Demi Manchester United di masa mendatang yang cemerlang gemilang terbilang.

Ed Woodward ditinggalkan Malcom Glazer berseorangan di dalam bilik mesyuarat. Hanya tinggal Ed Woodward di dalam bilik itu bersama karipap pusing baki tinggalan mesyuarat mereka tadi. Ayat terakhir Malcom terngiang-ngiang di telinga Ed.

“Telefon mereka ikut senarai yang kita bincangkan tadi.”

Ed menarik nafas. Dan mula mendail nombor yang dicetak di atas kertas oleh setiausaha beliau yang punyai wajah manis, potongan badan 33-24-32 dan berambut perang. Setiausaha beliau ini sering pulang lewat kerana menemani Ed bekerja sehingga lewat malam namun cerita yang sebegitu tidak dapat ditulis di sini. Boleh cuba laman sesawang lain dengan kata kunci tertentu.

Berbalik kepada hal Ed yang sedang mendail nombor tadi. Beliau perlu mencari calon pengurus yang berkelayakan dan punyai cita-cita besar untuk mendukung Manchester United sehingga ke garisan akhir perlawanan musim ini. Dicetak di atas kertas, nama yang teratas sekali ialah Yazid Zidane, seorang pengurus yang sangat berkaliber.

“Hello assalamualaikum, Zidane.

Hai, Ed sini. Ed Woodward, Manchester United.

Apa khabar? Sihat ke?

Begini, kami ingat nak jadikan awak pengurus besar kami gantikan Mou…

Helo, helo. Yazid Zidane? Helo. Dengar tak?

Helo, helo?

Helo.”

“Babi, putus.” Ed Woodward menggigit bibir tanda geram.

“Takperrrr, takperrrrr. Aku call orang lain.”

Nombor kedua dihubungi.

“Helooooo, Pep Guardiola, helooooo. Ed Woodward sini.

Helooo?

Helooooo?

Punai anjing punya Pep.”

Ed melihat nama terakhir di atas kertas. Direnung lama-lama setiap huruf yang bergabung dan menjadi patah kata yang boleh disebut itu.

Dia bangun lalu menghisap rokok sambil melihat ke luar jendela. Dan kemudian duduk semula di hadapan telefon.

“Haihhh, lantak la apa nak jadi. Dia ni pun okay kot.”

Ed mendail nombor Ole Gunnar Solskjaer.

Akhirnya hari ini, seluruh peminat Manchester United berasa gembira dan melupakan jasa dan usaha David Moyes, Van Gaal dan Jose Mourinho.

Isteriku, yang selalu memayungi di angkasa

Semalam adalah hari ulangtahun perkahwinan kami yang kedua.

Tiada kesempatan untuk meraikan kerana ada hal yang penting perlu dilakukan, menghantar kayu ke rumah mertuaku untuk membuat reban ayam.

Kendati begitu, kami tidak lupa mengucapkan sayang antara satu sama lain dan berterima kasih untuk dua tahun hidup bersama.

Terima kasih isteriku untuk segala kekuatan yang kau tunjuk dan berikan.

Pagi ini, begitu jauh jarak memisahkan kita, kau di pejabatmu di Balakong, aku pula di Kuala Lumpur. Ohhh kerinduan.

Virgil van Dijk

Ketika bola berada di udara dan sedang menuju ke arah kapten Liverpool, hanya ada satu tujuan yang bermain di benaknya.

Lantas dengan penuh geliga, kapten Liverpool itu mencongak kesemua pembolehubah dan arah angin serta kekuatannya ketika bergeser dengan bola. Sebaik sahaja bola menghampiri beliau dalam kira-kira 1 meter, diangkat kakinya dan diperhalusi lagi dengan seni yang jarang ada pada pemain Arsenal dan sebuah kelab di bawah kendalian Jose Mourinho.

Pluppp! Bunyi bola disepak kapten Liverpool.

Hasilnya tepat seperti yang dicongak di benak pemikiran tadi. Bola meniti dua kali di atas tiang dan jatuh tepat ke depan gawang.

Disaat itu, Pickford yang tidak menduga seni bolasepak sedemikian masih hidup dan penuh asa, cuba mendapatkan bola dengan melompat namun tangannya hanya terkapai-kapai lemah di udara.

Origi yang tidak tahu apa-apa, hanya perlu melayangkan badan dan dia sendiri tidak sedar bola jatuh di atas kepalanya. Semuanya diatur tepat oleh kapten Liverpool itu tadi.

Gol. Dan bumi Anfield bergegar umpama guruh yang menghentam angkasa.

Semuanya atas jasa kapten Liverpool. Terima kasih kapten.

Terrrrrrrr. Maaf.

Pagi tadi hujan. Sebagai penunggang motor, aku bawa dengan penuh hati-hati. Sampai Jalan Tun Razak, ada kereta bagi isyarat dan terus membelok ke kiri. Ada rasa nak marah juga tapi aku tenang. Bila aku potong dia, dia angkat tangan tanda minta maaf.

Entah kenapa aku terbalas dengan jari tengah.

Kelam-kabut aku pecut motor.

Pilihan. A atau A.

Kelmarin, aku dan isteriku mahu makan di sebuah kedai yang masakannya sedap. Malang bagi kami, sampai sahaja di kedai, kedai itu tutup. Cuti sempena hari isnin agaknya.

Lalu aku tanya isteriku, sebagai ganti, di mana dia mahu makan.

“Ikutlah, awak nak makan apa? Saya tak kisah.” Ingatlah semua, bila dia ucap begini, bukanlah ini yang dia maksudkan. Ada maksud tersirat.

Aku lalu mencadangkan sebuah kedai nasi beryani.

“Tapi saya dah selalu pergi kedai nasi beryani.”

Dan aku mencadangkan kedai nasi ambeng.

“Hmmmmmmmm….”

Aku faham maksudnya. Dan aku tanya kembali kepada isteriku apa yang dia benar-benar mahu makan, walaupun dia berserah kepadaku mahu makan di mana sebentar tadi.

Tidak lama kemudian, kami sedang menunggu mee kolok.

Di kedai pilihan isteriku.

Membanting kaki 18.5km

Sampai di arena larian, aku meletakkan motor berdekatan dengan garisan permulaan. Di Putrajaya atau di mana-mana, naik motor adalah satu nikmat. Ketika orang lain sedang berpusing mencari parkir, aku tenang menaiki pembahagi jalan dan meletakkan motor di kaki lima.

Ini adalah kali pertama aku masuk kategori 42km. Jadi, agak teruja apabila masuk ke kandang larian. Orang di luar sedang memandang dengan penuh rasa kagum. Mungkin benar mereka kagum, mungkin tidak. Terpulang. Ha-ha.

Aku memanaskan badan cukup dengan regangan otot yang ringan-ringan. Tidak perlu banyak kerana aku akan menggunakan beberapa kilometer pertama untuk mengepam darah ke seluruh otot badan.

Sebaik sahaja larian dimulakan, orang di kanan kiri bersorak. Aku memulakan jam GPS dan berlari.

Namun dengan kuasa Tuhan penguasa semesta, hujan turun mencurah disertai dentuman guruh dan halilintar. Larian terganggu. Stokin basah lencun, nafas sukar diatur. Kilat guruh berdentam-dentum mengingatkan aku kepada ahli keluarga dan isteri tercinta, namun perjuangan 42km akan aku teruskan. Tiada istilah menyerah apalagi cabaran yang bakal mendatang adalah lebih sukar.

Tetapi apakan daya, hasrat untuk bergelar marathoner terpaksa ditangguhkan. Putrajaya Night Marathon terpaksa dibatalkan kerana faktor keselamatan. Semua pelari harus pulang dan meneruskan kehidupan hari esok seperti kebiasaan.

Seterusnya, Malaysia Mountain Trail Festival! 36km, dengan keseluruhan pendakian sebanyak 2000 meter.

Persediaan di hari membanting kaki sejauh 42.195km.

Pagi itu aku bangun pagi dan membuat sarapan seorang juara, telur separuh masak.

Habis makan, aku bancuh kopi dan menghidupkan PS4. Bermain FIFA di waktu pagi sebenarnya mencabar minda. Permainan menjadi lebih gopoh dan terdesak lalu aku tewas 2 kali. Lepas aku maki diri sendiri, terus aku tutup PS4.

Selepas menghantar isteriku dengan pandangan mata di pintu rumah, aku sambung baring. Aku membiarkan isteriku keluar rumah untuknya ke majlis perkahwinan seseorang yang tidak aku kenali. Isteriku pergi bersama mama dan abahnya.

Tepat jam 12:15, aku keluar dan mendapatkan nutrisi paling penting di hari perlumbaan. Orang putih kata, carbo loading.

Nasi beryani, telur ikan tenggiri, ayam kampung masak gulai, telur masin, papadom, dan limau suam untuk membasuh tekak. Cukuplah bekalan ini untuk ke medan tempur. Habis makan, aku pergi gunting rambut. Habis gunting rambut, dipulas kepalaku ke kanan ke kiri. Risau juga kalau kepala aku tercabut. Syukur, tidak terjadi apa-apa. Payah juga kalau lari sambil sakit leher.

Kemudian aku pulang ke rumah. Mandi, minum kopi, dan bermain PS4 kembali.

Hujan yang turun di petang itu membuat aku kembali terlena dan hanyut dalam ketenangan bunyi air yang menerpa zink.

Sebaik sahaja hujan reda, aku bersiap dan memulakan perjalanan ke Putrajaya. Berlari (dan berjalan) 42km tidak boleh dipandang enteng, banyak persiapan yang perlu disediakan. Dan aku yakin badanku mampu untuk mengharungi cabaran ini.

Putrajaya, aku datang!

Gelap malam menerpa dan dingin hujan menggigit. Mengapa ini terjadi.

Di malam ini, aku telah diuji untuk menghadapi sebuah ujian yang amat hebat.

Sesungguhnya, dugaan ini benar-benar menguji daya tahan dan sifatku yang sentiasa tenang ketika menghadapi cabaran hatta satu ketumbukan musuh sekalipun.

Mengapa, mesin basuh.

Yang sudah aku sumbat dengan pakaian kotor.

Dari waktu maghrib tadi.

Masih berpusing.

Dan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti.

Sudahlah membazir air, membazir elektrik. Kau tenanggggg sahaja berpusing dan membasuh.

Aku nak tidur, setannn.