempatkan diri di khalayak paling belakang, kerana aku malas bersesak.

Aku membuat sasaran untuk habis berlari dalam masa 6 jam setengah, jadi aku bersenang-senang dengan kelajuan 7:30 minit/km. Langkahan 10km pertama berjaya dilakukan dengan penuh kesopanan dan kesusilaan. Begitu juga dengan 5km seterusnya. Untuk menjangkau ke kilometer 20, aku terpaksa menggandakan usaha dan minum lebih banyak air. Ketika ini ada dua Water Station (WS) kehabisan air. Mujurlah aku berlari sambil membawa botol air. Masih berbaki sedikit untuk diminum ketika menyedari WS itu tiada air. Sepatutnya penganjur menyediakan lebih banyak air atau lebih mudah lagi tempat berwuduk yang banyak.

Menjelang KM25… aku terimbau kembali di zaman persekolahan, aku hanya berlari jarak jauh sebanyak 2 kali. Pertama di larian merentas desa SKPT(1) ketika Darjah 5/6. Satu lagi ketika Larian EC di tingkatan… entahlah berapa.

Menjangkau 30km, aku sudah membayangkan kepenatan yang luar biasa. Membuatkan kenangan mendaki Kinabalu menjelma semula di benak pemikiran. Bezanya di Kinabalu, aku mahukan teh kosong hangat. Di Twincity Marathon ini, aku mahukan kasut roda.

Masuk KM33, aku sudah mula menyesal dan mengingatkan diri supaya tidak lagi mendaftar acara seperti ini. Duduk rumah baring lagi sedap. Ketika ini aku lebih banyak berjalan kaki. Andai lari sekalipun, tidak sampai 300 meter aku akan kembali berjalan. Sakit peha dan betis ditambah kawasan perbukitan yang menerajui Putrajaya dan Cyberjaya, hmmmm jalan je la… tak pasal-pasal nanti DNF (Did Not Finish).

Memasuki KM40, aku sudah melalui dua tempat yang menyediakan keropok lekor, cakoi, dan air cendol. Semuanya enak dan lazat dan menakjubkan dan begitu mempesonakan tapi gua tengah barai baiii, mana lalu nak melantakkk. Cukuplah jamah sedikit.

800 meter menuju garisan penamat, aku kembali bersemangat dan berlari dengan penuh kencang!

750 meter terakhir, aku kembali berjalan.

300 meter terakhir, isteriku (yang sudah menghabiskan HM dan menunggu lama) sedang menanti di tepi jalan. Dia membawa telefon di tangannya sambil mengambil gambarku yang sedang acah-acah berlari. Aku kini kembali ceria! Hilang penat dan aku betul-betul bersedia memberikan gaya terbaik untuk jurugambar yang menunggu di garisan penamat.

Maka tamatlah penantianku selama ini. Akhirnya bergelar marathoner, mendapat pingat darjah kebesaran dari sukarelawan bertugas dan pergi mengambil baju finisher. Kemudian aku menyertai rakan-rakan dan isteriku yang telah lama menunggu.

Alin, temanku berkata,

“Ko tahu tak Caki? Kitorang dah makan dua pinggan meehun tunggu ko ni!”

Keh-keh! Terima kasih Twincity Marathon 2019!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s