MMTF2019, ujian kepada segala latih tubi.

Jika berlari maraton adalah krisis pertengahan umur yang baru, maka berlari di dalam denai adalah punca mata air yang mengalir menyegarkan dan memberi keremajaan kepada insan berumur. Biarlah aku beritahu mengapa.

Aku tiba di Taiping bersama Afham, seorang pengelola acara yang diam bermastautin di timur semenanjung, lebih tepat lagi sebuah negeri yang pernah diberi nama Inderapura. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur, Afham memilih untuk banyak berdiam. Tanya sepatah dijawab sepatah. Mengingatkan aku kepada zaman kecewa bercinta. Ketibaan kami disaji pemandangan banjaran Taiping dan kami memilih untuk memakan makanan paling enak yang ada di pekan ini, KFC.

Habis makan kami ke perkampungan larian untuk mengambil kelengkapan lari. Di sini aku berjumpa wajah-wajah yang lazim. Mana yang aku kenali, aku tegur dan bertukar jenaka.

Pulang ke hotel selepas makan dan tidur pada jam 11 malam. Sempat aku makan yongtaufu buat bekalan tenaga menghadapi azab esok pagi.

Jam 8 pagi, aku bermula lari dengan para peserta acara 55k yang lain. Aku memulakan langkah dengan penuh cermat dan waspada. Perlahan sahaja. Tidak perlu tergopoh kerana ini adalah acara yang memerlukan ketahanan, bukan kelajuan.

Bukit pertama berjaya dilepasi. Santai.

Bukit kedua memerlukan keupayaan dan kebijakan menapak kaki sambil bergayut memegang tali. Turun bukit tidak boleh laju, jika tidak pasti mendapat habuan dan menyesal.

Dan selepas tiba di CP2, bertemu Bukit Larut dengan ketinggian 1250 meter. Ada kira-kira 7km dengan tanjakan sebanyak 1000 meter. Oh Tuhan. Di sinilah kekuatan mental dan tenaga peserta diuji. Aku naik perlahan-lahan, berehat, berhenti, melihat awan, melihat flora, mendengar bunyi mergastua malah berfikir untuk kekal kahwin satu. Aku malah mempersoalkan untuk apa aku melakukan semua ini. 2km sebelum sampai puncak, peha sudah mula kejang. Lepas aku spray dengan Salonpas, aku sapu minyak panas. Aku urut dan belai supaya darah berjalan lancar, teruskan mendaki dan perbuatan ini diulang sampailah ke puncak. Aku dan beberapa pelari lain saling berpesan,

“Kalau dah sampai atas, jerit kuat-kuat.”

Masalahnya, lepas naik, naik. Lepas tu naik lagi. Lepas tu naik, dan naik lagi. Mental!

Tapi punyalah gembira bila aku sampai puncak dan jumpa menara Telekom. Aku jerit kuat-kuat sebagai isyarat untuk orang bawah.

“Ooooooooo! Oooooooo!” Memang seronok!

Sampai atas puncak memang aku niat untuk jalan sampai CP3 (ada lagi 4km) dan potong bib. DNF. Aku tak peduli, peha memang dah menangkap. Bak kata netizen, “tak boleh bawa bincang.” (Emoji tutup mulut)

Di CP Angkasa aku nak makan bubur. Rupanya tiada makanan berat. Harus ke CP4. Baikkk, aku sahut cabaran ini. Aku mahu menyelami perasaan William Edward Maxwell ketika mendiami bukit ini dan turun di sepanjang laluan berkabus dan licin. Entah mengapa tiba-tiba peha aku kembali segar dan sihat ketika menuruni laluan tar. Ada dua pelari yang meyakinkan aku untuk meneruskan larian dan tidak berhenti di CP.

“Boleh, nanti sampai CP kita makan nasi, cari benda masin sikit.”

“Kalau dah nak cramp nanti, rehat je. Jangan tunggu sampai sakit.”

Aku akur dan mula was-was untuk DNF. Andang perjuangan kembali menyala di dadaku.

Aku teruskannnnn. Aku kemudian berlari turun bukit dan kembali berjalan 100 meter kemudian. Gila betul dia punya selekoh dan turun bukit. Sakit lutut dengan tapak kaki. Tengah layan perasaan turun bukit, lalu sebuah pacuan 4 roda dan Afham duduk di dalamnya. Bukan main senang hati beliau turun bukit naik kereta. Panas hati aku. Aku jerit ‘woiii’ sebagai tanda protes.

Jam 7:30 malam, aku tiba di CP4. Aku makan nasi, mee goreng, ayam, dan cekodok. Aku sempat berbicara dan mendapatkan pandangan Afham yang tenang makan nasi dengan ayam goreng. Beliau juga menyarankan untuk aku meneruskan larian. Begitu besar jiwa pemuda Sungai Isap, Kuantan ini. Malah berkata sanggup menunggu di garisan penamat.

Dari CP4, aku harus memakai lampu kepala kerana hari sudah gelap. Ketika meninggalkan CP4, aku berseorangan. Gugup juga masuk hutan seorang diri. Sengaja aku jalan lambat supaya orang belakang boleh mampir. Nasib baik tak lama kemudian aku nampak nyalaan lampu pelari di belakang. Phew!

Baki 3 bukit seterusnya aku redah dengan ilmu kebatinan. Ada beberapa bahagian yang agak sukar kerana turun dengan curam. Ada juga beberapa pelari yang tersungkur dan menahan sakit. Aku doakan mereka selamat.

Akhirnya pada jam 12:22:32 aku berjaya melintasi garisan akhir menandakan perjuangan sudah berakhir dengan jaya. Pengacara menyebut namaku dan beberapa orang yang tidak aku kenali mengucapkan tahniah. Teringin aku membuat tanda bagus dengan tangan kanan namun aku tahan perasaan itu.

Berbalik kepada persoalan mengapa larian denai ibarat sumur yang memberi kesegaran dan kepuasan. Ketika di dalam hutan aku boleh bertemu ramai orang dan berborak seperti sudah berkawan akrab. Kami berborak tentang mahu DNF, makan nasi sebagai bekalan tenaga, minum teh panas di CP, tentang pengalaman di acara lain, tolong tangkap gambar ketika di puncak gunung dan banyak lagi pengalaman manis yang hanya dijumpai ketika kepayahan di dalam hutan. Sesuatu yang sukar dicari ketika lari di jalanan.

Akhir kata, tahniah buat semua peserta MMTF 2019. Semoga bertemu lagi di edisi akan datang.

Emoji ibu jari ke atas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s