Dia Divock, dan dialah peneman rembulan di malam hari

Terlalu banyak perkara baik tentang Divock Origi sehingga aku kehabisan dakwat menulisnya. Susuk gagah ini telah banyak melakukan perkara ajaib dan membawa keriangan pada semesta yang kita diami.

Andai Liverpool adalah satu gerakan, maka Divock Origi-lah pelopornya. Dialah yang akan memasukkan sehelai kertas ke dalam mesin taip, menggulungnya dan kemudian menekan satu persatu aksara yang boleh jadi berbunyi “Ke hadapan Perdana Menteri yang kami setiap hari sakit hati melihat wajahmu, negeri ini lucu sekali. Terimalah warkah ini yang dinukil penuh ikhlas dari tepian pantai yang pasirnya putih dan ombaknya tenang.”

Dan jika bolasepak itu dibayangkan sebagai sebuah galaksi, maka Divock Origi adalah jajaran bintang yang kita kenali sebagai Bima Sakti. Begitu megah dan mempesona bila dilihat di langit malam. (Sila cari tempat yang tiada pencemaran lampu dan awannya tidak tebal)

Hari ini, dek kerana kecederaan, kita tidak dapat lagi melihat Divock Origi berlarian di atas padang tersenyum menyumbat gol ke kubu lawan menggunakan jersi Liverpool.

Untukmu Divock Origi, Si Jalur Terang Peneman Bulan, terima kasih. Semoga maju jaya dan menjadi perwira di tempat baru.

Liverpool Darul Piala

Seingat saya bermain bola ketika raya kedua adalah satu perkara yang tidak pernah saya lakukan sepanjang hidup. Kita harus memberi sorakan gemuruh pada semua pemain dan pegawai Liverpool kerana sanggup mengorbankan raya mereka. Mereka juga ada saudara-mara dan sahabat untuk dikunjung.

Pemain dan pegawai Liverpool ambil pesawat pertama ke Sepanyol selepas takbir raya, dan langsung ke stadium. Semuanya dengan niat untuk mengajar Villareal dan mungkin Atletico serta Everton apakah itu bolasepak sebenar yang dimainkan oleh lelaki sejati. Mungkin Manchester United juga boleh belajar sedikit. Tapi saya ragui ini.

Villareal seperti yang kita sedar, pemain mereka tidak boleh disentuh. Mereka mempunyai daya tahan seorang bayi yang baru lahir. Banyak masa dibuang dengan tergolek, baring dan mengadu kesakitan. Kemudian mereka memilih dari sudut manakah bola itu harus dialihkan? Selalunya paling belakang supaya masa boleh dibazirkan dengan lebih banyak.

Coretan hati seorang peminat bola (sebenar)

Syukurlah Liverpool (harapan segenap manusia) berjaya mengatasi halangan ini. Atas semangat kepahlawanan, mereka dengan cekal meniti ranjau berliku dan berjaya menghasilkan gol demi gol. Cuma separuh masa pertama mereka bolos dua gol kerana kita semua tahu juadah raya sukar ditolak. 45 minit diperlukan untuk hadam segala lemang, burasak dan rendang.

Baiklah semua, teruskan beraya dan nikmatilah hidup ini. Ingat, ada tiga perkara yang pasti dalam hidup.

Kesesakan jalan menjelang raya.

Beratur sebelum makan nasi kandar.

Dan Jurgen Klopp mengukir senyum untuk harimu yang lebih ceria.

Teman-teman, kita telah tiba di hadapan gua. Ikut lentera ini, kita ke dalam.

Kebelakangan ini saya melihat Liverpool dari sudut pandang yang penuh berseri-seri. Saya tidak pasti andai petaka ini dilihat sebagai sebuah sinar untuk orang lain. Jika benar mereka menari kegembiraan, saya harap mereka tidak lepas permohonan i-Sinar.

Lalu pagi ini dengan hati yang membara saya menghidupkan laptop dan memancarkan perlawanan Liverpool pada televisyen di ruang tamu. Saya dan dua ekor kucing saya hairan melihat Origi begitu yakin menggelecek bola lalu menyepaknya dari jauh tepat ke palang gol. Dia tersenyum, saya tersenyum, kucing saya menyengetkan kepala. Seperti gempa yang menggoncang akibat pergerakan kepingan bumi, begitu jualah penalti yang disebabkan sifat longlai pemain Liverpool.

Burnley kemudian berhasil meleburkan rekod Liverpool di Anfield yang telah dibina pemain bola terhebat pernah lahir di dunia iaitu Van Dijk.

Roman dalam menyokong Liverpool mengajar saya untuk kekal bersyukur melihat alam yang serba indah dan masih boleh dilestarikan. Dipujuk hati ini ke dapur, dipotong bawang menjadi hirisan tipis, lalu ditumbuk bersama cili. Enzim syn-propanethial-S-oxide yang ada dalam bawang itu kemudian masuk ke mata, dan saya relakan air mata ini tumpah. Semoga nasi goreng ini enak menjadi bekalan makan isteri saya ketika di pejabat. Kemudian saya bersiap-siap keluar rumah, saya telah berjanji untuk bertemu rakan-rakan seperjuangan di hadapan pintu gua.

Sebelum masuk, sempat saya pesan pada teman-teman di belakang untuk menjaga penjarakan sosial dan terus teguh dengan pegangan heavy metal football.

“Biar tewas, jangan kau lepas pedoman ini. Ini lebih baik dari menaikkan syiar berkubu di hadapan penjaga gol.”

Selepas kami diam agak lama merawat luka, tiba-tiba ada yang berpendapat,

“Sebelum berhenti hisap rokok haritu, okay je Liverpool menang. Jangan sampai aku hisap rokok semula.”

EPL, perlawanan kedua

Wartawan: Tuan, ada percubaan untuk mengatakan bahawa Chelsea ialah musuh utama Liverpool. Apa pendapat tuan?

Frank Lampard: Ya. Sebenarnya kami memang musuh ketat kepada Liverpool. Kami sentiasa bersemangat dan memandang tinggi setiap pertembungan dengan Liverpool. Mereka ialah juara 6 kali Eropah dan kami adalah musuh yang tepat untuk mereka.

W: Maknanya perlawanan bertemu Liverpool akan menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu dan dihadapi dengan persediaan yang sangat rapi.

FL: Benar.

W: Tapi semalam macam tak melawan je?

FL: 0-2, okaylah tu.

W: Baik, dalam rumusan yang padat dan singkat, apa sebenarnya yang terjadi kepada Chelsea semalam? Di mana salahnya dan mengapa takde pun semangat melawan tu. Kata rival kuat?

FL: Budak baru yang saya beli tu lari je laju, tapi takde otak.

W: Maknanya ini semua salah Timo Werner?

FL: Tentu sekali.

W: Kenapa tuan beli dia?

Frank Lampard dilihat mengeluarkan telefon dari koceknya walaupun tidak berdering dan meletakkan telefon di telinga.

FL: Helo, helo. Siapa ni? Aaa ya ni saya Frank Lampard. Apaaa? Betul ke ni?

Frank Lampard berjalan keluar dan menutup pintu dengan cermat.

Seperti dendam, rindu harus dibayar tuntas

Seperti yang kita sedia maklum, malam tadi telah terjadi satu peristiwa yang boleh kita simpan di benak memori dan mencatitnya dalam lipatan sejarah. Kemenangan 4-1 ke atas Man City di sebuah lokasi terletak di Manchester ini sebenarnya titik penting untuk sebuah kemajuan dan revolusi bola Liverpool.

Di dalam perlawanan malam tadi kita boleh melihat transformasi Liverpool yang berubah dari sebuah pasukan demokrasi terpimpin menjadi pasukan yang luhur perlembagaannya.

Sebaik sahaja Joe Hart menyepak bola, pemain Liverpool sudah menunggu dan bersedia untuk berlari lalu memberikan tekanan yang bukan sedikit, tapi hadir seperti ombak gadang menyapu bersih seluruh pantai.

Rampas, hantar, lari, cipta ruang, maju ke depan. Begitu manis sekali gaya Liverpool membajak Man City di laman sendiri. Sudah begitu lama aku tidak tersenyum puas melihat Liverpool menuai hasil seperti malam tadi. Nafsu syahwat aku menaik setiap kali gerakan-gerakan ke kubu lawan disusun. Kalau kau baca Seperti Dendam Rindu Harus Dibayar Tuntas tulisan Eka Kurniawan, burung Ajo Kawir pun bisa ngaceng tengok Liverpool main malam tadi.

Begitupun menang, Jürgen Klopp masih merasakan ada ruang yang boleh diperbaiki. Dah menang 4-1 pun kau nak baiki lagi? Kau… Kau… Kau memang khalifah yang ditunggu-tunggu la Klopp!

Bagi aku Emre Can adalah adiwira yang tidak didendang. Umpanan menggunakan buku lali, ruang yang dicipta beliau, tekanan terhadap pihak lawan, menutup ruang untuk Man City bergerak. Aaaahhhhhhh, kalau boleh memang aku nak buat adik angkat la Emre Can ni.

Baiklah tuan-puan, ayuh kita nikmati sebuah ahad yang baik dan tidak seperti gambar di bawah.