Entah mana gambar aku simpan, cilok dari Google sahajalah

Dari Ende, aku bertolak ke Moni jam 4 pagi. 6 pagi dijangka sampai di perkarangan letak kereta Gunung Kelimutu yang tersohor dengan kawah 3 warna.

Sumber gambar.

Sampai di parkir, 30 minit menanjak.

Tidak ada kawah pagi itu kerana puncak Kelimutu diselimuti kabus. Hanya yang ada beberapa pelancong yang setia menunggu bersama 3 penjual makanan dan minuman. Aku membeli secawan kopi dan sebungkus Indomie.

3 jam tunggu barulah mula kelihatan kawahnya. Magis dan penuh takjub aku melihat pesona warna yang dipengaruhi unsur sulfur dari pusat bumi.

Kalau tak sebab Vovin cekal menunggu, memang tidaklah aku dapat tengok kawah ni. Sebenarnya awal-awal lagi aku dah putus asa tunggu kabus hilang.

Dari Moni, kami terus ke Bajawa yang terletak 185km di barat pulau Flores.

Pemandangan ketika melintasi jalan panjang sepanjang pinggir laut, aduh. Cantik, cantik sekali. Dari jauh aku melihat pulau Sumba yang terkenal dengan kuda liarnya. Kuda hidup bebas melata di sana dan pengangkutan utama di sana menggunakan kuda.

Kuda liar di Sumba.

Nantilah jika ada kekuatan, aku akan ke Sumba pula.

Sampai di Bajawa, kami singgah dahulu di rumah adat Bena yang terletak di bawah kaki Gunung Inirie, gunung paling tajam puncaknya yang aku pernah lihat.

Sumber gambar, google.

Sepanjang perjalanan, aku banyak menghabiskan masa membuang pandangan ke kanan dan kiri. Sesekali kami berhenti dan kencing tepi jalan. Nasib baik tak ada rasa nak buang air. Satu hal nak cari port jauh sikit. Kanan kiri hanya hutan. Sesekali bertemu desa penempatan, dan membohonglah google maps kata 5 jam boleh selesai 185km.

Sampai hotel di Bajawa, dah malam. Terus makan, tidur dan lena. Tiada apa di Bajawa melainkan suhu dingin yang menggigit dan menjadi tempat istirehat kami untuk menyambung perjalanan esok paginya.

Chucky the Butcher

Tempohari aku membeli ayam nenas di AEON Jusco keluaran Aqina Farm. Inilah kali pertama aku beli ayam nenas. Ayam ini hanya makan nenas MD2. Jadi dagingnya lembut. Nanti aku cuba.

Sayangnya ayam ini disejukbeku dan datang seekor tanpa potongan. Bermakna aku harus memotong ayam ini kepada potongan kecil. Berbekalkan ilmu youtube di dada, aku sahut cabaran ini.

Sambil aku pegang pisau, sambil aku pause Youtube. Lepas aku potong, aku tekan ‘Play’ dan perkara ini berulang selama 5 minit. Hebat juga teknik dan gaya potongan aku. Rasa nak minta kerja pasar borong pun ada.

Habis potong aku minta tolong isteri aku bagi reviu.

“Kenapa macam tinggal sikit isi dia ni?”

Payah juga nak yakinkan dia aku potong stail ‘boneless chicken.’

Puzzle not dead

Tempohari aku beli puzzle demi menyemai semangat tidak mengenal putus asa. Aku yakin dengan mencantum puzzle boleh mendidik jiwa aku menjadi lebih kental.

Memang aku beli untuk memenuhi senggang waktu yang teramat banyak di waktu PKP ini. 1000 keping, berukuran 58cm x 38cm.

Bangun pagi main puzzle.

Lepas makan sambung.

Habis mandi tibai main puzzle lagi.

Penat bongkok, tegakkan badan. Lenguh duduk aku baring. Pendek kata memang puzzle puzzle puzzle!

Akhirnya selepas 5 hari, siap!

Akur kepada timbalan ketua keluarga

Sepanjang tempoh PKP, telah banyak kali aku dibebel oleh isteri. Kalau tidak dibebel, dia akan memberi jelingan. Ada sahaja yang akan ditangkap mata tajamnya.

Serbuk neskafe.

Serpihan biskut.

Tumpahan jus nenas.

Dan macam-macam lagi benda yang tidak sepatutnya ada di lantai.

PKP telah membuatkan kami berdua berada lebih lama di rumah dan secara logiknya semakin keraplah aku dibebel.

Tuhan, aku berterimakasih untuk isteriku. Aku malah hargai segala bebelan dan nasihatnya. Ini lebih baik daripada dia diam seribu bahasa.

Setiap kali mengelap lantai, aku akan melakukannya dengan rela dan senyuman di dalam hati.

Sekarang izinkan aku mencari pembantu rumah.

Nanas dan kejora

Habis hantar nenas kepada Nurul Husna, aku menyambung penghantaran pada Encik Saiful Bahari pula. Encik Saiful Bahari bekas pesilat dan mempunyai kontak rapat dengan Pesaka.

Sampai sahaja di kejiranan rumahnya, aku telefon. Dia suruh pergi Blok A tapi geram juga bangunan tak ada tulis nama blok ni. Apa Encik Saiful Bahari ni ingat aku ni tukang tilik ke? Mujur Encik Saiful Bahari cakap dia tunggu di sebelah taman permainan. Mudah sikit kerja mencari Blok A.

Aku parking kereta dan melangkah keluar sambil lagu M. Nasir – Hati Emas berkumandang dari radio kereta.

Selepas berbincang, Encik Saiful Bahari berkenan untuk membeli 10 biji buah.

“Ko pernah makan buah MD2 ni ke?”

Tak pernah dia jawab.

“Dah tu buat apa beli banyak-banyak? Pertama kali beli terus beli 10?”

Eh suka hati aku la, dia balas.

Aku tergelak dan kemudian menimbang 10 biji buah nenas. Kami bersurai selepas memberi salam wakanda.

Hari ke-13 PKP

Pagi tadi sebelum ke pejabat aku singgah beli roti Gardenia dan menyimpannya di kotak Givi di motor.

Habis kerja, aku pulang ke rumah dan parking motor dengan penuh santun.

Lalu aku membuka kotak Givi untuk mengambil roti Gardenia.

Dari ekor mata, aku dapat melihat jiranku sedang memerhati segala tingkah-laku dan gerak-geriku. Beliau di dapur, sedang membasuh pinggan.

Apa lagi, aku angkat roti, tepuk-tepuk sikit, usap dan belai roti Gardenia penuh manja. Aku dapat merasakan dia berasa cemburu dan memandang penuh iri.

Tak pernah aku sangka aku akan berasa bangga diri kerana mempunyai roti di tangan.