Diari Millie 9hb 12

Hari ini pawpa dan mama bangun awal bersiap-siap keluar berdua. Daripada gayanya, macam nak pergi joging. Aku tak peduli dan teruskan tidur. Yang penting makanan kucing dah tambah.

Lepas mereka beredar, aku bangkit dari power nap dan buli Yoona. Lemah punya kucing parsi.

Tak lama lepas tu mereka berdua kembali. Sebaik sahaja pintu dibuka, aku dan Yoona menyambut mereka di pintu dengan harapan dapat makan tuna kejap lagi.

Selepas 3 jam, tiada tuna untuk kami dan mereka berdua keluar kembali. Kali ini pawpa pakai wangian badan. Jarang-jarang berlaku.

Daripada curi dengar, mereka seperti mahu menyambut ulang tahun perkahwinan. Dan keluar makan. Lantaklah yang penting lepas mereka beredar aku boleh buli Yoona lagi.

Menjelang maghrib mereka pulang. Mama dapat bunga ros warna merah. Wangi betul. Semoga bunga itu diletakkan di tempat yang boleh aku panjat…

Tiba-tiba aku didukung dan pawpa tangkap Yoona. Kami dipaksa bergambar. Aku tak mahu difoto dan ingin mengadukan hal ini kepada Persatuan Hak Asasi Kucing!

Twilight Malaya

“Mek Nab, awak perlukan saya lebih dari dia. Jangan ikut dia Mek Nab.”

Mek Nab memandang Hafif sayu. Matanya sedikit berkaca. Dari jauh Ridzuan memerhati kelibat dua susuk itu. Ridzuan dengar apa sahaja yang diperkata mereka kerana pendengaran Ridzuan bukanlah calang-calang. Ridzuan juga mampu membaca pemikiran Hafif.

“Apa kurangnya saya? Dia hebat? Saya juga hebat Mek Nab.” Hafif terus cuba memujuk rayu. Mek Nab memusingkan badannya ingin berlalu pergi namun Hafif dengan pantas memegang tangan Mek Nab.

Ridzuan yang melihat adegan itu menjadi berang dan bergegas mendapatkan Mek Nab yang dikasihinya.

Hafif melihat Ridzuan datang. Hafif terus mengeluarkan tenaga batinnya dan berubah menjadi harimau. Hafif, seekor harimau jadian terus menerkam Ridzuan.

Ridzuan juga tidak mahu tewas dalam percintaan dan perkelahian anak jantan. Jika Hafif berubah, dia juga boleh. Hafif terus menjelma menjadi pocong.

Berlalulah pergelutan antara Hafif dan Ridzuan. Ridzuan cuba mematahkan leher Hafif seekor harimau jadian namun apalah daya seekor pocong. Pocong mana ada tangan. Dengan mudah Hafif meratah dan mengoyakkan tubuh Ridzuan. Ridzuan kini telah pergi ke alam fana. Mati sebagai pocong lebih memudahkan kerana tidak perlu lagi dikafankan.

Selepas ketiadaan Ridzuan, Hafif dan Mek Nab bercinta. Mereka kemudiannya berkahwin mengikut SOP di pejabat agama daerah.

-tamat-

Selain berlari dalam hutan, aquascape juga krisis pertengahan umur

Seingat aku, aku menceburi bidang membela ikan dalam akuarium ini seawal umur 9 tahun. Belakang rumah aku di Raub, ada satu longkang besar yang mengalir menjadi sungai dan memberi nutrien di setiap laluan yang ia lalui. Aku tangkap anak-anak ikan, dan aku masukkan dalam akuarium kecil. Lepas tu aku beli ikan guppy, ikan molly dan bila aku rasa aku bersedia untuk ke tahap seterusnya, aku bela kura-kura.

Macam biasa, semua yang aku bela masa tu mati.

Lepas pindah JB, aku meneruskan minat aku. Akuarium 2 kaki di ruang tamu. Segala jenis ikan aku sumbat dalam akuarium tu. Ikan layang-layang, ikan talapia, ikan kaloi, ikan oscar, apa je takde dalam akuarium aku tu? Semua ada.

Lepas tu banyak yang mati kerana bekalan elektrik terputus untuk tempoh yang lama. Aku meratap kesedihan dalam nelangsa tak berpenghujung kerana ikan talapia aku bela dari kecil sampailah ke besar mati hanya kerana tiada arus elektrik yang mengalir.

Sekarang bila dah dewasa, aku meneruskan minat ini kerana aku adalah aku.

Cuma kali ini aku cuba sebaik mungkin untuk hidupan dalam akuarium. Aku belajar dari YouTube, aku masuk group akuarium di Facebook, malah aku turut mengkaji keseimbangan nutrien di semua sungai yang aku redahi ketika masuk ke hutan.

Sebulan lepas aku menerima akuarium baru berukuran 60cm x 30cm x 18cm. Entahlah dari mana dia datang, rasanya Ustad Ebit Lew yang beli di Shopee dan hantar ke sini.

Dengan penuh ghairah, aku bina struktur dalaman akuarium ini. Segala tanah, batu, kayu, substrate, chemical filter, bio filter, mechanical filter, dan lain-lain semuanya aku gubah demi mendapat bio diversiti dan ekosistem yang sempurna.

Punyalah semangat, sampai 6 kali aku gubah dan betulkan. Keluar kayu, masuk batu, masuk lava rock, keluarkan Christmas moss, masukkan thailand moss.

Dan bini aku hanya menggeleng kepala melihat kelakuanku. Tapi aku tahu dia menggeleng dalam menyokong.

WFH – cabaran mudah?

Sejak PKP bermula pada bulan March, aku lebih banyak bekerja dari rumah. Ada juga hari yang perlu ke pejabat, namun boleh dihitung dengan dua baris dua baris sempoa. Itu pun kalau kau pandai guna la.

Berkerja dari rumah memang ada cabarannya tersendiri. Tanggungjawab mengemas rumah kini terletak padaku. Dan basuh baju.

Tapi semua ini dapat aku atasi dengan mudah. Aku akan mengingatkan isteriku untuk memberitahu bila dia bergerak pulang dari pejabat, dan sepantas itu aku mencapai penyedut hampagas.

Panggilan alam

Melihat jauh ke belakang, pernah di satu ketika aku berada dalam saat cemas semasa dalam perjalanan ke pejabat.

Ketika itu, baru suku perjalanan. Untuk makluman tuan-puan, jarak dari rumah ke pejabat mengambil masa 35 minit dengan menunggang motorsikal penuh santai.

Perasaan itu datang dan membuat cemas kerana aku perlu mencari tandas dengan kadar segera. Aku cuba menahannya namun gagal. Ketika itu memang sangat genting. Tapi kalau aku singgah, aku akan lewat ke pejabat. Aku berperang dengan perasaan. Namun apakan data panggilan alam ternyata terlalu besar amanahnya.

Mahu tidak mahu, aku ambil selekoh kiri menuju ke stesyen minyak terdekat. Nasib baik aku hafal geografi dan duduk letak kawasan untuk aku melaksanakan pelan kecemasan ini.

Sampai stesyen minyak, aku terus ke tandas. Huru-hara juga.

Sejak dari itu, aku akan memastikan panggilan alam ini disahut sebaik sahaja bangun tidur. Setakat ini semuanya berjalan lancar.

Cuma bila bangun terlalu awal (4 pagi) untuk masuk hutan, perasaan itu datang ketika aku on the way, huru-hara juga cari tandas. Yang penting tak perlu menyahut panggilan alam di dalam hutan. Jenuh juga kalau cari lokasi strategik…

Petanda mampir di dalam lenaku, untukmu semenanjung emas tanahairku

Duhai Datok Nujum Bintara Alam, adapun niat hamba datang mengadap tiadalah yang lain hanya datang memberi pedoman yang hamba dapat dalam mimpi tadi malam. Sudilah kiranya datok nujum meluangkan sedikit masa dan sekapur sirih seulas pinang.

Di dalam mimpi hamba malam tadi datok, hamba sedang menunggu datangnya tok mudim bertandang. Selama menunggu, hamba bercanda-ria bersama teman seperguruan di sekolah menengah. Rupanya mereka juga menunggu tok mudim untuk dikhatan, datok.

Kemudian, sampailah giliran hamba untuk dikhatankan tok mudim. Sebaik dibuka celana sakti hamba, rupanya tiada apa-apa lagi untuk tok mudim lakukan, sudah tersedia mengikut syariah agama yang kita junjungi.

Kemudian hamba berlalu pergi dan pulang ke rumah sambil berfikir untuk apa hamba membuang masa membuang tenaga beratur menunggu tok mudim. Sambil berjalan, hamba mengeluh dan kemudian terjaga di waktu lazim.

Sudilah kiranya datok nujum membuat tafsir akan mimpi dan petanda yang datang menjengah hamba malam tadi. Adakah negeri kita ini tidak perlu lagi ditukar-tukar bendaharanya? Kerana… well, you know, base on my dream last night. Right?

Namun jika ditukar, janganlah segan-silu menyambung morotarium. Sekadar memberi petanda.

Baru habis tonton Scent of a Woman

Kudratmu sekuat layar yang menentang ribut di lautan,

titahmu seolah guntur yang membelah lembah di pergunungan,

pandangan matamu membuat gerun membawa bersama gempa yang menggulung penguasa dan tirani,

sisipan rapi rambutmu,

bukan sahaja bintang timur di langit malam,

jalur bima sakti pun malu bersinar.

Dan andai kau menjadi murka, berantakanlah kayangan pasti jatuh menyembah bumi.

Oh Al Pacino.

Semoga yang baik-baik sahaja untukmu.

Spill the tea, Adrian – scammer

Pagi tadi pukul 2 aku bangun.

Lepas tu aku gelakkan Manchester United.

Elok aku nak tidur, Liverpool dah kena sebiji. Terus bulat biji mata dan aku hidupkan komputer untuk tengok bola guna AstroGo.

Lepas sebiji, sebiji, sebiji, sebiji masuk.

Aku seolah-olah mendengar orang menyanyi

“Satu tak cukup!

Dua tak cukup!

Tiga tak cukup!

Kita bagi cukup cukup!”

Pedih, tapi apa boleh buat. Beginilah adat bola. Kadang-kadang kita jadi Manchester United.

Pagi ini aku bangun dengan hati yang bersih. Aku maafkan semua orang. Lepas tu aku hantar bini pergi kerja. Dalam perjalanan balik rumah, aku lihat awan-gemawan. Burung-burung berkicau dan pepohonan melambai.

Dan aku berdoa di dalam hati.

“Semoga Adrian ditangkap SPRM.”

EPL, perlawanan kedua

Wartawan: Tuan, ada percubaan untuk mengatakan bahawa Chelsea ialah musuh utama Liverpool. Apa pendapat tuan?

Frank Lampard: Ya. Sebenarnya kami memang musuh ketat kepada Liverpool. Kami sentiasa bersemangat dan memandang tinggi setiap pertembungan dengan Liverpool. Mereka ialah juara 6 kali Eropah dan kami adalah musuh yang tepat untuk mereka.

W: Maknanya perlawanan bertemu Liverpool akan menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu dan dihadapi dengan persediaan yang sangat rapi.

FL: Benar.

W: Tapi semalam macam tak melawan je?

FL: 0-2, okaylah tu.

W: Baik, dalam rumusan yang padat dan singkat, apa sebenarnya yang terjadi kepada Chelsea semalam? Di mana salahnya dan mengapa takde pun semangat melawan tu. Kata rival kuat?

FL: Budak baru yang saya beli tu lari je laju, tapi takde otak.

W: Maknanya ini semua salah Timo Werner?

FL: Tentu sekali.

W: Kenapa tuan beli dia?

Frank Lampard dilihat mengeluarkan telefon dari koceknya walaupun tidak berdering dan meletakkan telefon di telinga.

FL: Helo, helo. Siapa ni? Aaa ya ni saya Frank Lampard. Apaaa? Betul ke ni?

Frank Lampard berjalan keluar dan menutup pintu dengan cermat.

Izinkan aku bercakap tentang kucing

Sebenarnya sudah lama aku menyimpan hasrat membela kucing. Tapi aku biarkan ianya tersemat rapi di hati.

Dulu aku pernah bela, dan aku namakan Belang Tarung. Tapi atas sebab selalu keluar perbatasan negara, aku bagi pada seseorang yang sedang bersedih atas kematian kucingnya.

Sekarang, rumah ini ada dua ekor kucing. Seekor baka Himalaya dan seekor lagi baka tempatan. Setiap kali bangun dan keluar dari bilik tidur, aku akan diekori rapat oleh Yoona manakala Millie akan melompat ke atas katil bermanja dengan isteriku.

Tinggal di apartment, aku membiarkan kucingku bebas memanjat ke sana ke mari cuma takut juga aku kalau-kalau mereka jatuh dari balkoni. Maklumlah yang warna putih ni macam slow sikit. Jalan pun langgar cermin.

Aku harap semua orang yang membela kucing tidak mengurung mereka di dalam sangkar kecil. Berikan kucing ruang untuk berjalan, tidur, melompat dan berkeliaran. Kalau di dalam rumah, biarkan mereka di dalam sahaja. Kalau di luar, biarkan mereka bebas. Jangan dikurung setiap masa.

Tapi ya lah, permasalahan ini agak kompleks kerana jika dilepaskan di luar rumah, mereka cenderung untuk mengakibatkan jiran marah. Di Facebook banyak orang marah jiran mereka tak pandai jaga kucing yang berak dan kencing merata. Daripada mati diracun atau dibuang, lebih baik kurung. Sebab itu banyak kucing dikurung sahaja. Juga ada masalah kucing dalam rumah untuk kencing merata terutamanya jantan.

Hmmm. Entahlah.

Mungkin seseorang boleh cipta alat supaya kucing yang outdoor ni boleh berak dan kencing di satu sudut khas. Aku akan undi dia untuk anugerah nobel.

Orait. Aku nak sambung vakium rumah. Banyak juga pasir di ruang tamu. Hak-hak.