Ketika berjumpa Jennie di bawah rumah, dia kurus dan sangat lemah. Aku beri makan makanan kucing, dia makan dan kemudian terus duduk berehat. Tidak bermaya.
Dua hari kemudian isteriku mengambil keputusan untuk menjaganya sehingga dia sihat lantas diberikan kepada orang. Kucing berbaka siam dengan sedikit corak, agak mudah untuk dicarikan rumah baru yang selesa. Fikirku.
Tapi kami tidak dapat menjumpai Jennie sehinggalah hari esoknya ketika aku mahu ke kedai, berjumpa Jennie sedang tidur di atas lantai simen. Kasihan amat melihat keadaan tubuh badannya. Terus diambil dan dibawa ke klinik kucing.
Kami bawa pulang, mandikan, esoknya dibawa ke klinik semula. Isteriku mahu Jennie diuji sama ada dia mempunyai sakit parvo kerana kami mahu mencampurkan dia bersama Millie, Yoona dan Puisi.
Kasihan Jennie, rupanya ada parvo. Berdasarkan tanda yang ada, Jennie baru terkena parvo. Urat sarafnya telah rosak, dia punyai masalah mengawal badan dan kepalanya juga teleng.
“Kita bela. Biar kita jaga, tak payah carikan rumah lain.”Isteriku bersetuju.
Kemudian Jennie dibawa lagi ke doktor, aku tanya kenapa perut Jennie makin besar. Doktor buat ultrasound dan katanya itu hanya makanan yang dia makan, terlalu banyak. Aku tergelak. Baguslah jika dia berselera.
Seminggu kemudian dibawa lagi, sangkaanku tepat. Doktor mengesahkan dia mengandung. Ada dua kantung, makanya ada dua ekor anak dalam perut. Doktor kata peluang amat tipis untuk dia selamat, kucing mengandung ketika parvo, tubuhnya lemah. Jika berjaya lahir, anaknya juga bakal ada parvo, dan sukar hidup.
Setiap hari Jennie akan diberi ubat, diberi immune booster, dan najisnya beserta lantai tempat dia dikurung (dalam bilik) harus dibersihkan dengan Clorox. Masa yang lebih perlu diluang untuk Jennie demi meningkatkan peluangnya untuk kekal sihat.
Ada satu ketika, Jennie amat lemah, najisnya sangat cair menandakan sakitnya teruk. Aku bawa lagi ke klinik dan ditempatkan di wad selama seminggu di bawah rawatan rapi doktor. Rasanya setakat ini Jennie adalah kucing yang paling banyak berulang-alik ke klinik.
2/12/2021 jam 3 petang kira-kira dua bulan dari pertama kali aku mendukung Jennie untuk dibawa ke klinik, aku dengar bunyi miau miau miau yang sangat nyaring, aku fikir anak-anak Timtam bermain dan tersepit (ini cerita lain). Rupanya seekor anak Jennie telah selamat dilahirkan, oren putih warnanya. Dan uri telah dimakan Jennie.
Kemudian keluar lagi seekor. Putih hitam.
Yang ketiga juga putih hitam. (Uri nombor 3 ini aku potong sebab Jennie tak makan)
Dan terakhir, putih bersih dengan satu tompok kelabu cair di badannya.
4 ekor selamat dilahirkan dan sehingga kini masih sihat. Hari ini aku cuci mata kiri anak keduanya lantas terbuka elok.
“Dah nampak? Yeay.” Ku katakan padanya. Anak Jennie membalas miau miau.
Tidak seperti ibu kucing lain, kucing yang rosak saraf seperti Jennie mempunyai kesukaran untuk mengawal badan. Kadang-kadang dia akan menghempap anaknya dan anaknya menjerit menangis dengan suara nyaring dan di situlah pekerjaan yang aku lakukan dengan rela hati penuh gembira, mengangkat sedikit badan Jennie dan meletakkan anaknya di tempat selamat.

Terus hidup, sayang.