4 tahun sebelum Covid, Pulau Dewa-dewa

Selama ini, aku sangka aku boleh berkelana seorang diri dengan tempoh yang lama.

Lepas 3 hari tengok pantai sorang-sorang, aku putus asa bertanya diriku apa ke gila aku buat dekat Gili Trawangan sorang-sorang? Terus aku beli tiket pesawat ke Bali. Kalau duit Malaysia RM95 lebih kurang harganya untuk perjalanan sehala.

20 minit terbang ke awan dari Lombok.

Sampai bandara Ngurah Rai, saudara Firdaus atau lebih senang dipanggil Pipiyapong sudah menunggu.

“Aku lepak dengan brader teksi ni, main chess.” mesej dari Firdaus.

“Orait kasi check-mate cepat,” aku balas.

Kemudian kami langsung ke Sanur untuk mendaftar masuk di Little Pond. Little Pond bagi aku adalah kediaman yang begitu selesa untuk didiami dan sangat berpatutan harganya. RM75 satu malam.

Selepas itu kami lepak makan dan sempat juga aku tanyakan kehidupannya di Bali. Dia macam biasa dicampak ke mana-mana masih hidup tenang dan santai hisap rokok.

Esoknya kami kembali ke Ngurah Rai berdua dengan motor masing-masing untuk mengambil Eman dan Vovin yang baru tiba dari Kuala Lumpur.

“Selamat datang ke Bali, mas Nazri.” kataku pada Vovin.

Memandang bolasepak dari sudut sejarah dan emosi yang beraja di dalam sukma

Malam tadi aku ke Bukit Jalil untuk bersama-sama merasakan kehangatan emosi yang sudah lama membarah di antara dua negara. Perasaan dendam yang wujud sekian lama sejak perang Majapahahit dan Srivijaya, Aceh Tanah Rencong dan Empayar Emas Melaka, konfrontasi Indonesia Raya dan Greater Malaysia kini hadir di dalam bentuk perlawanan bola sepak.

Mana mungkin aku ketinggalan. Pastilah aku juga mahu ke stadium berhempas-pulas mencari ruang di antara dua motor untuk menyelitkan pacuan dua rodaku.

Aku sampai ke stadium jam 8 malam. Terima kasih untuk tempat duduk bernombor! Walaupun masih ada kelemahannya tapi benda baik haruslah disambut dengan dakapan yang mesra.

Aku dapat merasakan permusuhan menyala-nyala sebaik sahaja lagu Indonesia Raya berkumandang di Gelora Bung Jalil. Diikuti dengan Negaraku.

Dan emosi memuncak apabila Safawi menyumbat gol pertama. Apalah daya seorang manusia untuk menahan dirinya sendiri apabila dopamine dan serotonin sedang merangsang deria otak dan mencetuskan kegembiraan? Lambaian tangan diajukan ke udara dan ditujukan ke arah penyokong Garuda yang kemudian tidak dapat menahan emosi mereka.

Penyokong Malaysia membaling botol.

Indonesia membaling suar. Kemudian suar dibaling semula ke arah penyokong Indonesia. Dibaling semula ke arah Malaysia.

Polis dan petugas bertungkus-lumus mereda dan mengawal keadaan.

Tidak lama kemudian Safawi menyumbat gol kedua untuk Harimau Malaya dan mencetuskan sekali lagi letusan emosi.

Botol air kini di udara dan bertukar hak milik. Kali ini polis juga dibaling objek oleh penyokong Indonesia. Kerusi stadium dipatahkan dan dilempar ke arah penyokong Malaysia. Penyokong Malaysia membalasnya dengan balingan air mineral dannnnnnn tamatlah 90 minit masa permainan.

Aku tersenyum puas. Beginilah sepatutnya bolasepak. Penuh dengan amarah dan rasa ketidakpuashatian. Inilah yang membuatkan bolasepak akan kekal sebagai sukan nombor satu selagi adanya bulan dan bintang.

Hari Malaysia, jerebu dan mufti

Kuala Lumpur, 16 September 2019 – Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, hari ini masyarakat Malaysia baik yang warganegara, penduduk tetap atau pembeli kad pengenalan berharga RM600,000 menyambut kedatangan Hari Malaysia dengan penuh sugul dan berpada-pada.

Keadaan ini disebabkan kerana seorang presiden negara jiran telah bersepakat untuk membiarkan asap dari negaranya yang dipenuhi partikel atom berbahaya terbang ke Malaysia dan kawasan sekitar.

Amir Amri, ketika ditemubual menjelaskan dia berasa rimas dengan kehadiran jerebu kerana tidak dapat melakukan latihan lariannya.

“Selalu saya kalau hari Sabtu atau Ahad dapatlah buat dalam 10km ke 15km. Tapi sejak ada jerebu ni, duduk rumah tengok Netflix sahaja.”

Manakala Nazmi Ramli yang sering ke hutan menjelang waktu senggang juga mengutarakan kebimbangannya terhadap jerebu yang mengganas di ibu kota.

“Kami kalau weekend selalu la pergi camping masuk hutan panjat gunung. Tapi bila dah jadi macam ni, haihhhh.” ujarnya sambil menggeleng kepala.

Kegusaran mereka berasas dan berpatutan, kerajaan juga mengambil langkah tepat dengan menutup sekolah bagi mengelakkan kejadian yang lebih memudaratkan. Walaupun dipersoalkan budak UiTM yang bertanya adakah mereka ikan dan bernafas dengan insang.

Kami di nusadankejora okay sahaja kalau kerajaan tidak memberi cuti mudarat kepada orang awam. Cuma satu yang bermain di fikiran kami.

Adakah, solat, jumaat… boleh dibatalkan jika jerebu semakin berbahaya?

Semoga ada mufti yang menjawab soalan ini.

Adalah solat jumaat harus dibatalkan jika jerebu melebihi tahap berbahaya?

Pulang dari solat jumaat aku mencari seliparku yang disimpan rapi di rak kasut. Sebelum itu aku sudah berdoa bahawa selipar itu selamat sejahtera tidak dicuri.

Alhamdulilah ada.

Kemudian aku mendapatkan motor dan mula bergerak menyusur pulang ke pejabat.

Sampai di hadapan perhentian bas, aku tengok dari jauh budak-budak sekolah ingin melintas jalan. Sebagai manusia yang penuh beradab, aku membuat isyarat tangan supaya mereka melintas. Sudah menjadi kewajipan untuk kenderaan yang mengalah dan mengutamakan pejalan kaki.

Walaupun mereka jalan perlahan dengan lenggang-lenggok penuh gemalai, aku tenang menunggu mereka melintas.

Kemudian salah seorang dari mereka mengucapkan terima kasih. Diakhiri dengan ‘pakcik’.

Pakcik?

Sama ada aku menerima bahawa umurku sudah lanjut, atau aku naik pembahagi jalan dan langgar semua budak tadi.

Jangkar diangkat. Layar dibuka. Bintang sebagai panduan. Dan angin yang menolak ke hadapan.

Laut membiru yang terbentang luas di hadapan aku tatap bersama secangkir kopi. Kopi yang dibancuh dengan penuh belaian mesra tangan lelaki dari Malaysia ini terasa tepat dan jitu di hujung lidah.

Sambil melihat awan-gemawan di atas perbukitan savana, aku mengira kelajuan phinisi dengan ilmu Kajian Tempatan yang penuh di dada. Berdasarkan gelap warna air, aku mengagak kedalaman dasar laut. Cukup dengan sedikit matematik asas, aku sangat yakin dengan congakan yang dibuat.

Hmmmm. 3 batu nautika per jam. Getus hatiku.

Selepas habis meminum kopi, aku naik ke geladak paling atas di mana kapten mengawal phinisi. Kabin kapten lengkap dengan kemudi, katil, pendingin hawa, alat komunikasi dan sistem navigasi di laut. Seperti sahabat yang sudah mengenali lama, aku menyapanya dan memulakan omong kosong.

“Saya dahulu sering ke Malaysia. Di Kuching.”

Kapten menceritakan pengalaman membawa kapal besar yang sarat dengan muatan kayu untuk dijual di Kuching.

“Lama saya di Kalimantan dulu bang. Isteri saya juga aslinya sana.”

“Kemudian 2011 saya pulang ke sini. Kerja bawa kapal di Labuan Bajo sahaja.”

Seronok mendengar cerita kapten, yang berlainan kehidupan dariku. Entah berapa kali dia melawan ribut di laut lepas, dan entah taufan apakah yang paling getir dihadapinya.

Aku membayangkan kehidupan di laut.

Ketika peralihan angin monsun.

Di malam hari.

Hujan lebat yang sejuk mengigit berserta guruh dan halilintar.

Angin yang bergulung membawa bersama malapetaka.

Ah, kehidupan di lautan yang tidak pernah dangkal dengan pengalaman. Satu hari nanti aku akan punya kapal sendiri.

Tapi, bagi aku belajar berenang dulu.

Pulau Dewata Bali Marathon, sebuah hadiah dari Dewata Mulia Raya untuk para pelarinya.

Jam 3 pagi aku bangun bersiap dan menuju Bali Safari Park dengan sepeda motor. Bersama isteriku yang menjadi co-pilot di belakang, kami membelah kedinginan pagi hari yang begitu asri dan menyegarkan.

“Kiri, kiri!” Isteriku terpaksa menjerit sedikit. Biasalah, naik motor.

“Lagiiiii 1 kilo, belok kanannnn!”

“Terusssssss je 11 kilometerrrrr!”

Tiba pada jam 4:45 pagi, aku mencari ruang yang paling hampir dengan garis permulaan. Half Marathon bermula pada jam 5:15 pagi. Selepas melakukan sedikit regangan, aku bersalaman dengan isteriku yang berlari lewat sedikit, jam 6 pagi. Ohhh begitu pahitnya perpisahan.

Aku mula berlari.

5 kilometer pertama aku terperangkap dalam kumpulan pelari yang begitu ramai. Di situ aku sudah tahu akan kehilangan waktu sasaranku iaitu 2:15:00.

Kemudian di KM6 jalur larian mulai menanjak. Slow and steady wins you the race, ujarku di dalam hati.

Kira-kira di KM8, ada seorang biduanita menghampiri dan berlari betul-betul di sebelahku. Dengan kelajuan yang sama, kami menapak ke hadapan bersama beriringan. Seolah-olah ada chemistry di antara kami.

Kemudian dia memotongku, dan aku memotongnya kembali, aku kembali dipotong, dan mendahuluinya semula. Babak ini berlarutan dan terus berlanjutan.

Aku terfikir untuk menyatakan kepada biduanita ini bahawa aku sudah berpunya, malah aku sudah berfikir dialog untuk dikatakan padanya.

“Nona manis, maafkan saya jikalau menghampakan nona manis. Saya sudah beristeri dan berfikir untuk hidup bersama si dia untuk 1000 tahun lagi.”

Namun aku menyimpan hasratku. Dan membiarkan gadis itu hilang selepas tiba di kawasan yang menuruni bukit. Gadis itu hilang di dalam keramaian orang. Tinggallah aku, yang berasa lega dan mula menikmati pemandangan yang asyik dan lestari alamnya. Di kejauhan, puncak Gunung Agung diselubungi awan. Pohon cempaka yang tumbuh di setiap sudut pulau, wangian setanggi, ukiran asli budaya Bali dan penduduk desa yang menyokong di tepi jalan betul-betul mewarnakan hariku.

Aku amat gembira berlari pada hari ini. Walaupun dibakar matahari Bali, nafas terasa begitu segar, mungkin kerana di Bali ini alamnya masih hijau, apatah lagi jalur larian ini tidak ada pembangunan yang begitu tamak. Langkahku berjaya diatur dengan penuh baik.

KM17, anak-anak kecil meminta pisang kepadaku.

“Banana! Banana!”

Aku memberi mereka pisang yang aku dapat di KM14.

“Yeayyyyyyyy!” Mereka ketawa dan bersorak beramai-ramai membuatkan aku terfikir,

“kat Bali ni takde pisang ke?”

Aku merasakan aku telah membuat satu kebaikan dan terus bersemangat untuk berlari dengan lebih kencang. Mengikut jam Garmin, pace-nya 5:45. Terima kasih anak-anak Bali!

Dan kemudian aku berjaya menamatkan larian. Aku mencari isteriku. Kami disatukan semula setelah berpisah dengan sangat lama. Setiap minit terasa bagaikan setahun. Ohhh kekasihku.

Kami menangkap gambar bersama untuk memori di masa hadapan.

Pengalaman yang seronok di Bali Marathon. Mungkin aku akan kembali lagi, berlari Full Marathon pula.

Sebuah pendapat: Cantik Itu Luka

Aku membeli buku ini ketika berkunjung ke Bali pada 2016 dan setelah isteriku berkata,

“Dah dua tahun I tengok you baca buku ni, dah dekat nak habis pun.”

Di dalam hatiku, “Salahkan The Division, FIFA dan Fortnite.”

beauty-is-a-wound-indonesian-cover

Akhinya aku habis membaca Cantik Itu Luka yang ditulis Eka Kurniawan. Seperti novelnya yang lain, Eka amat gemar bermain dengan plot yang bertukar secara tiba-tiba dan tak disangka serta pada pendapatku, sebuah nista.

Apabila aku membaca sedikit demi sedikit, minda aku akan berasa penuh dengan perkara-perkara kotor dan jijik. Ya, inilah Eka Kurniawan yang aku kenali. Namun perkara-perkara kotor inilah yang membuatkan mindaku menjadi semakin ghairah untuk membaca. Seolah aku menjadi orang tidak waras dan kemudian mendalami watak-watak itu dan mahu melakukan perkara-kara yang jelik itu.

Cantik Itu Luka berjalan dengan tepat di atas sejarah Indonesia dari zaman kolonial, penjajahan Jepun, pemberontakan, kebebasan, komunis, dan selepasnya. Pembaca akan dapat mengenali sedikit lipatan sejarah yang terjadi di Indonesia. Aku suka cerita yang berjalan merentasi era dan memasuki era yang lain.

Pendek kata, Cantik Itu Luka dipenuhi tragedi, nista dan kasih sayang. Sepertimana yang kita tahu, kasih sayang dan percintaan yang rumit itu terlalu sukar untuk diperjelaskan. Di penghujungnya, kita manusia ciptaan Dewata Mulia Raya adalah insan yang perlu dikasih dan berkasih.

Salam Ramadhan yang ke 21.