Tetamu twitfemes

Semalam ketika aku sedang bertempur di sebuah sistem cakerawala yang terletak beratus ribu tahun cahaya dari Sistem Suria, telefon aku menyala. Aku memang setiap masa meletakkan telefon dalam keadaan silent. Mungkin kerana aku seorang pemuda yang gemarkan ketenangan.

Aku tak perasan Zharif cuba menghubungiku. Rupanya beliau sudah berada di hadapan pintu rumah. Mungkin sedang mengetap bibir kerana aku tidak mempedulikannya. Maafkan aku Zharif, selaku askar Imperial aku perlu melawan cubaan tentera Rebellion yang ingin menembak Imperial Walker.

Lantas aku meletakkan joystik dan berlari  anak menuju ke pintu rumah. Aku perlu menunjukkan bahawa aku rasa bersalah kerana membiarkan Zharif lama di depan pintu rumah.

Sebaik pintu dibuka, Zharif sedang tersenyum. Begitu bertuah gadis yang akan mengahwini pemuda ini, kata aku di dalam hati. Sudahlah sanggup menunggu lama, senyum pula bila pintu dibuka.

Kemudian aku menjemputnya masuk dan menyediakan tempat tidur paling enak di dunia. Aku ambil tilam angin, dua biji bantal dan juga selimut tebal. Aku dapat rasakan keadaan Zharif ketika itu benar-benar selesa dan benar-benar rasa dihargai. Selepas aku memastikan beliau settle down di atas tilam angin, aku ke dapur. Aku mahu menyediakan minuman paling enak untuk Zharif. Aku benar-benar mahu dia merasakan betapa syurganya jika ke rumah ini. Aku ambil limau purut, aku belah dengan pisau dan aku picit masuk ke dalam jag. Dicampurkan dengan sedikit air panas dan gula secukup rasa, aku tambah dengan air batu.

Kemudian aku membawa limau ais tadi ke dalam bilik dan menuangkan ke dalam cawan. Aku dapat lihat mata Zharif yang berkaca ketika meminum limau ais yang aku bancuh khas untuknya.

“Power, power.” Puji Zharif kepada aku.

Mendengar komen yang positif dari Zharif sudah cukup untuk membuatkan aku senang hati dan gembira.

Mungkin inilah perasaan yang sama ketika ibu melihat aku minum milo sebelum ke sekolah dahulu.

Ohhh, kerinduan pada ibunda.

:)

Ketika melihat Hendo menahan bola dan menolaknya ke dalam gawang dengan penuh susila, aku tengah baring. Suhu bilik yang menurun sehingga ke paras 21 darjah selsius memaksa aku untuk terus kekal di dalam selimut. Hendo punya gol tu kalau kau tengok TV arab,

Goooooooooollllllllllllllllllllll!

Mustaheeeeeeeelllll!

Mustaheeeeeeellllll!

Kalau pasukan kau yang kena, memang rasa nak pecahkan tv.

Hendo lari ke tengah padang diekori rakan-rakan. Sambil mengukir senyuman dia menggelongsor di atas padang Stamford Bridge. Disusuli ucapan tahniah dan berpelukan sesama mereka. Kemudian TV menunjukkan aksi Klopp yang melompat dari tempat duduk. Marko Grujic di belakang bagaikan baru percaya bahawa keajaiban itu sesungguhnya benar-benar wujud. Satu suasana yang sungguh meriah dan menguntum senyum di setiap wajah peminat Kop.

Bak kata Jorji di konti Ultrajang, manissssss.

Tidak lama kemudian, perlawanan tamat. Sengaja aku biarkan TV terbuka walaupun sudah subuh hari dan mahu tidur. Sambil melayari sosial media, aku tersenyum. Senyuman aku tidak dapat ditahan. Lagipun aku berhak untuk senyum. Kemudian barulah aku menutup TV, menarik selimut dan menyambung senyum. Pendek kata aku bakal tidur dan bangun pada hari sabtu dengan senyuman. Sungguh ceria jiwaku di waktu itu. 

Dua hari kemudian, pada hari ahad… senyuman aku semakin lebar. Terima kasih Manchester United. 

🙂

Surat terbuka untuk Zharif

Menemui sahabatku Zharif, yang kini telah keluar dari jalan lurus seorang laki-laki. Adapun persimpangan yang kau lalui sekarang ini menuju destinasi yang kabur dan kelam. Di hadapanmu itu liku-liku suram yang bakal dipenuhi cabaran yang bahayanya bisa mencengkam dirimu kelak.

Sahabatku Zharif,

Ranjau kehidupan ini memang tidak lurus… dan begitu banyak simpang. Namun simpang yang kau ambil, jalan yang kau susuri ini tidaklah elok untuk dirimu. Kerana jalan ini, selain dipenuhi jerangkap samar, juga semakin payah untuk didaki.

Pulanglah.

Pulanglah ke pangkal jalan. Jalan orang laki-laki, yang menjadi khalifah di bumi Tuhan. Jalan yang memerlukan fitrah kejadian seorang laki-laki. Jalan yang lurus ini perlu kau tempuhi dengan semangat perkasa dirimu, yang tegas dan penuh karisma seorang pembimbing keluarga.

Di bawah bayu yang bertiup dari Siberia.

Pagi itu aku memulakan hari dengan menggeliat. Selepas mendapatkan urrrghhhhh selama 8 harkat, aku bangun keluar dari bilik.

“Ibu masak salmon kari, nak makan pergi panaskan.”

Aku sayang ibuku. Bagiku ibu adalah segalanya. Bukanlah kerana dia menyediakan makanan sebaik sahaja aku bangun tidur, tapi untuk sebab-sebab lain sepertimana kalian menyayangi ibu kalian.

Kemudian ibu menambah,

“Kejap lagi adik balik dari sekolah, ibu nak tunggu dekat bawah.”

Adik balik sekolah? Ohhh, rupanya sudah hampir jam 3 petang. Aku betul-betul menyangka aku bangun tepat jam 10 pagi. Sebenarnya kalian tidak boleh salahkan aku. Cuaca dingin di Shanghai ini dan tiada kelibat matahari, ditambah dengan salji yang turun…

Pendek kata, memang sedap bangun lambat.

img_3084

Lantas aku ke dapur dan mendapatkan salmon kari. Selaku pemuda yang menjadi idaman ramai ibu-ibu, bakat memanaskan makanan yang ada pada diriku tiada tolok banding lagi. Perlahan-lahan aku ambil salmon, letak di atas pinggan, masukkan ke dalam mesin ketuhar dan aku tekan butang satu diikuti butang kosong.

10 saat sudah cukup untuk aku mendapatkan salmon kari yang enak.

Ditambah dengan nasi dan sayur brokoli, sedikit kicap masin yang aku bawa dari tanahair tempohari, di tengah musim sejuk yang anginnya kencang hingga membuatkan tingkap rumahku bergegar, suapan pertama telah membuatkan aku memejamkan mata dan bersyukur penuh tawaduq.

Sama ada kerana salmon lautan pasifik ini benar-benar segar, atau kerana air tangan ibuku. Aku lebih senang dengan pilihan kedua.

Amaran. Bukan cerita seram.

Kami menggabungkan dua khemah dan aku tidur di khemah berseorangan. Aku membiarkan pintu khemah terbuka dan Zharif tidur betul-betul di hadapan khemah. Dia bersama Din dan Daus tidur di bawah kanvas yang direntangkan di atas tali dan ruang yang terbuka membenarkan angin masuk menerpa kami semua. Aku terpaksa membuat keputusan drastik dan menutup pintu khemah. Keputusan ini diambil tanpa perlu mengira perasaan orang lain kerana aku tidur berseorangan di dalam khemah. Khemah aku ni ibarat lot corner, tidak mengganggu siapa-siapa.

Cuma aku kesian dengan Zharif, Din dan Daus yang tidur di bawah kanvas. Tapi sebenarnya mereka tidur di dalam beg tidur, sepatutnya tidaklah mereka merasa terlalu dingin.

Selepas menghalang hawa dingin masuk ke khemah, aku meneruskan usaha untuk tidur. Bertemankan bunyi cengkerik, deruan air dan burung yang bersahutan, aku memejamkan mata dan berdoa tidak diganggu benda yang bukan-bukan.

“Tunang aku tak bagi pergi sini, sebab dia dah pergi sini. Dia kata dekat sini ada macam-macam.” Berderau darah aku bila dengar Yin cakap tadi.

Cilakak! Kalau ada pun, janganlah cakap. Tak pasal-pasal aku payah nak tidur.

Aku pusing ke kiri, pusing ke kanan, betulkan alas kepala, tutup mata dengan baju, tetap tak boleh tidur. 2 jam sebelum itu, aku dan Zharif sudah sepakat mahu bangun awal dan bergerak ke Lata Medang. 

“Esok kita pergi Medang, kejap je pun nak pergi sana.” kata Zharif.

“Settttt, pukul berapa kita nak gerak?” aku mahu mendapatkan kepastian.

Zharif balas, “seeloknya awal pagi. Dalam jam 6.”

Jadi sekarang aku perlukan tidur. Aku perlu tidur untuk mendapatkan bekalan tenaga yang cukup. Aku tidak mahu menjadi seperti tentera salib yang kalah perang sebab tak cukup tidur. Tidur lambat, lepas tu kena serang lepas subuh. Oleh sebab itu aku perlu tidur dengan cepat. Demi penjelajahan ke Lata Medang!

Rupanya pagi itu Zharif bangun pukul 8 pagi. Aku hanya menggeleng kepala dan sambung memerhatikan Din yang sedang masak air. Mungkin sudah ditakdirkan aku dan Zharif tidak dapat ke Lata Medang hari ini. Atau mungkin Zharif memang sejenis kawan yang setiap kali kita tanya dekat mana, dia jawab “on the way.”