KL2017: Ayuh melangkah


Penulis memulakan larian dengan situasi kelam-kabut. Peserta 5km sudah membanjiri garisan permulaan dan penulis beserta ramai lagi pelari 15km terpaksa bersesak untuk maju ke hadapan. Entah apalah yang difikirkan pengelola. Namun penulis melupakan semua itu dan mula merekodkan larian dengan aplikasi Strava di telefon pintar.

Larian yang mempunyai ramai peserta sudah pastilah punyai beraneka ragam. Ada yang berlari memasang lagu dengan pembesar suara mini, ada yang lari sambil menangkap gambar muka sendiri, ada juga yang berhenti mengambil gambar ikonik di Putrajaya. Penulis juga tidak ketinggalan untuk melakukannya.

Sepanjang 5km pertama, penulis masih tenang berlari mengikut kelajuan sendiri. Penulis tidak peduli dengan orang lain yang dipotong dan memotong. Apa yang penting ialah kita maju dengan acuan kita sendiri. Namun setiap kali dipotong dan memotong orang yang membawa pembesar suara mini, penulis akan tergelak kecil dengan pilihan lagu beliau.

Di setiap 2km ada stesyen penyegar. Penulis akan berhenti di setiap stesyen dan meminum segala air yang ada.

Di kilometer terakhir, otot kaki penulis tiba-tiba diserang kekejangan. Penulis berkata arrghhh di dalam hati dan memberhentikan larian dan mula berjalan. Sedikitpun penulis tidak kisah dipintas wanita-wanita yang memakai seluar ketat. Hidup feminism!

Akhirnya penulis berjaya menamatkan larian dengan catatan masa yang sangat pantas sehinggakan penulis menyesal tidak mewakili ibu pertiwi untuk acara marathon sukan SEA. Namun kawan penulis sudah tiba di garisan penamat sambil memegang telefon,

“Weh tangkap gambar!” kata beliau sambil memegang secawan air.

KL2017 : Maybank

Hari ini penulis memulakan hari seawal jam 6. Bingkas bangun dan terus bersiap untuk ke Putrajaya demi larian Sukan SEA. Penulis sudah berjanji dengan teman-teman akan berjumpa di Maybank, sebuah penanda perjumpaan yang amat mudah. 

Adapun berjanji itu kota untuk manusia-manusia yang berpegang padanya. Jumpa di Maybank. Mudah sahaja.

Selepas meletakkan motor, penulis terus ke Maybank seperti dijanjikan sebelumnya. Sampai sahaja di Maybank penulis hairan kerana kawan penulis tidak ada di situ. Penulis terus menghantar mesej,

“Di manakah kalian?”

“Ada di khemah goodies bag.”

Ada sedikit rasa sebak di dada penulis.

Kegigihan

Hari ini genaplah 10 hari aku tidak meminum minuman berasaskan susu manis. Aku berharap aku terus istiqamah. Sebagai meraikan kejayaan ini aku meminta isteriku membeli sushi.

Untuk hari ke-20 nanti, aku memikirkan untuk meraikannya di Genting Highland. 

Diari hari ini

Sudah seminggu aku sakit perut. Kerana kueyteow kerang, aku sakit perut. Begitu kejam dunia ini. 

Hari ini seperti biasa kerja sebagai pegawai yang berwibawa, pulang ke rumah dan meneruskan baca One Piece, sekarang di episod 290.

Tiada One Piece minggu ini, entah apalah nasib Luffy yang dikejar Big Mama.

Rempit bertopengkan syaitan

Di satu petang damai yang penuh dengan keindahan langit mega, aku joging.

Selepas memakai pakaian yang mengikut syariah, aku menyalakan api keazaman dan mula berlari. Seperti yang kita tahu, jalanraya di negara ini tidak mesra joging. Ada sahaja kenderaan yang tidak peduli dan tidak mengambil jarak selamat dengan orang yang menyusur di tepi jalan. Namun ini bukanlah rintangan besar bagiku.

Aku meneruskan larian dan kini berlari di dalam taman yang bersusun rumah teres. Agak tenang suasana di taman ini. Larianku kini penuh sentosa atau lebih dikenali aku dah penat.

Entah dari mana tiba-tiba datang satu motor besar,

Prangggggggggggggggggg!

Terkejut sungguh aku. Mujurlah aku tidak melatah. Anak haram mana la sengaja bakar minyak bila lalu sebelah aku, tidak semena-mena aku mendoakan dia mati tepi jalan dan masuk neraka.

Kemudian aku kembali leka dalam larian. Aku tidak harus peduli dengan rempit itu. Biarlah dia mereput di tepi jalan tanpa ditolong orang, doaku lagi sambil memandang langit.

Tidak lama kemudian aku melihat dari kejauhan mat rempit yang membuat bising itu tadi sedang menolak motor. Sah, motornya rosak. Padan muka kau. Masa lalu sebelah dia, aku buat muka kerek dan senyum.

Kurus la ko tolak motor tu syaitan!

Run for fun (lemang)

Hari ini aku terpaksa beriadah. Musim perayaan yang sedang melanda membuatkan badan aku semakin kembang. Walaupun aku sudah sediakala mempunyai saiz perut yang agak maju, namun aku sentiasa menganggap diriku seseorang yang berbadan langsing dan punyai perut tegap.

Selesai memakai kasut dan melakukan regangan otot, aku menyalakan aplikasi di telefon pintarku. Aplikasi ini membantu aku merekodkan sejauh mana aku berlari dan berapa banyak kalori yang terbakar. Aku harap orang yang membuat aplikasi ini masuk syurga.

Beberapa minit kemudian, aku sudah boleh dilihat berlari di atas jalanraya. Menyusuri perumahan dan tepi longkang, aku dilihat begitu bergaya melakukan larian. Harus diingat aku pernah memenangi acara pecut 100 meter di kalangan rakan setaman. Larianku begitu kencang dan temponya rata. Tiada tanda-tanda aku akan penat, riak wajahku tenang seperti Usain Bolt. Sayangnya 300 meter selepas itu aku sudah berjalan sambil memegang dada.

Selepas berfikir, aku menyalahkan rendang ayam dan lemang. 

Kendati begitu, aku tidak patah semangat. Seinci demi seinci, meter demi meter, kilometer demi kilometer, akhirnya aku berjaya menamatkan larian dengan sebuah jarak yang tidak boleh aku beritahu di sini.
Malang seribu kali malang, ketika mahu menaiki tangga ke rumah, aku terbau jiranku memasak serunding kelapa. Aku amat pasti dan yakin ini adalah serunding kelapa kegemaranku sejak kecil.

Walaupun baru sahaja habis berlari dan berazam untuk langsing, aku kini mengidamkan lemang yang dipasangkan serunding kelapa. Aduh… enak sekali.

Dangdut not dead

Selepas cukup melacak dan memahami susur-galur budaya dan persuratan nusantara, aku membuat kesimpulan bahawa kita akan menjadi lebih maju dengan menyemarakkan irama dangdut. Nampak lucu namun dangdut punyai kekuatan sakti yang boleh menolak kemampuan bangsa dengan lebih jauh dan bertenaga.

Kau pernah dengar dangdut lepas tu rasa nak tidur? 

Dengan dangdut kita berasa segar. Dengan dangdut kita lebih bermaya. Dangdut membuat kita lebih bertenaga dan secara tidak langsung deria otak akan menghantar isyarat ke saraf-saraf untuk menjulang tangan ke udara dan bergelek tari mengecap gembira.

Irama dangdut seharusnya dimainkan di corong-corong radio, di perhimpunan awam, kantin sekolah, stesyen LRT, dan di mana sahaja yang bunyi boleh melantun.

Dangdut membuat kita lupa adanya seorang jejaka jambu yang sering melontarkan pandangan intelek di media sosial. Hidup dangdut! 

Dangdut menganjurkan cinta dan sering membangkitkan sensasi. Aku tidak pernah mendengar lagu dangdut yang menyebarkan kebencian. Kesemuanya berkisar tentang cinta dan nasihat. Hidup dangdut!


Memetik Jamal Mirdad dalam Cinta Anak Kampung, 

“Kalau cinta sudah melekat, gula jawa rasa coklat.”

Di sini kita dapat melihat dangdut adalah rentak yang mengajak kita berkasih dan menyantuni sesama manusia.

Aku berharap sedikit masa lagi cendekia-cendekia melayu akan mengkaji potensi dangdut untuk dijadikan senandung utama negara ini dan kelab dangdut tumbuh kembali seperti cendawan. Di masa itulah nanti kita akan mula bertolak menuju tahap yang kita impikan selama ini. 

Iyakan sahaja

Ketika sedang dalam perjalanan menuju lena, isteriku bertanya apa yang aku mahu makan untuk sarapan esok.

Aku jawab, roti.

Di dalam mamai dia bertanya “telur rebus?”

Haah. Balasku. 

Apa yang penting dia lekas tidur. Aku mahu hidupkan PS4.