Jumaat lepas adalah hari terakhir Timtam bersama anak-anaknya. Tengahari aku menghantar Kat ke Putrajaya untuk menemani Ferrero yang telah dihantar sehari awal, dan petang Jumaat aku hantar Bueno ke Bukit Jalil.
Seperti biasa dada aku sesak setiap kali menghantar kucing ke rumah baru mereka. Jika diikutkan hati memang mereka akan bersama aku sepanjang hayat tapi apakan daya, memberi yang terbaik tidak semestinya hidup bersama. Melepaskan mereka demi kebajikan yang lebih terjaga dengan harapan kasih-sayang di tempat baru melimpah jauh lebih banyak dari apa yang mampu aku sediakan.
Timtam, seperti yang ku ceritakan sebelum ini telah beransur pulih dan lukanya tinggal sedikit sahaja. Timtam masih garang dan menyerang kucing lain di rumahku tapi biarlah dia dengan caranya. Aku akan terus bersamanya sehingga dia berasa selamat dan tenteram.
Kit, Kinder, Godiva, Ferrero, Kat, dan Bueno. Semoga kalian baik-baik sahaja dan memperoleh yang terbaik di tempat baru. Bersama keluarga baru yang penyayang.
Terima kasih kerana hadir selama 3 bulan di rumah ini. Tiada lagi 6 ekor anak kucing yang berlarian menyerbu katil sebaik pintu bilik dibuka.








