Liverpool, seperti kebiasaan. Menang lagi. Semalam.
Heheh.
Liverpool, seperti kebiasaan. Menang lagi. Semalam.
Heheh.
Jika berlari maraton adalah krisis pertengahan umur yang baru, maka berlari di dalam denai adalah punca mata air yang mengalir menyegarkan dan memberi keremajaan kepada insan berumur. Biarlah aku beritahu mengapa.
Aku tiba di Taiping bersama Afham, seorang pengelola acara yang diam bermastautin di timur semenanjung, lebih tepat lagi sebuah negeri yang pernah diberi nama Inderapura. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur, Afham memilih untuk banyak berdiam. Tanya sepatah dijawab sepatah. Mengingatkan aku kepada zaman kecewa bercinta. Ketibaan kami disaji pemandangan banjaran Taiping dan kami memilih untuk memakan makanan paling enak yang ada di pekan ini, KFC.
Habis makan kami ke perkampungan larian untuk mengambil kelengkapan lari. Di sini aku berjumpa wajah-wajah yang lazim. Mana yang aku kenali, aku tegur dan bertukar jenaka.
Pulang ke hotel selepas makan dan tidur pada jam 11 malam. Sempat aku makan yongtaufu buat bekalan tenaga menghadapi azab esok pagi.
Jam 8 pagi, aku bermula lari dengan para peserta acara 55k yang lain. Aku memulakan langkah dengan penuh cermat dan waspada. Perlahan sahaja. Tidak perlu tergopoh kerana ini adalah acara yang memerlukan ketahanan, bukan kelajuan.
Bukit pertama berjaya dilepasi. Santai.
Bukit kedua memerlukan keupayaan dan kebijakan menapak kaki sambil bergayut memegang tali. Turun bukit tidak boleh laju, jika tidak pasti mendapat habuan dan menyesal.
Dan selepas tiba di CP2, bertemu Bukit Larut dengan ketinggian 1250 meter. Ada kira-kira 7km dengan tanjakan sebanyak 1000 meter. Oh Tuhan. Di sinilah kekuatan mental dan tenaga peserta diuji. Aku naik perlahan-lahan, berehat, berhenti, melihat awan, melihat flora, mendengar bunyi mergastua malah berfikir untuk kekal kahwin satu. Aku malah mempersoalkan untuk apa aku melakukan semua ini. 2km sebelum sampai puncak, peha sudah mula kejang. Lepas aku spray dengan Salonpas, aku sapu minyak panas. Aku urut dan belai supaya darah berjalan lancar, teruskan mendaki dan perbuatan ini diulang sampailah ke puncak. Aku dan beberapa pelari lain saling berpesan,
“Kalau dah sampai atas, jerit kuat-kuat.”
Masalahnya, lepas naik, naik. Lepas tu naik lagi. Lepas tu naik, dan naik lagi. Mental!
Tapi punyalah gembira bila aku sampai puncak dan jumpa menara Telekom. Aku jerit kuat-kuat sebagai isyarat untuk orang bawah.
“Ooooooooo! Oooooooo!” Memang seronok!
Sampai atas puncak memang aku niat untuk jalan sampai CP3 (ada lagi 4km) dan potong bib. DNF. Aku tak peduli, peha memang dah menangkap. Bak kata netizen, “tak boleh bawa bincang.” (Emoji tutup mulut)
Di CP Angkasa aku nak makan bubur. Rupanya tiada makanan berat. Harus ke CP4. Baikkk, aku sahut cabaran ini. Aku mahu menyelami perasaan William Edward Maxwell ketika mendiami bukit ini dan turun di sepanjang laluan berkabus dan licin. Entah mengapa tiba-tiba peha aku kembali segar dan sihat ketika menuruni laluan tar. Ada dua pelari yang meyakinkan aku untuk meneruskan larian dan tidak berhenti di CP.
“Boleh, nanti sampai CP kita makan nasi, cari benda masin sikit.”
“Kalau dah nak cramp nanti, rehat je. Jangan tunggu sampai sakit.”
Aku akur dan mula was-was untuk DNF. Andang perjuangan kembali menyala di dadaku.
Aku teruskannnnn. Aku kemudian berlari turun bukit dan kembali berjalan 100 meter kemudian. Gila betul dia punya selekoh dan turun bukit. Sakit lutut dengan tapak kaki. Tengah layan perasaan turun bukit, lalu sebuah pacuan 4 roda dan Afham duduk di dalamnya. Bukan main senang hati beliau turun bukit naik kereta. Panas hati aku. Aku jerit ‘woiii’ sebagai tanda protes.
Jam 7:30 malam, aku tiba di CP4. Aku makan nasi, mee goreng, ayam, dan cekodok. Aku sempat berbicara dan mendapatkan pandangan Afham yang tenang makan nasi dengan ayam goreng. Beliau juga menyarankan untuk aku meneruskan larian. Begitu besar jiwa pemuda Sungai Isap, Kuantan ini. Malah berkata sanggup menunggu di garisan penamat.
Dari CP4, aku harus memakai lampu kepala kerana hari sudah gelap. Ketika meninggalkan CP4, aku berseorangan. Gugup juga masuk hutan seorang diri. Sengaja aku jalan lambat supaya orang belakang boleh mampir. Nasib baik tak lama kemudian aku nampak nyalaan lampu pelari di belakang. Phew!
Baki 3 bukit seterusnya aku redah dengan ilmu kebatinan. Ada beberapa bahagian yang agak sukar kerana turun dengan curam. Ada juga beberapa pelari yang tersungkur dan menahan sakit. Aku doakan mereka selamat.
Akhirnya pada jam 12:22:32 aku berjaya melintasi garisan akhir menandakan perjuangan sudah berakhir dengan jaya. Pengacara menyebut namaku dan beberapa orang yang tidak aku kenali mengucapkan tahniah. Teringin aku membuat tanda bagus dengan tangan kanan namun aku tahan perasaan itu.
Berbalik kepada persoalan mengapa larian denai ibarat sumur yang memberi kesegaran dan kepuasan. Ketika di dalam hutan aku boleh bertemu ramai orang dan berborak seperti sudah berkawan akrab. Kami berborak tentang mahu DNF, makan nasi sebagai bekalan tenaga, minum teh panas di CP, tentang pengalaman di acara lain, tolong tangkap gambar ketika di puncak gunung dan banyak lagi pengalaman manis yang hanya dijumpai ketika kepayahan di dalam hutan. Sesuatu yang sukar dicari ketika lari di jalanan.
Akhir kata, tahniah buat semua peserta MMTF 2019. Semoga bertemu lagi di edisi akan datang.
Emoji ibu jari ke atas.





Mengikut kajian yang telah aku dapat dari penggalian dan penyelidikan unsur sejarah, aku mendapati bahwa Hang Tuah di zaman dahulu adalah seorang pelari denai. Lebih mesra disebut trail runner di zaman ini.
Hang Tuah akan bangun dua jam sebelum subuh dan bersiap-sedia untuk masuk ke hutan. Beliau akan mengenakan beg Salomon berwarna biru dan membawa bersamanya air sebanyak 2 liter. Menurut tinjauan aku lagi, Hang Tuah gemar mendaki Gunung Ledang, Angsi dan Datok.
Hang Tuah akan berlari naik dan turun gunung. Segala denai, bukit, lembah, bukau dan rabung akan Hang Tuah teroka. Berjumpa mergastua hutan tidaklah menjadi kekhuatiran bagi Hang Tuah kerana Hang Tuah pernah menjadi sukarelawan di Zoo Melaka.
Sebaik habis sesi latihan di hutan, Hang Tuah pulang ke rumah langsung membasuh kasut dan peralatan lain yang penuh dengan lumpur dan tanah. Hang Tuah tidak pernah menyuruh isterinya membasuhkan kasut dan peralatan kerana Hang Tuah tahu isterinya sudah penat menguruskan tempat tinggal mereka. Isterinya juga memahami sebab dan musabab Hang Tuah masuk ke hutan. Bukan suka-suki mencari penyakit, namun penuh dengan makrifat dan khasiat.
Begitulah rahsia kekuatan Hang Tuah. Menjadi trail runner dalam kehidupan. Berlatih dan melihat alam semulajadi. Menghirup udara segar yang diciptakan Tuhan. Bukanlah rahsia beliau terletak pada huruf Ta sahaja.

Malam tadi aku ke Bukit Jalil untuk bersama-sama merasakan kehangatan emosi yang sudah lama membarah di antara dua negara. Perasaan dendam yang wujud sekian lama sejak perang Majapahahit dan Srivijaya, Aceh Tanah Rencong dan Empayar Emas Melaka, konfrontasi Indonesia Raya dan Greater Malaysia kini hadir di dalam bentuk perlawanan bola sepak.
Mana mungkin aku ketinggalan. Pastilah aku juga mahu ke stadium berhempas-pulas mencari ruang di antara dua motor untuk menyelitkan pacuan dua rodaku.
Aku sampai ke stadium jam 8 malam. Terima kasih untuk tempat duduk bernombor! Walaupun masih ada kelemahannya tapi benda baik haruslah disambut dengan dakapan yang mesra.
Aku dapat merasakan permusuhan menyala-nyala sebaik sahaja lagu Indonesia Raya berkumandang di Gelora Bung Jalil. Diikuti dengan Negaraku.
Dan emosi memuncak apabila Safawi menyumbat gol pertama. Apalah daya seorang manusia untuk menahan dirinya sendiri apabila dopamine dan serotonin sedang merangsang deria otak dan mencetuskan kegembiraan? Lambaian tangan diajukan ke udara dan ditujukan ke arah penyokong Garuda yang kemudian tidak dapat menahan emosi mereka.
Penyokong Malaysia membaling botol.
Indonesia membaling suar. Kemudian suar dibaling semula ke arah penyokong Indonesia. Dibaling semula ke arah Malaysia.
Polis dan petugas bertungkus-lumus mereda dan mengawal keadaan.
Tidak lama kemudian Safawi menyumbat gol kedua untuk Harimau Malaya dan mencetuskan sekali lagi letusan emosi.
Botol air kini di udara dan bertukar hak milik. Kali ini polis juga dibaling objek oleh penyokong Indonesia. Kerusi stadium dipatahkan dan dilempar ke arah penyokong Malaysia. Penyokong Malaysia membalasnya dengan balingan air mineral dannnnnnn tamatlah 90 minit masa permainan.
Aku tersenyum puas. Beginilah sepatutnya bolasepak. Penuh dengan amarah dan rasa ketidakpuashatian. Inilah yang membuatkan bolasepak akan kekal sebagai sukan nombor satu selagi adanya bulan dan bintang.
Hari kedua aku di Bali, aku bangun sedikit lewat. Dan hari seterusnya juga aku tahu aku akan lewat. 29 hari di Indonesia bukanlah waktu yang sesuai untuk aku bangun awal.
Selepas mandi aku dan Vovin pergi mendapatkan sarapan yang enak. Biasanya kalau di Bali, menu sarapan sama sahaja baik di hotel mahupun kedai makan. Nasi goreng atau mee goreng, aneka buah dan teh atau kopi.
Ketika makan aku dan Vovin membuat rencana untuk hari itu.
“Ko nak pergi mana? Aku ikut je ko sebab semua tempat aku dah pergi.” kata Vovin.
Entahlah. Aku pun dah pergi semua tempat. Jawabku tanpa mahu mengalah.
Kemudian kami makan dan Vovin membuat panggilan ke seorang penyewa motor yang dipercayainya. Vovin sudah biasa dengan penyewa itu dan mahu berurusan dengannya. Lebih pantas dan mudah.
Aku dan Vovin kemudian sepakat untuk ke pantai melihat pemandangan dan ke Uluwatu menonton tarian Kecak. Aku suka Uluwatu kerana suasana matahari terbenamnya adalah sangat sensasi dan membuatkan aku teringat kepada Julia Roberts.
Cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak! Cak cak cak!
Dan Hanuman melompat ke sana dan ke mari di tengah gelanggang.

Cara mudah untuk memohon permit masuk Gunung Nuang via Pangsun.
Berikan maklumat ke Pejabat Daerah Hutan Daerah Selangor Tengah.
Tarikh masuk:
Tarikh keluar:
Tujuan / Aktiviti: (sini aku hanya tulis ‘naik Nuang via Pangsun’)
Nama:
Nombor Telefon:
No Kad Pengenalan / Passport:

Kemudian hantarkan ke phdseltgh@yahoo.com.
Borang atas sebab aku datang sendiri ke pejabat hutan. Biasalah… terlebih rajin.


Tunggu permit lulus dan mereka akan hubungi anda selepas lulus. Boleh la telefon 03-90814918 tanya status atau tanya “dapat tak emel yang saya hantar tu?”
Kemudian hadir ke pejabat jika lulus atau menangis seandainya tidak.
Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah, Blok B, Tingkat 1, Platinum Cheras, Jalan Zen 1, 43200 Cheras, Selangor.
atau lokasinya di sini.

Di atas adalah gambar pejabat mereka, berhati-hati ya takut terlepas simpang masuk ke kiri.
Letakkan kenderaan secara beradab, masuk ke pejabat (buka kasut) dan tampil bergaya ke kaunter. Cakap nak bayar permit. RM5 untuk satu hari. Darab la dua kalau dua hari dan seterusnya.
Keluar dan beritahu dunia anda akan mendaki Gunung Nuang secara halal.
Dalam kes aku, aku tak jadi naik pun. Kekangan cuaca.
Di bawah adalah maklumat untuk gambaran yang lebih jelas.


Hari ini aku membawa kelengkapan larian ke pejabat. Mengikut congakan, aku akan bersiap-siap dan meninggalkan pejabat tepat jam 5:30 petang dan pergi berlari.
Aku suka berlari dan aku perlu rajin berlatih.
Walaupun tidak seperti jangkaan, aku tetap berjaya keluar pejabat dalam jam 5:45 dan tiba di MSN Setiawangsa 5 minit selepas itu.
Elok aku pakai kasut, hujan turun rintik-rintik. Ini tidak mematahkan semangat larian aku. Aku pernah berdepan hujan yang lebih lebat dari ini. Aku tetap turun ke trek larian dan memanaskan badan.
5 minit kemudian, hujan semakin lebat dan ramai orang berlindung di astaka. Tinggallah aku dan seorang brader yang memakai baju Spartan berlari macam orang gila. Semua orang memerhati kami berdua berlari dan aku mula berasa canggung.
Hujan semakin lebat dan trek larian kini digenangi air. Aku akhirnya mengalah kerana teringat pemain bolasepak yang mati dipanah petir. Petir itu menyambar padang yang basah dan ramai yang terbaring. Innalillah.
Kemudian aku berlalu pergi, pulang ke rumah dan membeli roti untuk makan malam. Walaupun berasa gundah, melihat senyuman isteriku yang telah menunggu di rumah membuatkan hatiku kembali gembira.
Inikah yang dinamakan cinta?
2014 seminggu sebelum Aidilfitri, aku membawa diri jauh terbang ke Bali. Tujuan aku hanya satu. Ingin merasa lemang dan ketupat di rantau orang.
Sesampainya di Bali, aku dan Vovin disambut Termana. Termana adalah seorang pria prihatin merangkap aktivis yang sering memperjuangkan keadilan.
Kami selanjutnya ke restoran untuk minum-minum ringan sementara menunggu waktu berbuka.
Selepas check-in di sebuah hotel yang amat selesa di Sanur, kami mengikut Termana berjumpa teman-temannya. Agak canggung bagiku sebab aku pertama kali bersua. Mereka anak-anak seni dan aktivis yang dikenali ramai di Bali bahkan Indonesia. Ini pun aku tahu lepas aku balik Malaysia.
Malam itu mereka bernyanyi-nyanyi, minum dan memetik gitar. Ada satu ketika mereka ketandusan idea untuk memetik gitar lantas mereka menyanyikan sahaja lagu Siti Nurhaliza dan Spoon.
Aku hanya mampu ‘rinduuuuuuuuuuu, rinduuu serinduuuuu, rindunyyaaaaaaaaa’ di dalam hati. Segan. Hihi.
Kami pulang ke hotel menjelang dinihari. Sebenarnya aku dah rabak teruk tak tahan nak tidur. Lega juga bila dapat nyenyak. Sepanjang rancangan di Indonesia ini, aku dan Vovin berkongsi kamar.
Aku cuma harap dia okay bila aku berdengkur.
Menemui ayahanda yang tersayang.
Seminggu sebelum bermula, nujum dan pawang langit dari pejabat menteri meramalkan angin tengkujuh akan bertiup kencang mengusir jerebu yang telah menyelimuti ibu pertiwi sepurnama lama. Kami rakyat yang mulia menunggu udara segar penuh renjana dan tepat seperti ramalan, angin sakti datang bertandang memberi nafas baru kepada nusa ini, ayahanda. Sudah pasti dengan izin Tuhan, penguasa alam.
Anakanda memulakan larian di waktu pungguk sedang meninjau bulan nun tinggi di atas kayangan. Di dalam keramaian rakyat yang membanjiri Dataran Merdeka, anakanda tenang melangkah melepasi garisan permulaan. Sudah tentulah dengan lafaz Tuhan yang menguasai waktu.
Dengan kelajuan 7 minit – 7:30 minit per KM. Anakanda menyalakan andang perjuangan yang sudah lama menunggu untuk membakar di hati. Duhai ayahanda, janganlah risau akan kecederaan yang telah lama anakanda hadapi, anakanda bertatih penuh waspada. Seperti mentari yang perlahan-lahan menembusi dedaunan di tengah rimba.
Ayahanda,
Sesekali kedinginan malam mengigit diri anakanda namun semuanya sudah di dalam perkiraan. Apalah sangat kedinginan di tengah kota jika mahu dibandingkan angin yang turun melepasi lembah dan gunung. Anakanda tetap melangkah gagah dan yakin. Setiap persiapan kaki kanan ditemani siaga yang akan menyusul di kaki kiri.
Untuk pengetahuan ayahanda, di acara ini telah dipersiapkan banyak perhentian yang menyediakan kemudahan. Air, makanan, bantuan perubatan, penguasa yang menjaga aliran, dan banyak lagi. Pengendali acara ini memang sudah tersohor dengan tata kelola mereka yang baik dan tersusun. Sayangnya ketika di KM19, anakanda melihat seorang peserta sedang terbaring dan dirawat ahli perubatan. Anakanda tidak tahu apa yang terjadi kepada peserta itu sehinggalah tamat acara. Rupanya dilanggar oleh pacuan 4 roda yang dipandu pacar hina.
Di KM20, anakanda sudah mula menemui tanjakan. Kami beramai-ramai dikerah menaiki lebuhraya DUKE dan anakanda sempat juga melihat sampah dan kulit pisang yang dibuang peserta. Begitu walang di hati namun apakan daya… anakanda hanya mampu menentang dengan hati. Di waktu ini anakanda masih larat berlari namun perlahan sahaja. Anakanda sudah menggunakan kelajuan 7:45-8:45.
Selepas beberapa ketika, anakanda berada di KM31 dan diserang kekejangan otot terutamanya di bahagian betis. Seperti sudah menjadi kelaziman kepada diri ini, ayahanda. (Emoji gelak)
Beberapa kali juga anakanda berhenti dan menghayun-hayunkan kaki kanan dan kiri untuk melancarkan kembali perjalanan darah. Membuahkan hasil sedikit dan membantu anakanda untuk meneruskan larian namun tidak lama sebelum kejang itu kembali menyerang. (Emoji sedih)
Ayahanda, anakanda telah cuba seberapa pantas yang boleh. Dan cuba untuk menghabiskan larian di bawah kiraan 5 jam setengah. Namun seperti jerung yang kehilangan sirip, anakanda hanya mampu berjalan perlahan. Beberapa ratus meter sebelum tamat, ada hiruk-pikuk gegak gempita yang dapat anakanda dengari dari kejauhan. Rupanya sorakan dan jeritan semangat orang ramai kepada anakanda untuk terus berlari. Berbagai kata-kata semangat dijulang dengan kedua belah tangan mereka supaya anakanda terus bersemangat. Siap ada yang mengatakan jodoh anakanda tunggu di hadapan! Secara jujur, anakanda memang terkesan dengan suasana itu, ayahanda. Anakanda dengan pantas! Berlari! Dan terus mengangkat perjuangan ini dengan api membara! Anakanda berlari! Dan berlari! Dan berlari! Dan kemudian kejang semula 50 meter di hadapan.
Menjelang di garisan penamat, anakanda sempat juga membuat beberapa gaya yang boleh mencuit hati jurugambar. Dengan harapan gambar anakanda diambil mereka lantas dimuatnaik ke laman rasmi.
Selepas mengambil baju penamat dan pingat, anakanda berjalan mendapatkan isteri dan teman-teman yang sedang menunggu. Begitu bangga anakanda dengan diri ini, telah berjaya melakukan maraton penuh buat kali yang ketiga. Anakanda janji akan meningkatkan lagi usaha dan kudrat di maraton akan datang.
Terima kasih ayahanda, yang sentiasa berbangga dengan apa sahaja perjuangan anakanda. Terimalah salam sayang dari anakanda yang sedang tenang mencicip kopi sambil menunggu ribut di langit reda.
Anakandamu,
Caki.
Wangsa Maju.

Selesai dari Janda Baik Ultra, aku dan Ejai memulakan pelayaran pulang ke kampung halaman. Kami berdua menunggang motorsikal berdua bersama namun tidak menghalang laluan kenderaan di belakang. Kami menunggang santai sambil menikmati udara segar yang turun dari Banjaran Titiwangsa.
Tiba-tiba Ejai memanggil aku ke tepinya kerana mahu menyuarakan sesuatu. Aku memulas pendicit motor dan pergi ke tepinya.
Aku tarik pelindung helmet ke atas.
“Nanti ajak Wani minum kopi dekat sini,” sambil muncung bibirnya ditujukan ke arah sebuah kedai kopi. “Kopi sini sedap, Wani mesti suka.”
Aku hanya tersenyum dan mengangguk.
Bila masa pulak bini aku suka minum kopi.