Mengikut kajian yang telah aku dapat dari penggalian dan penyelidikan unsur sejarah, aku mendapati bahwa Hang Tuah di zaman dahulu adalah seorang pelari denai. Lebih mesra disebut trail runner di zaman ini.
Hang Tuah akan bangun dua jam sebelum subuh dan bersiap-sedia untuk masuk ke hutan. Beliau akan mengenakan beg Salomon berwarna biru dan membawa bersamanya air sebanyak 2 liter. Menurut tinjauan aku lagi, Hang Tuah gemar mendaki Gunung Ledang, Angsi dan Datok.
Hang Tuah akan berlari naik dan turun gunung. Segala denai, bukit, lembah, bukau dan rabung akan Hang Tuah teroka. Berjumpa mergastua hutan tidaklah menjadi kekhuatiran bagi Hang Tuah kerana Hang Tuah pernah menjadi sukarelawan di Zoo Melaka.
Sebaik habis sesi latihan di hutan, Hang Tuah pulang ke rumah langsung membasuh kasut dan peralatan lain yang penuh dengan lumpur dan tanah. Hang Tuah tidak pernah menyuruh isterinya membasuhkan kasut dan peralatan kerana Hang Tuah tahu isterinya sudah penat menguruskan tempat tinggal mereka. Isterinya juga memahami sebab dan musabab Hang Tuah masuk ke hutan. Bukan suka-suki mencari penyakit, namun penuh dengan makrifat dan khasiat.
Begitulah rahsia kekuatan Hang Tuah. Menjadi trail runner dalam kehidupan. Berlatih dan melihat alam semulajadi. Menghirup udara segar yang diciptakan Tuhan. Bukanlah rahsia beliau terletak pada huruf Ta sahaja.