Fellaini, Si Siku Emas

“Assalamualaikum,” terdengar suara dari pintu depan rumah.

Van Gaal yang sedang menulis sajak tersentak. Siapa yang datang ke rumahnya ini? Matahari berada betul-betul tepat di garisan khatulistiwa, tak reti panas ke?

Van Gaal bangun dari kerusi sambil menutup buku nota kesayangannya.

“Eh, Jurgen Klopp. Masuklah.”

Jurgen Klopp tersengih, sudah lama dia tidak berjumpa Van Gaal rakan sejawatnya di kancah EPL dahulu.

“Apa khabar Van? Sihat ke?” tanya Klopp selepas duduk bersila. Rumah Van Gaal tiada sofa.

“Begini ajelah… biasa je.” balas Van Gaal. Kemudian dia menyambung.

“Apa hajat datang ke mari? Takde training bola ke?”

“Dah habis la ni, tu yang balik rumah singgah kejap, lama tak jumpa.”

Kemudian mereka berborak panjang diselangi isteri Van Gaal yang datang menghantar air sirap. Kenangan ketika di EPL dikorek satu persatu.

“Kau ingat tak Van? Ada satu malam, Fellaini kena kad kuning.” tanya Jurgen Klopp.

“Maksud anda, ketika lawan Liverpool di pentas gemilang Europa League?”

“Ya benar.” balas Jurgen Klopp, dan kemudian menyambung,

“Ada ke patut dekat TV dorang tulis ‘misses next match’, padahal  Man U dah terkeluar!”

Van Gaal dan Jurgen Klopp berderai ketawa di ruang tamu.

 

Jika tidak bermain PS4, aku akan memasak.

Tempoh hari aku membeli barang-barang keperluan untuk BBQ. Arang, penyepit, tempat bakar dan sebagainya. Tepat lepas maghrib tadi, aku pergi pusat membeli belah yang terkenal di KL iaitu Jusco Equine Park. Aku beli ayam dan kambing yang sudah siap diperap.

Memikirkan ganjaran yang akan diperoleh apabila siap membakar ayam dan kambing, aku menelan air liur. Kali terakhir aku makan BBQ ni masa dekat Dubai, itupun datang lewat sikit bila ayam dah siap bakar.

—

Cepat-cepat aku susun arang dan bakar pemula api (fire starter).

Arang mula terbakar dan adrenalin di dalam tubuh aku mula bergelojak. Ini petanda baik. Jaga kau kambing bakar!

Kemudian asap berkepul-kepul masuk rumah. Tiada angin malam ini dan asap menguasai setiap penjuru rumah. Aku tenang dan terus mengipas arang.

4,5 minit kemudian asap semakin banyak. Aku kaget, ini tidak boleh dibiarkan. Tapi tak apa, kita kasi can lagi.

Tidak ada tanda-tanda asap akan berkurang, ruang tamu aku dah penuh dengan asap. Alamak! Aku tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku. Ya, aku tidak mahu jiran aku telefon bomba! 

Kau bayangkan betapa kecewanya kalau bomba datang rumah aku, sepak pintu sampai pecah, lepas tu tengok aku tengah bakar ayam. Konfem esok dia pencen jadi bomba.

Lalu dengan drastik aku masuk bilik air capai satu gayung air. Cepat-cepat aku simbah dekat tempat BBQ. Fuh, selesai.

Lepas tu aku ambil kambing dengan ayam, bawak pergi dapur, letak atas kuali.

—

Sedap juga kambing dengan ayam ni masak atas kuali. Aku makan sambil bersyukur.

Melaka United, bahtera yang timbul kembali?

Arakian tersebutlah kisah sahibul hikayat tenggelamnya bahtera Melaka ke laut liga FAM. Setelah berbondong usaha dan dipelbagaikan cara maka dapatlah memanda bendahara menarik semula bangkai yang tenggelam jauh di Selat Melaka. Meskipun begitu, tidaklah ikhlas usahanya. Kononnya nama Melaka itu tidak lagi gah, tidak lagi sesuai digunapakai dalam arus kemodenan semasa.

“Wahai rakyat sekalian. Melaka yang kita cintai ini sudah jatuh ke tangan Portugis, terkulai layu pada Belanda, dikotak-katik orang Inggeris, hampir dironyok Majapahit pula. Nama kita tidak lagi gah, tidak lagi memberi ngeri pada lawan. Hamba berasa eloklah kita tukarkan nama Melaka ini. Supaya gerun bertandang ke sukma lawan, membuat goyang musuh di depan.”

“Setujuuuuuu!” rakyat Melaka bersorak riang. Ada yang membaling tanjak, ada yang berdondang-sayang, ada juga yang meniup andang.

“Tapi, nama apa kita nak guna Datok?” tanya Orang Kaya Bukit Katil.

“Lahabau! Kita pakai nama Lahabau!” pekik seorang budak kecil bernama Nadim.

“Setujuuuuuu!” rakyat Melaka bersorak riang. Ada yang membaling tanjak, ada yang berdondang-sayang, ada juga yang meniup andang.

Memanda bendahara menggeleng kepala. Ada ke pakai nama lahabau?

“Tidak, tidak. Kita tidak boleh pakai nama lahabau. Kalau mahu juga lahabau, kita guna masa dekat curva nanti buat sorak. Ultrastamingsari sila catit dalam buku nota, takut terlupa nanti.”

“Setujuuuuuu!” rakyat Melaka bersorak riang. Ada yang membaling tanjak, ada yang berdondang-sayang, ada juga yang meniup andang.

“Habis, nama apa kita nak guna? Liga perdana dah nak mula ni datok.” tanya Hang Lekiu.

“Sebenarnya, hamba peminat besar Manchester United. Bolehkah kiranya kita menunggang nama ini, membuat onar di padang, memberi ranjau pada lawan, berbekalkan nama United? Melaka… United. Melaka United. Setuju?” kata bendahara.

Maka gusarlah penyokong Liverpool, monyoklah Chelsea, kecewalah peminat Manchester City. Semuanya tidak setuju tetapi malu-malu untuk bersuara.

Melihat perubahan pada rakyat, cepat-cepat Bendahara berteriak,

“Jika sudah semuanya setujuuuuuu, maka kita tukarlahhhhh nama Melaka ini yaaaaaa. Melakaaaaaa, Uniteddddddd.”

Begitulah serba-sedikit sejarah Melaka United yang kini heboh diperkatakan di liga perdana.

Liga,

perdana.

Liga,

perdana.

Eleh liga perdana je punnnnnnn.

Ketenangan dalam berseragam

Pagi tadi aku bangun awal. Jarang aku bangun awal kalau balik JB ni. Elok aku nak tidur balik, Faiq merengek suruh hantar pergi sekolah. Selaku seorang abang yang baik, aku menyumpah dalam hati. Tapi hantar jugak la…

Aku turun, panaskan enjin kereta dan tunggu Faiq siap pakai seragam sekolah. Jenis bersiap macam perempuan.

Sampai depan sekolah, kereta sangkut, ramai betul mak-bapak hantar anak pergi sekolah. Aku suruh Faiq turun, jalan kaki lagi cepat.

“Takpe bang, aku stay dengan ko. Pengawas tak tulis nama aku.” dia kata.

Tapi aku suruh dia turun jugak. Pagi-pagi ni elok jalan kaki naikkan metabolisme. Kanan dan kiri jalan semua penuh dengan budak sekolah. Masing-masing berjalan dengan penuh kelajuan sebab takut terlewat dan dicatit nama oleh pengawas. Bagus juga budak-budak ni.

Tapi tu la… aku tengok Faiq rileks je jalan. Hmmmm.

Kemudian aku memandu pulang dan singgah di medan selera untuk membeli sarapan. Di dalam kotak fikiranku, andai dapat roti jala atau roti canai, memang ngam.

Tit. Keretaku berbunyi menandakan sudah dikunci. Aku pun jalan masuk ke medan selera.

Benda pertama aku nampak, ada budak lengkap dengan baju sekolah tengah makan roti canai. Mak datuk, tenang gila. Kawan-kawan tengah berhimpun, ko boleh makan roti canai?

Ko… Ko… Memang power.

Malaikat yang ternoda

Dirimu gagah sihat sejahtera, sentiasa waspada marabahaya 

Sayang hatimu gering penuh khianat

Seperti taman bunga, dipenuhi ular berbisa

Yang menjadi makam, buat pengunjung tidak siaga

Sadarlah

Kita hanya manusia

Yang hidup sementara di atas manjapada

Satu hari nanti, ketika nyanyian sakaratul di hujung telinga

Jangan kau menyesal

Kerna menyakiti sesama insan

Adapun yang menunggumu di dalam liang

Adalah

Bukanlah

Insan-ul-kamil yang kau riak siponggang menganiaya

Tetapi

Segala amal dan jasa ketika hidup

Ingatlah teman

Ingatlah

Dunia sementara

Sementara

Mignolet, satu rahmat untuk EPL

Perlawanan berakhir berkesudahan 2-2. Selepas mendahului dan bermain dengan selesa selama 75 minit, entah dari mana pawana yang bertiup kencang membuatkan sebelas pemain Liverpool di dalam padang melayang-layang dan bermain dengan penuh cemas.

Dan akhirnya kecekapan Mignolet yang tidak pernah cukup… Menghukum Liverpool.

Kononnya selepas tamat perlawanan ketika di bilik persalinan, Mignolet yang mengambil-alih.

“Kita kalah sama-sama, kita seri sama-sama.” kata Mignolet.

“Betul tu!” kata Sakho sambil tangannya diangkat ke udara.

Firmino dari kejauhan hanya mampu menggeleng kepala.

Siam bumi tomyam

“Macam mana ni? Satu motor ke dua motor?” tanya Zharif pada aku.

Aku lontar pandangan pada Zharif. Dari kaki naik ke atas sampai kepala. Kalau ikut ukuran aku, satu motor tak cukup. Tak mungkin skuter ni mampu menanggung beban dua orang berbadan begini. Aku tahu benar kalau dua orang naik skuter, memang tak lepas kalau jumpa bukit.

“Kalau dua, macam rugi. Baik duit tu kita buat makan pulut ayam.” Ada kebenaran pada kata-kata Zharif.

“Okay satu motor.”

Lepas kasi nombor pasport dengan bayar duit, kami pilih helmet dan beredar. Destinasi, Pantai Patong.

—

“Aku dah cakap, skuter ni tak larat. Ko turun, ko turun.”

Zharif turun jalan kaki naik bukit sambil gelak-gelak. Inilah sifat-sifat teman yang boleh dibawa berjalan. 

  

Ketika di View Point, Koh Phi Phi

Menuju institusi kekeluargaan

Kira-kira jam 3:20 petang, kami semua tiba ke destinasi. Dengan kekuatan armada perang sebanyak 9 buah kereta, kami menyerang rumah perempuan.

Semua masuk dalam rumah. Kecuali aku dan Zharif.

Sebenarnya aku suruh Zharif masuk untuk tangkap gambar tapi dia enggan.

“Buatpe? Baik aku teman ko sini.”

Kemudian kami berbicara tentang alam sekitar, ikan di laut, gunung dan kehijauan hutan tropika di wilayah nusantara ini. Alangkah indahnya jika kami terus diberi kekuatan dan kesempatan untuk terus meneroka kepulauan ini. Air yang biru, karang yang melambai beraneka warna, variasi hidupan yang menguasai dasar laut dan pasir keemasan yang lembut di hujung kaki. Ah, semoga kami terus diberi peluang.

Tiba-tiba ayah telefon.

“Ha meh sini dah boleh masuk.”

Aku capai bunga, Zharif bawak kek. Kami berdua menyusun langkah dan mara ke pangkalan bakal mertua.

Macam biasa dah masuk dalam aku pun tersipu-sipu dan menjaga kelakuan. Lepas makan mee kari, aku dijemput mengambil gambar bersama tunang.

Inilah kali pertama dalam hidup semua orang mahu mengambil gambar bersama aku.

ASB sebagai penyatuan

Permodalan Nasional Berhad sepatutnya dipuji kerana memperkenalkan ASB yang boleh digunapakai oleh rakyat. Di setiap awal tahun, ramai orang akan berpusu-pusu menyerbu kaunter berhampiran untuk mengemaskini baki akaun dan mengeluarkan dividen.

Fenomena ini mencetuskan satu penyatuan di kalangan rakyat berbilang kaum. Melayu cina dan india dan banyak lagi akan bertanya sesama sendiri “awak nombor berapa? Sekarang nombor berapa?”. Kemudian mereka akan berborak tentang kawasan sekitar. Tidak kurang juga yang bersatu menzahirkan ketidakpuashatian bila kaunter ASB dibuka hanya satu.

“Dah tahu ramai, bukak la kaunter lebih sikit.” kata brader yang memakai t-shirt berkolar tepi aku.

Ada orang memilih untuk menyimpan ASB untuk kegunaan di masa hadapan, ini sangat bagus untuk perkembangan hidup tapi aku faham kenapa ada yang lebih senang untuk mengeluarkan dividen. Sama ada yuran anak sekolah, atau kepentingan lain janganlah kita persoalkan kenapa orang keluarkan dividen. Macam tahun lepas, aku keluarkan beli PS4.

Hmmmm…

Sebenarnya aku tengah tunggu giliran ni. Sekarang baru nombor 60, ada lagi 51.