Janda Baik Ultra 2019 – 30k

15 September, sebuah kronologi.

0330: bangun pagi.

0400: keluar rumah dan mesej Jai. Kami berjanji untuk berjumpa di Shell Ampang MRR2 pada jam 4.30 pagi.

0430: tiada kelibat Jai.

0435: sampai di hadapan rumah Jai. Tengah sedap bersiap. Dia tanya, “kenapa tak tunggu dekat Shell?” Aku rasa nak menangis.

0450: bertolak ke Janda Baik. Berdua menaiki pacuan dua roda.

0535: singgah Genting Sempah. Jai nak makan beger mekdi sebelum lari. Aku hanya makan coklat koko krunch beli dekat Petronas.

0600: sampai ke masjid Janda Baik dan berjemaah di masjid.

0625: perut memulas tapi tandas masjid penuh orang. Nasib baik ada tandas mudah alih di padang sekolah.

0645: panaskan badan dan regangkan otot.

0700: pelepasan pelari acara 30k

0715: Jai buat ibu jari ke atas bila aku halakan GoPro kepada beliau.

0725: Jai hilang dari pandangan dan aku memang dari awal tak nak ikut kelajuan dia pun. Pergilah kau ke depan.

0730: berlari dan berjalan bila jumpa bukit.

0745: berlari dan berjalan bila jumpa bukit.

0800: masih dalam kelompok pelari yang ramai. Tenang menyimpan tenaga.

0830: santai dan tenang menikmati variasi denai dan jalanraya.

0904: membuat pusingan U. Membuat imbasan kod di tangan, tanda sudah sampai ke checkpoint.

0905: “Tingginya bukitttt. Banyak selekoh pulak tuuu.”

0930-1000: kembali berjumpa WS dan tambah air.

1020: lega sebab simpan tenaga dan berjalannnnnn sahaja menaiki bukit-bakau dan gunung-ganang. Ramai juga yang berehat di tepi denai. Ada yang kekejangan otot kaki. Teringat aku kepada peristiwa Cameron Ultra tempohari.

1030: menegur seorang pelari wanita yang tapak kasutnya sudah tiada. Masih gagah melangkah walaupun tapak kaki sudah semakin menggigit beliau. Hebat! Kami bertukar pendapat dan berborak kecil tentang larian denai.

1040-1055: membuat imbasan kod di tangan dan menambah air. Ada air sirap di WS ini. Sedap! Petugas memberitahu tinggal 4km sahaja ke garisan penamat. Aku tengok gpx di jam, sudah tiada bukit yang menentang di hadapan. Kaki masih kuat dan di sini aku membuat keputusan untuk lari sahaja sampai ke garisan penamat.

1105-1110: berjumpa paip bocor. Dan basahkan muka. Begitu segar air yang membelai lembut wajahku ini. Matahari bersinar dengan sangat terik menandakan cuaca indah di Janda Baik. Jerebu 0 – 1 Janda Baik.

1118: tiba dengan bergaya di garisan penamat. Beriya aku membuat gaya depan jurugambar, tapi sampai ke hari ini belum nampak gambarnya. Haha.

Kemudian aku dan Jai pulang ke rumah mengikuti jalan lama Karak-Gombak layan selekoh.

img_3404

img_3407

 

Hari Malaysia, jerebu dan mufti

Kuala Lumpur, 16 September 2019 – Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, hari ini masyarakat Malaysia baik yang warganegara, penduduk tetap atau pembeli kad pengenalan berharga RM600,000 menyambut kedatangan Hari Malaysia dengan penuh sugul dan berpada-pada.

Keadaan ini disebabkan kerana seorang presiden negara jiran telah bersepakat untuk membiarkan asap dari negaranya yang dipenuhi partikel atom berbahaya terbang ke Malaysia dan kawasan sekitar.

Amir Amri, ketika ditemubual menjelaskan dia berasa rimas dengan kehadiran jerebu kerana tidak dapat melakukan latihan lariannya.

“Selalu saya kalau hari Sabtu atau Ahad dapatlah buat dalam 10km ke 15km. Tapi sejak ada jerebu ni, duduk rumah tengok Netflix sahaja.”

Manakala Nazmi Ramli yang sering ke hutan menjelang waktu senggang juga mengutarakan kebimbangannya terhadap jerebu yang mengganas di ibu kota.

“Kami kalau weekend selalu la pergi camping masuk hutan panjat gunung. Tapi bila dah jadi macam ni, haihhhh.” ujarnya sambil menggeleng kepala.

Kegusaran mereka berasas dan berpatutan, kerajaan juga mengambil langkah tepat dengan menutup sekolah bagi mengelakkan kejadian yang lebih memudaratkan. Walaupun dipersoalkan budak UiTM yang bertanya adakah mereka ikan dan bernafas dengan insang.

Kami di nusadankejora okay sahaja kalau kerajaan tidak memberi cuti mudarat kepada orang awam. Cuma satu yang bermain di fikiran kami.

Adakah, solat, jumaat… boleh dibatalkan jika jerebu semakin berbahaya?

Semoga ada mufti yang menjawab soalan ini.

Adalah solat jumaat harus dibatalkan jika jerebu melebihi tahap berbahaya?

Pulang dari solat jumaat aku mencari seliparku yang disimpan rapi di rak kasut. Sebelum itu aku sudah berdoa bahawa selipar itu selamat sejahtera tidak dicuri.

Alhamdulilah ada.

Kemudian aku mendapatkan motor dan mula bergerak menyusur pulang ke pejabat.

Sampai di hadapan perhentian bas, aku tengok dari jauh budak-budak sekolah ingin melintas jalan. Sebagai manusia yang penuh beradab, aku membuat isyarat tangan supaya mereka melintas. Sudah menjadi kewajipan untuk kenderaan yang mengalah dan mengutamakan pejalan kaki.

Walaupun mereka jalan perlahan dengan lenggang-lenggok penuh gemalai, aku tenang menunggu mereka melintas.

Kemudian salah seorang dari mereka mengucapkan terima kasih. Diakhiri dengan ‘pakcik’.

Pakcik?

Sama ada aku menerima bahawa umurku sudah lanjut, atau aku naik pembahagi jalan dan langgar semua budak tadi.