Bahagian terakhir Cultra 2019

Aku tiba di CP4, 45 minit daripada COT. Sungguh lega kerana masa yang cukup untuk aku habiskan sebelum COT terakhir di garisan penamat. Di CP4 aku mengambil masa sedikit lama dengan meminum air Coke, makan pisang, melihat kebun teh dan berbual mesra dengan sukarelawan.

Kemudian aku meneruskan langkah dengan menuruni jalanraya. 3 kilometer menuruni jalanraya sebelum kembali berjumpa hutan. Ramai juga pelari yang sedang menuju ke CP4 bertanya berapa jauh lagi jaraknya.

“300m”

“500m”

“1.5km”

Semuanya aku jawab dengan tulus dan bukan jawapan untuk menyedapkan hati mereka.

Di peringkat ini aku sudah turun dengan sedikit laju. Langkah demi langkah ditekan demi mendapatkan kelajuan. Sebuah kesilapan yang amat besar. Sepatutnya di peringkat ini aku perlahan sahaja, santai melihat lembah dan gaung.

Otot di betis sudah berkerja lebih masa dan meronta-ronta mahukan bekalan oksigen serta electrolytes. Dan badanku, walaupun sudah diisi dengan nutrisi, sebenarnya masih tidak cukup. Senang kata, tak cukup handal la…

Kejang. Kejang. Dan kejang.

Aku rasa nak menangis. Cuma kalau aku menangis dan jurugambar mengambil fotoku dan ditampal untuk poster Cultra 2020 nanti, bala juga.

1.2km menaiki bukit! Dan 800 meter terakhir jalan raya!

Ayuh Caki!

Di dalam hutan… aku merangkak, memegang akar banir untuk memanjat ke atas, dan berehat sambil memuji alam semulajadi. 3, 4 kali aku terduduk meraung kekejangan. Setiap kali duduk, ada pelari yang membantu dan menawarkan spray. Ada juga anak-anak kecil yang dalam perjalanan ke air terjun mengucapkan “Take care mister.” Bapa mereka pula mahu memberikan air 100plus kepadaku. Oh begitu comel sekali bapanya. Di sini aku mengucapkan janganlah kamu semua berputus asa pada kebaikan di dunia ini.

100 meter sebelum CP3, aku meminta bantuan kepada sukarelawan dan dia menjerit,

“Medic! Medic! Medic! Runner down!”

Begitu berisiko sekali suasana ketika itu. Seorang peserta Cultra sedang kejang!

Selepas pembantu perubatan menyapu krim counterpain, aku meneruskan perjalanan. 800 meter dan aku masih ada 40 minit.

Aku berjalan dengan sangat perlahan dan menyeret kaki sahaja. Buat apa laju dan kremmm.

Akhirnya aku tiba di Padang Awam MDCH garisan penamat untuk Cameron Ultra Trail. Isteriku menanti di pinggir padang dan tersenyum ria. Aku gembira melihatnya masih boleh berlari keriangan dan memberi kata-kata semangat kepadaku. Dia kemudian berlari ke arah pengacara untuk memanggil namaku.

“Come on Caki your wife here is waiting. Run Caki runnnnnn!” kata Bee, pengacara Cultra.

“Go Caki goooo!” Suara isteriku berkumandang dari corong pembesar suara.

Lantak kome la. Aku nak krem ni.

Aku terus berjalan santai menyeret kaki. Abang Ejai dan isterinya juga sedang menanti di garis penamat. Kedua mereka begitu gembira menyambutku. Entahlah apa yang seronok sangat bila melihat rupa parasku. Hmmmm.

15 minit sebelum COT dan akhirnya aku melintasi garisan penamat dengan penuh bergaya. Maka tamatlah bala dan derita untuk edisi kali ini. Selepas mengambil pingat, aku menyertai isteriku, Abang Ejai, dan isterinya. Kami bergelak-tawa, bergambar dan bersenang-lenang tanpa mengingati hari esok.

“Tahun depan jom 55k pulak!” kata Abang Ejai. Aku hanya mampu mengangguk lemah.

Oh, sungguh seronok dan puas hati menyeksa diri-sendiri.

Bahagian 2 – Cameron Ultra Trail 2019

Menuruni Gunung Berembun, aku mempercepatkan langkah namun tetap berhati-hati kerana ligamen lutut aku telah koyak. Jika dulu, jatuh terlingkup pun aku tak kisah. Aku pernah jatuh kerana terlepas satu anak tangga kerana sibuk bermain telefon dan kemudian bangkit semula menyambung bermain telefon.

Dengan lorong denai yang sempit, aku turun mengekori rapat pelari di hadapan. Sebenarnya aku tak peduli sangat jika mereka tidak memberi laluan, sebab aku bukan nak laju sangat. Tapi mungkin kerana perasaan tidak suka diekori, mereka memberi laluan untuk memintas. Kemudian bila aku pula di hadapan dan perlahan ketika melompat dari akar ke akar, aku memberi laluan kembali kepada pelari yang mengekori di belakang. Kemudian aku memintas kembali dan dipintas. Perkara ini berulang sampailah turun dari Berembun.

Sampai di satu bahagian, memang perlu turun menggelongsor. Turun berdiri dan kau pasti tergolek. Ada seorang pelari yang menggelongsor tanpa merendahkan badan. Terdetik di hatiku mengapa beliau melakukan perkara ini.

Bedebuk!

Beliau tergolek. Semua yang di belakang terperanjat namun aku hanya membuat raut wajah The Rock. (Mengangkat sebelah kening)

“Oh my god!” kata seorang pelari.

“Are you hurt?” tambah seorang pelari di belakang.

“Aiyaaa, this one got no choice la. Pelan pelan la.” kata wanita di belakang aku.

Pelari yang terjatuh tadi hanya bangun dan mengelap kesemua lumpur yang melekat di tangan dan badan sambil berkata,

“Okay okay. Sikit saja.”

“Take care man. Slow slow.” kata aku melintasinya.

Kemudian aku melalui bahagian jalanraya dan tiba di CP3 yang mempunyai COT 5 jam setengah. Aku tiba di situ 4 jam setengah selepas mula berlari, bermakna aku ada buffer time sebanyak satu jam.

“This is great!” Kataku kepada diri sendiri.

Sebaik menambah bekalan air, dan makan kurma serta pisang, aku meneruskan perjuangan. Kali ini menuju CP4. Sebuah checkpoint yang mempunyai COT 6 jam setengah.

Sayangnya jalan menanjak yang menantang di hadapan adalah jalan yang menguji rohani dan jasmani. Jauh betul CP4! Aku berjalan pantas sambil beristigfar dan bertanya mengapa aku melakukan semua ini. Setiap selekoh, aku akan nampak selekoh seterusnya yang berada lebih tinggi. Gila, gila.

Tidak lama kemudian aku bertembung dengan rakan karibku bernama Faizal atau lebih mudah dikenali sebagai Abang Ejai. Dia sudah tiba di CP4 dan membuat pusingan U. Sedikit info tentang Abang Ejai. Abang Ejai adalah rakan seperguruanku ketika belajar di KPM Indera Mahkota Kuantan dahulu. Beliau sering memegang jawatan tinggi yang melibatkan sukan kerana staminanya yang sangat tinggi. Ya, orang melantiknya hanya kerana beliau mempunyai stamina tinggi.

Kami berjumpa dan aku rasa ingin memeluknya kerana ranjau perjalanan Cultra yang sangat berliku untukku. Aku merasakan sedikit bahagian tubuhku telah pun mati. Baru sahaja nak peluk, dia ajak selfie.

Aku mengeluarkan telefon dan selfie. Berlatarbelakangkan kebun teh.

“Tak jauh dah, lagi 300 meter CP4.” kata Abang Ejai berlalu pergi.

Aku meneruskan perjalanan ke CP4, 200 meter kemudian seorang pelari yang juga sudah membuat pusingan U, menegur dan berkata,

“Tak jauh dah CP4, lagi 300 meter.”

Entah kenapa tiba-tiba aku merasakan Abang Ejai tidak pandai mengukur jalan.

bersambung…

Cameron Ultra 2019

Biarlah aku mulakan dengan mengangkat syukur ke hadrat Illahi kerana pihak penganjur tidak memilih permohonan aku untuk mendaftar kategori 55k dan hanya berjaya mendaftar kategori 30k.

Alhamdulilah.

Ini adalah kali pertama aku berlari di Cameron Ultra-Trail atau lebih senang disebut Cultra. Aku telah mendaftarkan isteriku untuk kategori 15k dan juga memaksanya berlatih siang dan malam hanya untuk Cultra. Latihanku cukup ketat. Turun naik gunung dan lembah kemudian menyusur sungai serta gaung.

Di pagi hari 27 Julai, aku meninggalkan isteriku di garisan permulaan kerana dia hanya akan bermula pada jam 7:30 pagi. Aku, 6:15 pagi.Sebaik bermula, aku cuba untuk meletakkan diri di barisan hadapan kerana tidak mahu beratur lama ketika naik ke puncak Gunung Jasar.

Aku kini di dalam denai menuju puncak Jasar. Naik perlahan dan melangkah penuh waspada kerana hari masih gelap. Mengikuti rapat pelari di hadapan, tidak ada ruang langsung untuk memotong. Beginilah lumrah di ruang denai yang sempit. Selepas mendaki beberapa lama, akhirnya aku tiba di puncak Jasar. Malangnya tidak ada tanda di atas puncak dan aku tidak tahu bahawa itulah puncaknya Gunung Jasar. Kemudian aku menuruni dengan sedikit pecutan demi mengejar masa dan akhirnya tiba di pejabat perhutanan negeri Pahang.

Di sini ada Checkpoint 2. Aku mengisi air dan bergegas meneruskan larian kerana harus mengejar Cut Off Time (COT) 5 jam 30 minit di Checkpoint 3. Sungguh tekanan perasaan rupanya ada COT di Checkpoint. Inilah kali pertama aku masuk acara yang mempunyai COT di Checkpoint (masih muda, biasalah).

Seterusnya, puncak Gunung Berembun. Ketinggian paling tinggi untuk pelari 30k.

Ketika mahu menaiki Berembun, bertemu dengan anak-anak sekolah yang juga mahu naik ke puncak. Satu demi satu memberi laluan kepadaku untuk naik ke atas sambil membuat tabik hormat dan memberi ayat-ayat perangsang.

“Kalau nak rokok, saya ada bang.”

“Come on bang, come on.”

“Fuh, mantap bang.”

Dan banyak lagi.

Akhirnya aku melepasi mereka semua dan terus mendaki dan mendaki. Tiba-tiba hujan turun dan cuaca bertukar menjadi lebih dingin. Dengan pantas aku mengeluarkan baju pematah angin (windbreaker). Pelarian diteruskan dengan keadaan denai yang semakin basah, licin, sejuk dan akar kayu yang keras seperti titanium. Akhirnya aku tiba di puncak Berembun. Disambut oleh beberapa krew Cultra yang menunggu.

“Selamat datang ke Puncak Berembun.”

Terdahulu, mereka sudah membuat unggun api. Rasa macam layanan hotel lima bintang bila dapat menghangatkan badan. Bersusah-payah aku mengeluarkan kain dan mengelap skrin telefon demi menangkap gambar sebagai kenangan.

Baik, larian diteruskan. Lega juga bila dah sampai tempat paling payah dalam kategori 30k ni.

Tapi sayang sangkaanku meleset, ada lagi rupanya benda paling payah menanti.

Bersambung…

King of Kampung Kemensah 2019 – 30k

Aku bangun jam 2:30 pagi dan bersiap-siap. Terkejut aku tengok telefon ada mesej dari Ejai Najib tanya,

“Weh esok ko pergi tak?”

Soalan jenis apa ni? Dah daftar kena la pergi.

3:30 pagi aku gerak dari rumah dan mengunyah energy bar atas motor. Sampai sana aku tengok orang tak berapa ramai. Ada lagi satu jam sebelum peserta 30k dilepaskan ke dalam hutan.

Tengah sedap ambil mood masuk hutan, pengelola mengumumkan ketibaan peserta nombor 1 acara 84k. Laju gila si Aqwa ni. Hmmm.

Tepat 5:29:50 pengelola membuat kiraan menjunam.

10 9 8 7 6 5 4 3 2 1, okay gooooo.

Sedap sungguh cuaca subuh di dalam hutan. Aku mendaki dan menapak dengan penuh hati-hati. Sebenarnya aku tak mahir sangat nama tempat di Kemensah. Jadi bila penganjur cakap CP Sungai Pusu, aku tak tahu di mana. Jadi aku berlari dengan menggunakan air yang ada dengan penuh cermat.

Sampai CP aku tambah air. Tapi sebelum sampai CP Pondok Repin, azab juga. Air habis walaupun berjimat. Menyesal aku hanya membawa dua botol air. Sepatutnya tiga.

Turun dari Pondok Repin, memang sedap. Lajuuuuuuuuu je aku melompat. Sampailah ke kawasan Bukit Korea. Terkial-kial aku main lumpur turun bukit. Dekat sini sahaja ada 5,6 orang potong. Bukan apa, aku takut lutut aku ni putus. Sebab itulah aku tekun meneladani lumpur dan selut.

Menuju 6km ke garisan penamat, aku dah tak larat. Jalan sahaja sambil melihat pohonan buluh dan durian.

Sampai.

Paling nikmat, air coke di garisan penamat. Genius juga siapa yang cipta air coke ni. Lepas minum aku ambil baju dan pulang sambil mengeluh,

“Tak guna punya Ejai. Kalau dia ada kan bagus, boleh tangkap gambar.”

Kenangan hari rabu

Hari ini aku pergi sebuah acara yang bercakap tentang keselamatan teknologi maklumat anjuran sebuah syarikat yang sohor di Malaysia. Sebagai seorang pekerja yang penuh kaliber, aku telah dihantar oleh perusahaan tempat aku bekerja untuk menghadiri acara ini.

Aku tiba 2 minit sebelum ucapan pembukaan. Jiwa Melayu yang sering menepati masa membuatku gelisah jika hadir lewat setiap kali berjanji. Rupanya senior aku sudah tiba lebih awal. Beginilah contoh tauladan yang baik.

Acara bermula dan ucapan dimulakan. Aku menoleh ke kiri dan seniorku rajin mencatat nota semasa penyampai berucap.

“What a nerd.” kataku di dalam hati.

Tidak lama kemudian penyampai menanyakan soalan dan senior aku menjawab dengan yakin. Jawapannya tepat dan memperoleh satu sampul yang tidak diketahui isinya.

Mana aci, dia ada nota.

Kemudian penyampai membuka soalan lagi.

Aku toleh ke kiri dan seniorku memberitahu jawapan sambil dirinya bangun dan berlalu pergi mendapatkan kopi.

Aku mengangkat tangan, tanda bersedia menjawab soalan.

“Malware scanner.” kataku sambil dihalakan mikrofon ke mulut. Satu dewan mendengar suaraku yang lunak lunak manis. Aku sudah membayangkan dia menghulurkan sampul yang tidak diketahui isinya. Untung-untung duit raya, fikirku.

“Sorry, wrong answer.”

Aku buat-buat senyum tanda okay.

Kejora di langit sebagai panduan, nusa untuk beristirehat

Di bawah panji-panji bintang yang menerangi malam, aku sering membayangkan diriku dilahirkan untuk sesuatu yang lebih besar. Aku membayangkan aku menaikkan layar dan mengemudi kapal ke ribuan pelabuhan di seluruh dunia.

Dari sebuah pelabuhan di Langkawi, aku tenang berlayar keluar menuju Laut Hindi. Kemudian menuruni rantaian pulau kecil di sebelah barat Sumatera untuk membelah samudera dengan darah dan keringat. Di setiap ombak yang menerjah buritan kapal, aku tetap santai bertentang mata melawan garisan ufuk.

Kemudian aku singgah di Kepulauan Cocos, melihat keturunan orang melayu yang memilih untuk terus hidup di pulau tersebut, dan tidak berhijrah ke Pulau Jawa atau Sabah. Aku pasti tersenyum melihat sebuah bot yang diberi nama Bunga Melati di situ.

Meninggalkan air yang berbagai tona warna, aku meneruskan pelayaran membelah lautan. Ketika ini aku sudah bersedia untuk menukarkan setiap saat hidupku di keadaan yang berbeza dari detik sebelumnya. Ketidakpastian hidup dan keselamatan bertukar-ganti setiap masa, apatah lagi ketika dikunjung cuaca yang membawa bersama ribut dan kegelapan.

Namun ketika cuaca damai dan laut yang tenang seperti cermin, aku akan melunjurkan kaki memakan goreng pisang cicah sambal kicap sambil menulis catatan. Semua orang besar yang sudah menongkah lautan punyai catitan pelayaran mereka sendiri, aku juga tidak mahu ketinggalan. Aku yakin Si Bongkok Tanjung Puteri juga punyai catitannya namun tidak kesampaian dibaca anak-cucu. Sayang sekali.

Mungkin aku perlu bermimpi besar dan yakin mampu membeli sebuah kapal layar. Mungkin aku perlu menjadi stokis D’Herbs?

Ya. Esok aku akan telefon Alif Syukri.

Mengenang Istanbul

700km di atas permukaan bumi, sebutir kelodan memasuki ruang angkasa lantas terbakar. Di dalam selang masa beberapa saat, jejaknya hilang selepas meninggalkan percikan di udara. Hilang menjadi debu dan menjadi memori silam. Begitulah apa yang dirasakan oleh Paolo Maldini ketika di Istanbul. Impiannya seperti meteor yang bergeser dengan partikel gas dan hilang di udara.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukannya bersinar, dan separuh yang lain sirna menjadi zarah dan tidak lagi dapat dilihat.

Sehingga ke hari ini Paolo Maldini masih tidak dapat tidur lena. Beliau sering terjaga dari tidurnya. Mengucap dia bangkit sambil peluh dingin menitis jatuh dari dahi.

Paolo Maldini masih tidak dapat menerima kenyataan apabila melihat Djimi Traore tersenyum penuh gembira memakai pingat bersalut emas di bumi para Nabi itu.

Andai dapat diputarkan masa, Encik Maldini mahu sahaja bersara lebih awal ketika 2004.

Steven Gerrard bukan sahaja mengetuai Liverpool mendapatkan 3 gol, malah dia melakukannya ketika berlawan dengan generasi emas AC Milan. Datok Alex Ferguson sendiri membuat tabik hormat kepada Stevie G ketika itu. Walaupun dia (Datok Alex Ferguson) hanya melakukan dari depan televisyen ketika memakai boxer dan singlet pagoda. Tangan kirinya menggenggam kuat alat kawalan jauh Astro.

Di bulan baik ini marilah kita mendoakan kemenangan berpihak kepada umat islam, Sadio Mane dan Mohamad Salah pada pagi Ahad nanti. Aminnnnn.

Pesona malam Anfield

Di bawah kerlipan lampu kalimantang yang dipasang di bumbung stadium, seorang Suarez berjalan dengan penuh waspada. Walaupun dicemuh dan diejek dari segenap penjuru stadium, Suarez cekal untuk terus berlari dan berlari. Seperti anjing gila yang tiada tujuan.

Baru minggu lepas dia menjaringkan satu gol melawan Liverpool. Sesuatu yang sudah lama dia tidak melakukannya. Penuh gembira dan ceria, beliau melompat-lompat menjerit bagai anjing gila yang pernah menggigit bahu dan telinga seseorang.

1-0

2-0

3-0

4-0

Suarez longlai tidak bermaya. Beliau menangis. Sudahlah dibenci, dia kini terkapai-kapai di sebuah stadium yang pernah menyatakan kecintaan terhadap dirinya. Dengan pantas dia keluar padang sebelum tiupan wisel penamat.

Selamat tinggal Suarez. Bersaralah dikau dan hilang seperti debu yang berterbangan selepas Iron Man memetik jarinya.

Menuju bandara Sepang

Aku bangun jam 3:30 pagi dan bersiap. Jam 3:45 pagi aku turun dan tunggu pemandu Grab di pintu gerbang pangsapuri kediaman.

Perodua Bezza, VB XXX C.

Sampai sahaja, aku buka pintu dan duduk di sebelah pemandu.

“Abang dah lama naik Grab?” dia tanya. Mahu sahaja aku menjawab baru 5 saat.

“Ini pertama kali.”

Kemudian dia tidak berhenti bercakap dan cuba mengajak aku berborak dan berborak.

Aku nak tidur ni setannnnnnn.

Tapi aku bagi juga la 5 bintang.

Suasana perlumbaan di Cameron Night Run 2019 (CAMRUN)

Tepat jam 12:30 malam, aku dan isteriku turun ke Padang Awam MDCH, Tanah Rata. Garisan mula untuk Cameron Night Run di situ. Cuaca ketika itu sejuk dengan angin dingin yang bertiup dari Banjaran Titiwangsa. Sudah ada ramai orang di situ, seperti pesta. Ada yang beratur untuk menangkap gambar, ada yang sedang memanaskan badan, ada juga yang sedang swa-foto.

Sebelum memulakan larian jam 1 pagi, aku mengingatkan isteriku supaya berlari dengan penuh cermat. Dia akan berlari 10km pada jam 2 pagi.

Beberapa minit selepas larian bermula, hujan turun. Mula-mula renyai, namun semakin lebat. Suhu kini di bawah takat beku. Ditambah pula dengan kelajuan angin yang bertiup, aku merasakan seolah berada di Tasik Baikal, Russia ketika musim dingin. Mujurlah aku membuat keputusan tepat dengan membeli baju penghadang angin (windbreaker) di saat akhir. Suhu badanku kini naik kepada 18 darjah selsius dan hangat kembali untuk selesa berlari.

Begitu tenang dan nyaman Tanah Tinggi Cameron di waktu dinihari. Sesekali anjing menggonggong memecah kesunyian malam. Unggas dan mergastua bersahutan menambah sensasi kawasan hutan. Untuk larian Cameron Night Run, urusetia menjaga dengan sangat cekap, dan ditambah bantuan penguatkuasa. Acara malam itu sangat terkawal. Pendek kata, memang layak dipuji.

Sebelum berpatah balik kira-kira di KM10, keadaan agak parah bagiku dengan pendakian yang begitu enak. Jiwaku meronta untuk berjalan kaki dan aku turutkan sahaja. Lagipula jam menunjukkan denyutan jantungku di tahap maksimum.

Di KM18, aku mulai longlai. Namun berkat lagu N’Sync – I’ll Never Stop yang bermain di kepala, aku gagahi juga ke garisan penamat.

Sampai garisan penamat, isteriku sedang menunggu dengan telefon di tangannya. Selepas beraksi untuk jurukamera di garisan penamat, aku mendapatkan isteriku dan kami tersenyum berpandangan satu sama lain.

Begitu manis percintaan ini. Ohhhh.

Kami pulang ke hotel berpegangan tangan dan bangun pada jam 8:30 pagi lantas memakan nasi lemak strawberi.