Aku dan selipar

Dengan penuh berhati-hati, plastik tebal penuh kualiti itu dipotong mengikut ukuran tapak kaki manusia. Saiz 8. Ditampal di bawahnya tapak yang juga tebal dan diukir dengan rona-rona tajam untuk mencengkam permukaan bumi, baik yang dibalut tar ataupun simen. Dibuat pula lubang dan dilekatkan dengan tali yang bisa melekapkan kaki.

Maka terciptalah sebuah selipar.

Selepas melalui proses saringan kualiti, selipar tadi kemudian dihantar ke sebuah kedai yang menjual barangan kembara di Denpasar, Bali.

Aku masih ingat lagi di petang itu, di bawah sinaran matahari terik Bali, aku berlindung di dalam kedai Consina yang berhawa dingin. Selepas meletakkan motorsikal di tepi jalan, kami masuk ke kedai dan membelek barang.

Entah bagaimana mataku terpaku melihat sebuah selipar berwarna hitam yang begitu elok sekali kejadiannya. Di saat itu aku tahu aku perlu memiliki selipar ini dan memakainya ke mana jua. Aku amat yakin pesona selipar ini mampu memukau mana-mana mata yang memerhati kakiku.


Dengan harga yang sangat berpatutan, aku sudah berjalan ke sana ke mari dengan selipar itu. Katakan sahaja di mana, aku dan selipar itu sudah merantau ke situ. Ke Siam, ke Penang, ke Borneo, ke Kinabalu, ke Ranau, ke Sanur, ke pejabat, ke pasar, ke pejabat ugama dan banyak lagi. Malah sehingga ke jazirah Arab.

Aku benar-benar sudah bersatu dengan selipar itu. Tiada langsung cacat-cela pada dirinya walaupun sudah 2 tahun masa berlalu. Aku yakin kami akan bersama buat seribu tahun lagi. Kisah kami dilantunkan ke seluruh penjuru Nusantara dalam lagu Alleycats,

“Bulan takkan terang
tanpa seri wajahmu,
hati takkan tenang
tanpa kehadiranmu.”

Namun sayang… jodoh kami tidak lama. Beliau (selipar) itu sudah dicuri orang. Kepalababi pundek celaka punai anjing makantaik kimak arrrghhhhh mereput la kau dalam neraka nanti pencuri semoga kaki kau kena lenyek dengan lori 18 tayar.

Lahanat!

Menaik

Melihat wanita yang sedang menyusun nafas di hadapan membuat perasaan aku bersilih-ganti. Di dalam lelah, aku tersenyum melihat dia leka menyaksikan pemandangan di pergunungan. Kepenatan mendaki setinggi 2800 meter benar-benar menguji kudrat, dan masih ada ketinggian 400 meter untuk tiba ke Laban Rata.

“Sakit,” katanya memegang lutut.

Kita rehat dulu, balas aku.

Mendaki ketika musim panas tanpa bekalan air yang mencukupi bukanlah pilihan yang baik untuk aku. Otot-otot kaki yang kejang membuat aku lebih senang duduk sambil makan coklat. Mujurlah kami sudah punyai bekalan air yang diambil di kem Layang-layang. Itupun kerana biduanita di hadapanku ini yang turun mengambil bekalan air. Aku hanya menunggu di simpang jalan antara Mesilau-Timpohon-Laban Rata, menahan peha yang kejang.

“Jom,” katanya.

Aku mengekor dan melihat dari belakang perempuan di hadapanku menongkah Kinabalu sedikit demi sedikit. Tidak lama kemudian kami selamat tiba di Laban Rata, dan masih ada 800 meter pendakian ke Low’s Peak.

Hari ini, 34 hari lagi kami akan diijabkabul. Memanjat pelamin bersama pastinya menjanjikan satu lagi cabaran buat kami berdua. 

Keazaman

Ketika zaman persekolahan, aku adalah seorang yang sangat berdikari. Aku sudah sedia maklum bahawa pengalaman adalah sebaik-baik guru. Sebuah pengalaman pula perlu ditimba dengan berani keluar dan berfikir dari luar kotak. Aku percaya kemampuan seorang manusia mencakupi aspek yang luas dan hanya langit sebagai batas. Ketika rakan-rakan sebaya masih memerlukan bimbingan guru, aku sudah keluar dari zon selesa dan berjalan dengan kaki sendiri.

Ya, betul. Selepas waktu rehat aku sudah berada di dalam bas dan berjalan pulang ke rumah.

Tengkujuh di hatiMU

Di hadapan pejabat aku, ada laman ditumbuhi pohon-pohon yang batangnya halus. Ketika melalui laman ini, aku dihembus bayu yang bertiup agak kencang. Terkuak sedikit skirt yang dipakai oleh nona di hadapanku dan menggerbang rambutnya mengingatkan aku kepada iklan Sunsilk.

Dengan keadaan awan mendung dan angin begini, aku teringat bahawa kita sudah menghampiri November. Musim tengkujuh bakal menjelang dan ini menandakan aku bakal kebasahan setiap hari meredah hujan.

Tapi tidaklah aku bencikan hujan. Angin yang datang kerana perubahan monsoon timur laut harus disambut dengan hati yang terbuka. Bercakap tentang hujan dan angin, aku mendapat khabar berita penyokong-penyokong Man United sedang dilanda ribut pawana di dalam sukma hati mereka. Jika minggu lepas taktik berkampung di hadapan De Gea menjadi, malam tadi mereka tidak sempat berkampung dan meletakkan sejuta orang di hadapan pintu gol. Bila ketinggalan dan cuba mencari gol dengan permainan terbuka, mereka dibolos lagi lagi dan lagi.

Aduhhhhh, bersabarlah Man United. Kita doakan musim tengkujuh yang melanda Old Trafford tidaklah terlalu lama dan tidaklah terlalu sekejap. Tapi kalau lama pun, apa salahnya.

Memetik kata Jurgen Klopp,

“Terima kasih Man United kerana sesi latihan untuk kami bertemu West Bromwich.”

Cinta kepada Man Utd adalah sebuah cinta yang tunanetra?


Seawal minit pertama, permainan Man Utd begitu tersusun. Di seluruh penjuru padang ada pemain berjersi biru. Ke mana sahaja pemain Liverpool berlari, di situ ada pemain berjersi biru yang bertulis Chevrolet di dada.

Di barisan hadapan, King Zlatan sentiasa menghuru-harakan benteng pertahanan lawan. Rembatan demi rembatan dilancarkan kepada Karius, seperti hujan torpedo yang membantai bumi Fallujah. Tak menang tangan dibuatnya. Kasihan Karius, pemuda segak bergaya tampan dan ganteng dari Jerman.

Belakang sikit, ada Pogba. Pogba yang terkenal dengan gelaran Dab Dancer dan punyai follower yang ramai di instagram bermain bermati-matian. Dapat bola, dia bawak. Dia passing, dia bentes, dia kejar. Semua dia buat. Pendek kata, Pogba memang pembelian yang bernilai kepada Man Utd. Seperti sebiji mutiara yang bersinar di dasar laut.

Rakan-rakan United yang lain juga tidak kurang hebatnya. Serangan bertali arus dan susunan koreografi Mourinho begitu menjadi malam tadi. Mourinho boleh diibaratkan Bapa Pemodenan kepada Manchester United. Tiada lagi corak permainan yang bosan dari era Pak Alex.

Permainan malam tadi jelas menunjukkan Man United sudah bersedia untuk melakukan yang mustahil. Dengan kehebatan malam tadi Man United dilihat garang dan menjadi pilihan utama untuk menjuarai semua kejohanan yang disertai.

Namun sayang seribu kali sayang… kalau kau tengok sendiri malam tadi, kau tahulah apa sebenarnya yang terjadi. Bosan nak mampos. Menyesal aku tengok. Ngantuk gila ni woiiiii!

Tetamu twitfemes

Semalam ketika aku sedang bertempur di sebuah sistem cakerawala yang terletak beratus ribu tahun cahaya dari Sistem Suria, telefon aku menyala. Aku memang setiap masa meletakkan telefon dalam keadaan silent. Mungkin kerana aku seorang pemuda yang gemarkan ketenangan.

Aku tak perasan Zharif cuba menghubungiku. Rupanya beliau sudah berada di hadapan pintu rumah. Mungkin sedang mengetap bibir kerana aku tidak mempedulikannya. Maafkan aku Zharif, selaku askar Imperial aku perlu melawan cubaan tentera Rebellion yang ingin menembak Imperial Walker.

Lantas aku meletakkan joystik dan berlari  anak menuju ke pintu rumah. Aku perlu menunjukkan bahawa aku rasa bersalah kerana membiarkan Zharif lama di depan pintu rumah.

Sebaik pintu dibuka, Zharif sedang tersenyum. Begitu bertuah gadis yang akan mengahwini pemuda ini, kata aku di dalam hati. Sudahlah sanggup menunggu lama, senyum pula bila pintu dibuka.

Kemudian aku menjemputnya masuk dan menyediakan tempat tidur paling enak di dunia. Aku ambil tilam angin, dua biji bantal dan juga selimut tebal. Aku dapat rasakan keadaan Zharif ketika itu benar-benar selesa dan benar-benar rasa dihargai. Selepas aku memastikan beliau settle down di atas tilam angin, aku ke dapur. Aku mahu menyediakan minuman paling enak untuk Zharif. Aku benar-benar mahu dia merasakan betapa syurganya jika ke rumah ini. Aku ambil limau purut, aku belah dengan pisau dan aku picit masuk ke dalam jag. Dicampurkan dengan sedikit air panas dan gula secukup rasa, aku tambah dengan air batu.

Kemudian aku membawa limau ais tadi ke dalam bilik dan menuangkan ke dalam cawan. Aku dapat lihat mata Zharif yang berkaca ketika meminum limau ais yang aku bancuh khas untuknya.

“Power, power.” Puji Zharif kepada aku.

Mendengar komen yang positif dari Zharif sudah cukup untuk membuatkan aku senang hati dan gembira.

Mungkin inilah perasaan yang sama ketika ibu melihat aku minum milo sebelum ke sekolah dahulu.

Ohhh, kerinduan pada ibunda.

:)

Ketika melihat Hendo menahan bola dan menolaknya ke dalam gawang dengan penuh susila, aku tengah baring. Suhu bilik yang menurun sehingga ke paras 21 darjah selsius memaksa aku untuk terus kekal di dalam selimut. Hendo punya gol tu kalau kau tengok TV arab,

Goooooooooollllllllllllllllllllll!

Mustaheeeeeeeelllll!

Mustaheeeeeeellllll!

Kalau pasukan kau yang kena, memang rasa nak pecahkan tv.

Hendo lari ke tengah padang diekori rakan-rakan. Sambil mengukir senyuman dia menggelongsor di atas padang Stamford Bridge. Disusuli ucapan tahniah dan berpelukan sesama mereka. Kemudian TV menunjukkan aksi Klopp yang melompat dari tempat duduk. Marko Grujic di belakang bagaikan baru percaya bahawa keajaiban itu sesungguhnya benar-benar wujud. Satu suasana yang sungguh meriah dan menguntum senyum di setiap wajah peminat Kop.

Bak kata Jorji di konti Ultrajang, manissssss.

Tidak lama kemudian, perlawanan tamat. Sengaja aku biarkan TV terbuka walaupun sudah subuh hari dan mahu tidur. Sambil melayari sosial media, aku tersenyum. Senyuman aku tidak dapat ditahan. Lagipun aku berhak untuk senyum. Kemudian barulah aku menutup TV, menarik selimut dan menyambung senyum. Pendek kata aku bakal tidur dan bangun pada hari sabtu dengan senyuman. Sungguh ceria jiwaku di waktu itu. 

Dua hari kemudian, pada hari ahad… senyuman aku semakin lebar. Terima kasih Manchester United. 

🙂

Surat terbuka untuk Zharif

Menemui sahabatku Zharif, yang kini telah keluar dari jalan lurus seorang laki-laki. Adapun persimpangan yang kau lalui sekarang ini menuju destinasi yang kabur dan kelam. Di hadapanmu itu liku-liku suram yang bakal dipenuhi cabaran yang bahayanya bisa mencengkam dirimu kelak.

Sahabatku Zharif,

Ranjau kehidupan ini memang tidak lurus… dan begitu banyak simpang. Namun simpang yang kau ambil, jalan yang kau susuri ini tidaklah elok untuk dirimu. Kerana jalan ini, selain dipenuhi jerangkap samar, juga semakin payah untuk didaki.

Pulanglah.

Pulanglah ke pangkal jalan. Jalan orang laki-laki, yang menjadi khalifah di bumi Tuhan. Jalan yang memerlukan fitrah kejadian seorang laki-laki. Jalan yang lurus ini perlu kau tempuhi dengan semangat perkasa dirimu, yang tegas dan penuh karisma seorang pembimbing keluarga.

Di bawah bayu yang bertiup dari Siberia.

Pagi itu aku memulakan hari dengan menggeliat. Selepas mendapatkan urrrghhhhh selama 8 harkat, aku bangun keluar dari bilik.

“Ibu masak salmon kari, nak makan pergi panaskan.”

Aku sayang ibuku. Bagiku ibu adalah segalanya. Bukanlah kerana dia menyediakan makanan sebaik sahaja aku bangun tidur, tapi untuk sebab-sebab lain sepertimana kalian menyayangi ibu kalian.

Kemudian ibu menambah,

“Kejap lagi adik balik dari sekolah, ibu nak tunggu dekat bawah.”

Adik balik sekolah? Ohhh, rupanya sudah hampir jam 3 petang. Aku betul-betul menyangka aku bangun tepat jam 10 pagi. Sebenarnya kalian tidak boleh salahkan aku. Cuaca dingin di Shanghai ini dan tiada kelibat matahari, ditambah dengan salji yang turun…

Pendek kata, memang sedap bangun lambat.

img_3084

Lantas aku ke dapur dan mendapatkan salmon kari. Selaku pemuda yang menjadi idaman ramai ibu-ibu, bakat memanaskan makanan yang ada pada diriku tiada tolok banding lagi. Perlahan-lahan aku ambil salmon, letak di atas pinggan, masukkan ke dalam mesin ketuhar dan aku tekan butang satu diikuti butang kosong.

10 saat sudah cukup untuk aku mendapatkan salmon kari yang enak.

Ditambah dengan nasi dan sayur brokoli, sedikit kicap masin yang aku bawa dari tanahair tempohari, di tengah musim sejuk yang anginnya kencang hingga membuatkan tingkap rumahku bergegar, suapan pertama telah membuatkan aku memejamkan mata dan bersyukur penuh tawaduq.

Sama ada kerana salmon lautan pasifik ini benar-benar segar, atau kerana air tangan ibuku. Aku lebih senang dengan pilihan kedua.

Amaran. Bukan cerita seram.

Kami menggabungkan dua khemah dan aku tidur di khemah berseorangan. Aku membiarkan pintu khemah terbuka dan Zharif tidur betul-betul di hadapan khemah. Dia bersama Din dan Daus tidur di bawah kanvas yang direntangkan di atas tali dan ruang yang terbuka membenarkan angin masuk menerpa kami semua. Aku terpaksa membuat keputusan drastik dan menutup pintu khemah. Keputusan ini diambil tanpa perlu mengira perasaan orang lain kerana aku tidur berseorangan di dalam khemah. Khemah aku ni ibarat lot corner, tidak mengganggu siapa-siapa.

Cuma aku kesian dengan Zharif, Din dan Daus yang tidur di bawah kanvas. Tapi sebenarnya mereka tidur di dalam beg tidur, sepatutnya tidaklah mereka merasa terlalu dingin.

Selepas menghalang hawa dingin masuk ke khemah, aku meneruskan usaha untuk tidur. Bertemankan bunyi cengkerik, deruan air dan burung yang bersahutan, aku memejamkan mata dan berdoa tidak diganggu benda yang bukan-bukan.

“Tunang aku tak bagi pergi sini, sebab dia dah pergi sini. Dia kata dekat sini ada macam-macam.” Berderau darah aku bila dengar Yin cakap tadi.

Cilakak! Kalau ada pun, janganlah cakap. Tak pasal-pasal aku payah nak tidur.

Aku pusing ke kiri, pusing ke kanan, betulkan alas kepala, tutup mata dengan baju, tetap tak boleh tidur. 2 jam sebelum itu, aku dan Zharif sudah sepakat mahu bangun awal dan bergerak ke Lata Medang. 

“Esok kita pergi Medang, kejap je pun nak pergi sana.” kata Zharif.

“Settttt, pukul berapa kita nak gerak?” aku mahu mendapatkan kepastian.

Zharif balas, “seeloknya awal pagi. Dalam jam 6.”

Jadi sekarang aku perlukan tidur. Aku perlu tidur untuk mendapatkan bekalan tenaga yang cukup. Aku tidak mahu menjadi seperti tentera salib yang kalah perang sebab tak cukup tidur. Tidur lambat, lepas tu kena serang lepas subuh. Oleh sebab itu aku perlu tidur dengan cepat. Demi penjelajahan ke Lata Medang!

Rupanya pagi itu Zharif bangun pukul 8 pagi. Aku hanya menggeleng kepala dan sambung memerhatikan Din yang sedang masak air. Mungkin sudah ditakdirkan aku dan Zharif tidak dapat ke Lata Medang hari ini. Atau mungkin Zharif memang sejenis kawan yang setiap kali kita tanya dekat mana, dia jawab “on the way.”