Hari ini aku berpeluang untuk menjenguk Singapura dalam siri lawatan singkat yang dipenuhi dengan manfaat. Aku telah dihantar oleh pengurus yang bijak menilai kemampuan diriku dalam berkerja. Tepuk la tangan sikit.
Dengan tidak membuang masa aku ke lapangan terbang dan merentas gumpalan awan lalu tiba di negeri yang pernah menjadi perkumpulan lanun dan saudagar lautan.
Kami memulakan hari dengan memakan nasi lemak di dalam kapal terbang dan meneruskannya dengan mengunjungi reruai yang ada di ekspo yang bertempat di Marina Bay ini.
Banyak juga cenderamata percuma yang berjaya aku dapatkan. Namun sayang seribu kali sayang pembelian cenderamata berbayar hanya boleh dilakukan dengan menggunakan wang tunai. Mana ada orang buat transaksi guna wang tunai sekarang. Gila ke? Kedai goreng pisang tepi jalan dekat Malaysia pun bayar pakai kod QR yang dipautkan ke perbankan atas talian. Mengeluh panjang juga aku bila tak dapat beli baju panas yang sedap tadi.
Untuk menebus kekecewaan ini, aku keluar makan ke restoran Zam Zam. Namun aku semakin kecewa bila nasi beryani sudah la biasa-biasa sahaja, murtabak pun gagal teruk. Mahal pun mahal, pui!
Mujurlah hariku kembali ceria bila dapat berkunjung ke kedai yang menjual barang larian denai di Red Dot Running Company. Tenang sahaja aku mengambil barang dan meletakkannya di atas meja juruwang.
Masalahnya sekarang, di mana harus aku sorokkan topi larian denai yang baru dibeli dari pengetahuan isteriku. Mungkin beginilah perasaannya bila dia membeli tudung Duckscarves dan meletakkan kotaknya senyap-senyap di ruang simpanan kotak.