Jurnal merentas bumi: Prolog

Ketika sedang membelek buku-buku usang yang terdapat di almari, mata aku tertangkap pada satu kitab. Aku membelek halaman yang terdapat pada kitab itu dan bebola mata aku menari di satu ayat. 

Buya Hamka menulis, kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. 

Semangat aku meluap-luap, seperti letusan Tambora yang pernah menggoncangkan hemisfera timur. Nadi aku bergerak sepantas halilintar yang membelah atmosfera. Aku tidak mahu jadi babi. Aku mahu mempunyai hidup yang penuh jasa dan sensasi.

Lantas aku mengepam tayar basikal. Basikal yang aku beli hasil dari pinjaman PTPTN ketika zaman belajar tersisip rapi di dinding rumah. Aku menggantung basikal ini di dinding supaya aku akan sentiasa mengingati bahawa aku pernah berazam untuk meneroka dunia.

Selesai mengepam tayar, aku mengisi botol air. Air yang datang dari mesin Coway ini amat berharga sekali. RM125 sebulan tidak termasuk bil air dan api.

Kemudian aku lipat baju dalam 3, 4 helai. Dengan penuh kemas aku meletakkannya dalam beg yang boleh digalas di belakang.

Kayuhan bermula. Destinasi pertama aku ialah kedai mamak. Aku perlukan tenaga untuk mengayuh basikal mengelilingi dunia. Dan bagiku nasi goreng ayam adalah sebaik-baik tenaga.

Kari kepala kerapu

Sudah dua hari aku berulang-alik ke Saujana Putra. Malam ini selesai makan aku pulang ke Sekembang. Badanku lesu dan aku memilih untuk diam dan berfikir.

Namun isteriku mempunyai pandangan yang berbeza.

Dia kerap bertanya adakah aku baik-baik sahaja.

“Sayang okay?”

“Ngantuk ke?”

“Diam je? Penat eh?”

Kesemuanya aku balas dengan berdehem. 

Dia seperti tidak puas hati dan cuba mengorek sebuah rahsia yang tersimpan di dalam buah pemikiranku.

Kalaulah dia tahu, sebenarnya aku sedang mencongak strategi untuk menembak musuh dalam The Division.

Tiada lagi ragu yang membisu untuk Zharif

Hari ini kami ke Sandakan kerana Zharif akan berkahwin. Zharif, teman yang sentiasa menemani aku bertualang akhirnya menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan dari timur Borneo. 

Banyak detik manis dan pahit ketika keluar negara bersama Zharif. Pengalaman dikejar anjing buas, bertumbuk di bar, makan pulut ayam dalam van ketika ke Phuket, hisap rokok di tengah gerabak keretapi dan banyak lagi.

Namun pengalaman di Koh Phi Phi adalah saat yang paling aku ingat. Ketika melihat pertunjukan api, pemilik bar menaikkan kertas bertulis “free beer if you cross naked” merujuk kepada tali melintang yang harus dilintas dengan membongkok ke belakang. 

Tidak semena-mena Zharif menanggalkan semua pakaiannya dan ke tengah gelanggang. Aku hanya mampu mengucap di tengah-tengah khalayak yang bersorak. Aku berdoa tidak ada rakyat Malaysia yang merakam perbuatan dia dan menghantar video kepada The Vocket. 

Selaku seorang teman sejati, aku memapahnya pulang ke bilik. Di sepanjang perjalanan dia banyak menjerit “Hidup rakyat! Kebenaran tidak akan pernah mati!” Mungkin inilah kesan sampingan jika anda banyak membaca Wiji Thukul dan mabuk.

Begitulah sedikit kisah hidup bujang Zharif. Hari ini dia sudah bergelar suami orang. Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk mendoakan supaya Zharif menjadi nakhoda yang mampu menaikkan jangkar ketika bahtera sedang berlabuh dan menurunkan layar untuk membelah samudera luas terbentang.

Aminnnn.

Diam itu kencana

Hari ini aku menghabiskan masa dengan penuh aktiviti berfaedah. Selepas subuh, aku pergi joging, makan, basuh baju, dan mengemas rumah.

Cuma mengemas rumah tu bukan aku, tapi isteri aku.

“Sayang, baru tadi cuci dah ada habuk balik.”

Aku yang sedang membaca Naruto mengerutkan dahi.

“Mungkin sebab tu tuhan jadikan I rabun,” sambung isteriku.

Hmmmmm.

Aku sedikit setuju dengan kata-katanya namun aku hanya berdiam diri dan memandang siling.

Masa untuk sambung baca Naruto.

Suami penyayang

Hari ini isteriku meminta kebenaran untuk pergi ke rumah kakaknya di Bandar Saujana Putra selepas waktu bekerja. Esok bapa dan ibu mertuaku akan pulang ke Alor Star. Sebagai suami yang penyayang, aku membenarkan dia pergi. Malah jika dia mahu bermalam juga aku benarkan.

Pulang dari pejabat, aku lantas menghidupkan PS4. Diiringi kopi dan biskut, aku seolah kembali ke zaman bujang. Kopi, biskut dan PS4 adalah lambang seorang bujang yang berdikari.

Masa berlalu begitu pantas, aku tidak sedar waktu menghampiri jam 10 malam. Aku kemudian bertanya kepada isteriku adakah dia akan pulang?

Haah, on the way. Balasnya.

Baik, hati-hati. Kataku kembali.

Selepas tamat panggilan telefon, dengan pantas aku mengemas cadar, menyusun bantal, letak tin biskut di tempat asal, basuh cawan, masuk bilik air dan mandi.

Hi hi hi. 

Suami mana tahan kena bebel?

Aduhhhhh

Hari ini aku tak makan pagi, jadi aku pergi makan tengahari awal. Lepas makan, aku pergi tepi kaunter. Aku order neskafe tarik.

Kau tahu apa budak tu tanya aku?

“Neskafe tarik nak sejuk ke nak panas?”

Ha?

Dia balas balik,

“Sorry, neskafe tarik nak ais ke taknak ais?”

Vroom

Hari ini aku membawa isteriku ke Giant dengan menaiki motor. Sudah 3 hari dia sakit perut dan berlawan dengan cirit-birit yang teruk, tempohari dia hampir pitam di pejabat. Apalah salahnya jika aku membawa dia berjalan-jalan ke Giant.

Aku menghidupkan enjin, dia memulakan langkah untuk menaiki motor. Satu perkara tentang wanita yang jarang menaiki motor, mereka kebuntuan idea bagaimana untuk duduk dengan mudah.

Geli hati melihat isteriku berhempas pulas untuk duduk. 

Selepas dia selesa, aku memulas pendikit. Isteriku memeluk dan memegang perutku dengan erat. Seperti biasa aku mengiringkan motor ketika membelok, 

“Bestnya naik motor.” katanya tersenyum.

Aku membalas senyuman dan melihat wajahnya dari pantulan cermin sisi. Aku gembira dia bersuka-ria sambil mengharapkan badannya pulih seperti biasa.

Warkah untukmu Sultan Liverpool


Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun. Adapun kedatangan warkah ini ke pangkuan tuanku adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kegusaran patik tentang keberadaan kelab kita yang diibaratkan seperti gagak tercekik tulang, tuanku.

Ampun tuanku.

Seperti kita sedia maklum, seluruh manjapada dan semesta berasa gusar dengan malapetaka yang menimpa kelab kita. Begitu walang hati patik, tersangat khuatir jemala kami, musibat ini terlalu berat tuanku. Jiwa dan raga seperti ditikam berkali-kali. Terasa sesak di dada ini sukar untuk bernafas.

Ampun tuanku.

Izinkan patik merungkai yang tersirat, melerai yang terikat. Adapun malam tadi, begitu baghal Emre Can di tengah padang. Ibarat unta bertongkat mahu menongkah gurun, tuanku. Jikalau tidak dia mampu menyepak bola, apalah salahnya dia berfikir. Sesungguhnya berfikir ini bagus dan berkhasiat untuk otak, tuanku.

Tentang Mignolet, usah tuanku gusar. Akan kami pangkas alat kelaminnya biar tidak beranak-pinak. Apalah malang nasib kita berpenjaga gawangkan dia.

Ampun tuanku beribu ampun.

Sebaik sahaja melihat Moreno, kami tersenyum. Bukanlah senyum kami kerana suka, tuanku. Saat paling lucu tentulah ketika dia menumitkan bola ke belakang. Alahai, runtuh segala kehidupan kami. Seperti mahu menangis sahaja di depan kaca tv.

Ampun tuanku.

Sudilah kiranya tuanku pertimbangkan untuk masa hadapan, kita guna cara yang lain. Sesungguhnya pihak musuh sudah siaga dan menunggu sahaja kita cemerkap. Mereka berkampung di depan gawang, meletak seisi pasukan di dalam kotak, namun serangan balas mereka pantas berhasil tuanku. Apalah salahnya kita pula yang berkampung di depan Mignolet, tuanku.

Ampun tuanku Yang Mulia Sultan Klopp, patik mohon berundur dulu. 

Seri

Kisah ini terjadi kira-kira sebulan selepas aku berkahwin.

Di bawah sinaran matahari yang baru sahaja menunjukkan garangnya, aku menunggang motorsikal menuju ke pejabat. Sepertimana kelaziman seorang penunggang yang berotak, aku mengemudi dengan penuh cermat. Mengikut perkiraan, aku akan tiba ke pejabat lagi 6 minit.

Usai melalui selekoh ke kanan, di hujung ufuk melintang di hadapan aku sudah melihat penampakan sosok-sosok tubuh yang berseragam putih. Kebetulan aku baru sahaja memperbaharui cukai jalan, ditambah dengan motorku yang tidak pernah diubahsuai, tidak ada apa yang perlu digerunkan.

Sebaik sahaja sampai di sekatan jalan, Encik Polis 1 mengarahkan aku ke tepi dan aku memberhentikan motor tepat 3 inci dari hujung kaki Encik Polis 2.

Aku menaikkan pelindung muka dan memberi senyuman paling manis kepada Encik Polis 2. Bukanlah aku mahu mencairkan hatinya dengan senyuman yang manis, tetapi budi bahasa amalan kita. Ketika mahu mematikan enjin motor, Encik Polis 2 membuka mulutnya yang membuatkan aku kehairanan.

“Pengantin baru eh?”

Tercengang sebentar diriku ini dipeluk kehairanan. Ya, aku memang pengantin baru. Usia perkahwinanku dengan wanita cantik yang ku cintai baru sahaja sebulan, memang amat layak aku masih digelar pengantin baru. Tetapi, dari manakah Encik Polis 2 ini mengetahuinya?

Aku melihat botol air yang berada di bakul motor. Tidak ada tulisan bertulis “Just Married”. Kemudian aku melihat kepala motorsikalku, juga tidak ada tulisan yang menunjukkan aku baru sahaja berkahwin. Pinga aku dibuatnya.

Di pagi itu, di hadapan pegawai polis itu, aku membuat kesimpulan. Kesimpulan ini mungkin sukar diterima akal yang waras namun inilah kesimpulan yang paling logik.

Terpancar sinaran cahaya seri orang baru berkahwin di wajahku. Aku amat pasti cahaya ini terpampang jelas dan memberi penjelasan maksima kepada semua orang yang melihat wajahku.

Lalu aku menjawab, ya saya baru sahaja berkahwin. Mana encik tahu? Di saat ini aku amat pasti dia akan menjawab seri orang baru berkahwin begitu jelas di wajahku.

“Kawan facebook laaaa. Okay takpe, jalan.” kata Encik Polis 2.

Aku rasa dekat situ jugak aku nak buat wheelie.