Catatan yang dicatit

Sebenarnya tujuan aku menulis di sini adalah untuk mencatat. Aku percaya sebuah catatan adalah penting dan setiap huruf yang terpatri di dalam setiap catatan adalah bermakna. Catatan adalah satu bukti yang menunjukkan si pencatat sedang melalui atau sudah mengalami sesuatu peristiwa. Kita tolak tepi fiksyen dan penipuan.

Aku betul-betul berharap di zaman dahulu, ada orang yang mencatat dan meninggalkannya untuk dibaca cucu-cicit. Aku mahu tahu Merong Mahawangsa suka makan apa, aku mahu tahu jurus rahsia Hang Tuah, dan kalau boleh aku mahu tahu lagu apa yang Mahsuri sering nyanyikan ketika mandi di sungai.

Aku mahu tahu setiap maklumat itu walau sekecil zarah sekalipun. Tapi tolong jangan berikan itu semua seperti bentuk buku teks sekolah yang diterbitkan DBP. Bapak bosan.

Tulis, catat, simpan, dan biar orang tahu.

Tapi aku yakin sebenarnya ada yang menulis dan mencatat, cuma banyak tulisan dan catatan itu telah dihapusluput oleh penjajah yang berdiri beratus tahun di tanah ini. Aku tak kira, aku tetap mahu menuduh mereka.

Aku pernah baca di Johor dulu ada piramid dan di puncak piramid itu ada emas. Emas itu ke mana? Dan benarkah ada emas? Benarkah ada piramid?

Nampak betapa pentingnya sebuah catatan?

Nampak?

Baik, masa untuk aku bermain PS4. Untuk anak cicit di kemudian hari, ingatlah… Ketika saat ini, aku (bapamu, atukmu, moyangmu, buyutmu, cakawarimu, cilawagimu) sedang menunggu The Witcher 3 update file habis di download. Di ambang malam merdeka…

Sambil minum kopi.

Penghujung benua

Kami meninggalkan kota kira-kira jam 10:15 pagi. Di bawah sinaran matahari yang mendenting dan pendingin hawa kereta yang lemah, kami memulakan perjalanan dengan berpeluh. Di stesyen minyak, temanku yang bijak membeli aiskrim dan air kegemaranku.

Inilah contoh sahabat yang sensitif dan prihatin.

Vrooom, kereta kami menyusur jalan menuju ke destinasi.

Ketika tiba di Kota Belud, aku sering memerhati ke kanan. Membuatkan temanku, yang lebih senang dipanggil Taliban bertanya, “Ko tengok apa?”

“Kinabalu.” aku balas.

Selepas menoleh ke kanan, dia angguk kepala dan kembali meladeni jalanraya.

Seronok sekali jika menyusur jalan bertemankan pemandangan gunung. Dengan jalan dan desa kecil di kanan kiri, mengingatkan aku kepada pertualangan di Flores. Jika di Flores aku akan sentiasa memerhati Gunung Inerie. Di sini, Kinabalu.

Kinabalu semakin jauh menghilang dari pandangan, dan akhirnya kami tiba di Simpang Mengayau. Sebenarnya sudah lama aku ingin ke sini dan melihat penghujung Borneo yang sering dikata orang.


Puas hati, puas hati. Cuma aku mempunyai beberapa idea untuk meningkatkan jumlah pelancong ke sini. Banyak pelancong maka naiklah pendapatan penduduk tempatan, secara langsung menaikkan prestij negeri Sabah. Akan aku hubungi menteri pelancongan dan berbincang dengannya sendiri. 

Aku sudah membayangkan saat kami berbincang nanti, karipap dan mee goreng sudah tersedia di tepi dinding.

Katarsis di bumi asing

Hari ini aku di Bumi Kenyalang untuk urusan pekerjaan. Sudah menjadi lumrah diriku, segala hal kerja harus ditangani dengan penuh tanggungjawab dan dibuat dengan langkah bijak.

Selepas berjaya menyelesaikan masalah, aku dan rakan pergi makan. Ketika makan kami berbincang tentang hal kerja dan langkah-langkah yang patut dilakukan untuk memastikan kerja menjadi lebih mudah di masa hadapan. Pendek kata, akal kami yang geliga bila digabung pasti mencetuskan sesuatu yang genius. Jika sultan atau raja mendapat tahu, mereka pasti memberikan kami darjah kebesaran. Tapi kalau MB Terengganu dapat tahu… 

Hmmmm.

Berbalik kepada cerita hari ini.

Selepas makan, aku menghantar rakanku pulang ke hotel. Aku nak rehat, penat. Dia kata. Aku angguk tanda setuju. Aku memang jarang geleng kepala.

Kemudian aku meneruskan pemanduan ke lokasi dan destinasi yang dipenuhi kehijauan. Sesuai dengan diriku yang mencintai flora dan fauna, aku berasa senang di sepanjang pemanduan. Ditemani lagu yang aku sendiri tak tahu sebab aku malas tukar siaran, dan alam semulajadi yang hijau melata, aku kelihatan begitu santai memandu si bawah paras had laju. Sifat tenang yang sedang menguasai diriku ini hanya akan hadir setiap kali aku keluar menengok tempat orang.

Dipendekkan cerita, selepas puas menjamu mata. Aku kembali ke bandar. Di dalam perjalanan aku berasa lapar. Untuk mengatasi masalah ini, aku bercadang untuk ke Mom’s Laksa yang dikata orang punyai laksa yang enak. Aku tidak pernah makan di Mom’s Laksa, aku mesti cuba. Aku tidak boleh kalah dengan orang lain yang sudah makan di situ. Aku mahu menjadi salah seorang pemuda yang sudah makan di Mom’s Laksa. Kalau orang lain boleh, kenapa aku tidak? Tambahan, aku lapar.

Lalu aku mencari dengan penuh tekun. Disuruh belok, aku belok. Disuruh terus, aku terus. Terima kasih google maps. Sampai Mom’s Laksa, kedai tutup.

Aku mengetap bibir tanda protes dan pulang ke hotel sambil menyalahkan takdir.

Duran Durian

Tempohari aku berada di satu kawasan yang mempunyai pesisir pantai yang elok. Kedatangan aku ke kawasan tersebut ialah untuk melakukan sedikit pengubahsuaian merangkap melakukan sedikit kerja. Sebaik masuk ke tempat kerja, aku terus bekerja dengan pantas dan tangkas.

Ketika sedang membuat kerja, ada beberapa orang kontraktor lain yang datang untuk melakukan kerja mereka. Aku melemparkan senyuman tanda hormat.

Tidak lama kemudian, datang sorang brader. Biarlah aku menamakan brader ini sebagai Brader K. Brader K bertanggungjawab untuk membantu dan memastikan kerja aku siap. Kami berborak tentang kerja dan keperluan yang perlu disiagakan. Selepas memahami kehendak aku, Brader K angguk dan membiarkan aku menyambung kerja.

Aku dapat merasakan Brader K seorang yang peramah. Sambil melihat aku bekerja, dia berkongsi pengalamannya memasukkan Windows 10 di dalam komputer yang mempunyai spesifikasi sebuah server.

“Banyak kerja, tapi takpala kita buat la slow-slow sampai jadi,”

“Belajaq dari youtube ja. Study study lepaih tu balik buat la.”

Aku hanya mengangguk. Tangan dan kepala aku lebih tertumpu kepada tugasan yang meminta segenap perhatian.

Entah macam mana, mungkin dia perasan aku sedikit sibuk. Dia beralih ke kontraktor-kontraktor yang sedang berdiri di sudut lain.

“Ni, hangpa suka makan durian tak?” tanya Brader K.

Semua angguk dan mereka mula bercerita tentang durian. Segala jenis durian keluar menjadi perbahasan. Musang king, d24, durian bukit, dan entah durian apa lagi semuanya keluar. Perbincangan tentang durian menjadi begitu sengit, masing-masing menonjolkan ilmu durian yang ada di dada. Ada yang kata durian kecil ni sedap, ada yang suruh cari durian bukit, tidak ketinggalan yang menceritakan ciri-ciri durian manis dan berlemak. Masing-masing punyai intipati dan isi kandungan yang bernas. Semuanya membulatkan pendapat yang lain.

Tapi… Geram juga bila fikir aku sorang je yang buat kerja.

Rampasan kuasa di udara

Aku suka suasana sebelum hujan. Sedikit huru-hara sebelum datangnya hujan adalah keadaan yang seronok untuk dinikmati. Suhu yang jatuh dan tiupan angin yang semakin kencang membuatkan aku ingin mendepakan kedua belah tangan dan menutup mata menikmati bayu yang bertiup. Ya, akulah Leornado Di Caprio dalam Titanic.

Hujan ibarat kudeta yang berjaya merampas kuasa dari tampok pemerintahan penguasa lama. Hujan datang membawa sebuah perubahan kepada iklim dan memberikan suasana baru yang mendatangkan kemusnahan atau kenyamanan.

Jika aku keluar berjalan melihat tempat orang, aku lebih suka suasana ketika hujan. Walaupun tidak dapat melihat pantulan air yang mewarnai laut, aku tidak kisah dan aku tidak berapa peduli. Banyak kali juga aku mandi hujan ketika di tempat orang. 

Berkayak ketika hujan di tepi pantai.

Berteduh menunggu hujan turun di Krabi.

Berpeluk tubuh ketika hujan di Ubud.

Melihat hujan yang turun sambil menikmati kopi panas di Shanghai.

Menuju Low’s Peak, puncak tertinggi Kinabalu bersama teman-teman.

Paling seronok, ketika island hopping di sekitar Laut Andaman. Ahhhh, seronok. Seronok sekali.

Maafkan aku, paling seronok adalah ketika menaiki motor bersama yang tersayang di pulau lagenda. Kami basah bersama. (Aaaawwww)

Tapi ada juga masa aku mendoakan supaya hujan tidak turun. Ketika menaiki bot dari Labuan Bajo ke Lombok, dan juga setiap kali pulang dari kerja. 

Bukan apa, aku malas basuh seluar.

Temaram di Amed

Selepas mendapatkan istirehat yang empuk, aku dan Vovin meneruskan pertualangan. Tengahari ini kami akan ke Pantai Amed yang terletak di timur Bali.

Perjalanan dari Singaraja melalui jalan pantai utara Bali menjanjikan pemandangan yang asyik. Berbeza dengan jalanraya Bali yang lain, jalan  kami lalui santai dan hanya berteman burung-burung yang berlegar di udara. Namun tidak pernah surut dengan desa yang berdirinya rumah-rumah bersaiz sederhana.

Sampai di Amed dan mendaftar masuk penginapan, kami pergi makan. Kami makan tengahari di tepi pantai disajikan nasi goreng dan pemandangan yang sangat elok. 

“Terima kasih alam semesta untuk gadis-gadis berbikini yang berjalan dengan lenggok yang sangat elok.” kata Vovin.

Selaku orang budiman, aku hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada nasi goreng.

Petangnya kami duduk di lereng bukit, menyertai pemuda-pemudi lain sama-sama melihat matahari terbenam. Suasana ketika itu begitu senang. Ada yang menjual air, ada yang sedang memarkir motor, ada yang sedang mencari tempat paling sedap menangkap gambar, ada juga yang sedang memulakan bicara dengan, “How are you? Where are you come from?”


Pemuda-pemuda yang aslinya di situ membawa bersama mereka sebuah gitar. Kehadiran irama petikan gitar menghangatkan lagi senja pada hari itu, dan ada juga aku ter-sing along lagu Bob Marley.


Pantai Amed adalah antara destinasi yang punyai pantai dan karang yang cantik. Tapi sunyi sekali di malam hari.

Apokalips II

Selepas menunaikan ibadah berbuka puasa, aku kekenyangan. Sudah menjadi kelaziman setiap kali kenyang, aku akan menggerakkan tapak tangan mengikut putaran jam di perut.

Setelah merasakan waktunya telah tiba, aku naik ke katil dan baring.

Kira-kira jam 8:30, aku meluncur di atas jalanraya membelah kedinginan malam menuju Putrajaya Sentral. Hari ini aku akan pulang ke JB dengan kenderaan paling sedap di dunia yakni bas. Pada pendapat aku, semua orang yang mahu pulang ke kampung dengan bergaya dan rileks harus menaiki bas. Kau boleh buat apa sahaja di dalam bas. Baca buku, dnegar lagu, menulis di laman web, tidur dan berbagai lagi. Tapi sebenarnya kalau naik kereta pun best. Yang penting bukan ko bawak.

Di bawah sinar rembulan, aku tenang menuju Putrajaya Sentral. Bulan yang terang dan penuh mengingatkan aku ketika berkhemah di Karangasem, Bali. Mujur ketika itu bulan naik ke langit kira-kira jam 10. Jadi kami mempunyai kesempatan untuk menangkap gambar bintang dan cakerawala tanpa gangguan sinaran purnama. Kegelapan adalah penting jika kau mahu menangkap gambar Bima Sakti. Tempat yang tiada pencemaran cahaya adalah tempat yang tiptop untuk melihat bintang kejora dan menjelmakannya ke dalam bentuk foto.

Di Putrajaya Sentral, aku membidik sasaran yang paling tepat untuk meletakkan motor. Setelah yakin dengan sudut yang dipilih, aku parking. Motorku sudah siap dikunci dan diletakkan mangga, kini hanya tawakal kepada Tuhan supaya tidak terjadi apa-apa.

10 minit menunggu dan bas yang membawa harapan untuk aku pulang ke kampung halaman tiba. Aku tersenyum dan mengeluarkan tiket sambil menyemak nombor tempat duduk. Setelah tiket disemak, aku melangkah masuk ke dalam bas. Langkah pertama masuk ke dalam bas, lagu Apokalips bergema memenuhi ruang benakku.

Ada masanya aku suka berteman,
Ada masanya aku suka bersendiri,
Ada masanya aku suka berjalan,
Ada masanya aku suka berehat.

Apokalipssss, apokalipssss, apokalips apokalipssssssss.

Apokalips I

Hari ini aku pulang agak lewat dari pejabat. Aku akur demi tugasan dan amanah. Bertanggungjawab adalah peribadi yang telah dipupuk oleh ayah sejak aku pandai bertatih lagi. Keluar dari pejabat, aku terus berlalu pergi bersama sahabat karib di jalanan yang bernama Kersani Hitam. Beliau mempunyai dua roda.

Aku singgah di bazar untuk membeli makanan sempena berbuka puasa. Orang yang menghayati sinar ramadhan sepertiku hanya akan membeli juadah yang cukup sekadar untuk mengisi perut. Keluar dari bazar… ada roti jala, nasi beryani, sotong bakar, tepung pelita dan cucur udang di bakul motor aku.

Alhamdulilah, cukup untuk seorang makan.

Sampai di rumah, aku menguak daun pintu dan mendapati tiada sesiapa di rumah. Di saat itu juga aku menaikkan semangat untuk berumah-tangga.

Dengan cermat, aku meletakkan juadah tadi di atas meja makan. Aku menuju kamar beradu dan mengambil joystik PS4. Aku tekan punat berbentuk bulat.

Ktik. 

PS4 menyala menandakan aku akan leka bermain permainan video sementara menunggu masuk waktu maghrib.

Sedang asyik menembak musuh, azan maghrib bergentayang di atmosfera Sekembang. Azan di rumahku memang agak kuat bunyinya. Jika aku membuka jendela, seakan-akan bilal berada di sebelah telingaku. 

Aku pasrah. 

Aku harus berbuka, akan tetapi musuhku di dalam PS4 belum habis binasa. Jika aku terus meninggalkan PS4, apa pula kata teman-temanku yang juga sedang berhempas pulas membunuh musuh di New York? Aku tidak mahu dituduh seorang yang membuat kerja separuh jalan. Lagipun, aku sudah menulis di awal karangan tadi bahawa aku seorang yang bertanggungjawab.

Kemudian perut aku berbunyi menandakan mahu diisi. Di tahap ini, selera akan mengatasi prinsip. Sepertimana serigala yang memburu hanya untuk hidup, begitu jugalah ambisi hidup aku ketika ini.

Aku tutup PS4. 

Apa nak jadi, jadilah. Aku lapar dan mahu berbuka. Muslim yang baik tidak akan melengahkan buka, ujarku untuk menyedapkan hati.

Bantu aku

Selaku petugas berwibawa yang sentiasa dahagakan kerja dan tanggungjawab, hari ini aku melakukan tugasan seperti biasa dan ditemani seorang teman. Hari ini, kami mahu menyiapkan kerja awal supaya dapat menyelesaikan amanah yang diberi dan berehat.

Jadi, aku dan dia tekun melakukan kerja tanpa mempedulikan segala gangguan yang datang.

Selepas satu jam, kami dapati kerja yang dilakukan terlampau cepat sehingga boleh berehat lebih awal. Ini sudah cantik, fikir benakku.

Aku pandang kawan, dia tengah layan perasaan dan bersungguh korek hidung. Geram juga aku tengok tapi aku tenang sahaja dan tersengih.

Kemudian aku kembali menekan papan kekunci di komputer riba. Begitu cermat aku menyusun langkah sehingga tidak berbunyi langsung pabila jari-jemari menyentuh papan kekunci.

“Caki, kita dapat setelkan cepat ni,” kata kawan aku.

Aku pandang dia. Dia sambung,

“Cantik, gimme five!” Dia angkat tangan ke udara menunggu aku menepuk tangannya.

Ah, sudah.

Aku dalam dilema.

Jika aku tidak membalas… Dia pasti berkecil hati.

Kalau aku balas… Tadi dia baru korek hidung.

Apa harus aku lakukan?

Tolong!

Firasat, sesuatu yang sudah tidak dipedulikan orang

Sebelum melangkah ke dalam gelanggang futsal, aku mempunyai perasaan aneh dan terbayang motorku yang bernama Drogon akan dilanggar. Aku malah telah menyediakan dialog dengan intonasi yang baik untuk orang yang bakal melanggar motorku.

“Bang… apa ni bang… takkan tak nampak?” Dialog yang sudah aku sediakan jika Drogon dilanggar.

Kemudian aku tersenyum dan melangkah masuk ke gelanggang,

“Tak mungkin kena langgar.” Getus hatiku.

Perlawanan bermula, musuh kali ini bukan calang-calang. Didatangkan khas dari Kedah… mereka seperti tahu aku adalah bangsa Johor dan mahu membalas dendam atas kekalahan Lajak Laris di peringkat separuh akhir Piala FA.

 (Aksi di bawah harus di-imaginasikan dalam bentuk definisi tinggi)

Aku acah ke kanan,

lawan menggerakkan badannya ke kiri,

aku tolak bola dan lari ke kanan lawan,

lawan mengekori rapat punggungku dengan ekor matanya,

aku pandang gol lawan, 

bola dirembat ke sudut yang sukar digapai penjaga gol.

Dannnnnnnnnnnnn…

Ya, memang susah untuk penjaga gol menepis bola yang aku rembat melencong jauh dari gol.

Sunyi seketika.

“Selalunya gol,” kata aku kepada teman sepasukan.

Tiba-tiba kami dengar bunyi kuat dari tepi gelanggang. Alangkah sayunya hati melihat Drogon sudah terkulai layu. Hati aku bagai direntap-rentap bila Drogon terjelepuk dihentam brader van yang gostan ke belakang.

Lantas aku pergi ke brader van yang sedang membangunkan Drogon.

Cerita ini berbalik semula ke perenggan dua.